PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Senarai Permintaan (Wish List) Untuk Bajet 2020 Dalam Industri Hartanah

Kuala Lumpur – Bajet 2019 yang diumumkan oleh pihak kerajaan tahun lepas pada 2 November telah mengejutkan banyak pihak. Bajet 2020 pula akan diumumkan pada 11 Oktober ini.

CEO FAR Capital dan pakar pelaburan hartanah, Faizul Ridzuan, berkata bahawa Bajet 2020 yang akan datang perlukan beberapa perubahan.

Faizul Ridzuan

CEO FAR Capital dan pakar pelaburan hartanah, Faizul Ridzuan

Beberapa ‘wish list’ atau isu yang akan dibincangkan ini telah pun dibangkitkan oleh ramai pihak yang berpengaruh dalam industri ini, tetapi tidak dibangkitkan oleh pihak Kerajaan.

Permintaan #1: Perlu Memberi Lebih Insentif Kepada Pihak Pemaju Untuk Membina Rumah Mampu-Milik

Insentif oleh pihak kerajaan penting bagi menggalakkan pemaju-pemaju hartanah untuk memberi kerjasama membina rumah mampu milik.

Salah satu cadangan yang diberikan ialah untuk mengurangkan kos pematuhan dan kos modal (compliance and capital charges) kepada pihak pemaju, iaitu dalam 8% hingga 20% dari nilai pembangunan kasar (GDV) sesebuah projek. Ini diadakan supaya dapat mengurangkan kos yang dicaj kepada pemaju dan meningkatkan kemampuan untuk membeli rumah.

Jika pihak Kerajaan sudi untuk memberi lebih insentif kepada pemaju hartanah swasta, ini mungkin dapat menggalakkan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik, dan seterusnya meningkatkan kuantiti rumah mampu-milik di negara ini.

Permintaan #2: Memberi Insentif HOC Yang Sama Kepada Rumah Sekunder

Insentif pihak Kerajaan dalam Kempen Pemilikan Rumah 2019 (HOC) patut diberi kepada pembeli rumah pertama yang berhasrat membeli hartanah sekunder juga.

Antara insentif yang ditawarkan dalam HOC ialah pengecualian duti setem bagi hartanah bawah RM1 juta. Pembeli juga boleh mendapat minima diskaun 10% dari pemaju hartanah. Sekarang, kempen HOC ini dilihat sebagai cara mudah bagi pemaju hartanah untuk selesaikan masalah stok rumah tak terjual mereka sahaja.

Walaupun ini dilihat sebagai inisiatif pihak Kerajaan menolong pemaju-pemaju hartanah ini menjual stok rumah sedia ada, insentif ini hanya dikira sebagai adil jika ia boleh dilaksanakan oleh penjual rumah pasaran sekunder juga.

Insentif ini tidak patut dihadkan kepada hartanah pemaju sahaja, kerana terdapat banyak lagi pilihan rumah dengan harga mampu-milik dalam pasaran hartanah sekunder.

Ini dijangka dapat meningkatkan tahap pemilikan rumah, dan secara tidak langsung menyokong matlamat kerajaan untuk meningkatkan tahap pemilikan rumah di negara ini.

Permintaan #3: Ke Arah Skim Sewa-untuk-Memiliki (Rent-to-Own scheme) Yang Melibatkan Hartanah Sekunder

Skim Sewa-Untuk-Memiliki (Rent-to-Own Scheme) ialah sebuah skim yang memberi pilihan kepada penyewa untuk membeli dan memiliki rumah tersebut selepas 5 tahun menyewa.

Skim ini yang sedia ada di Malaysia dipercayai lebih ke arah memanfaatkan pemaju hartanah lebih dari pembeli rumah.

Kebanyakan pemaju hartanah terlibat dalam skim ini hendak menyelesaikan masalah stok rumah tak terjual mereka. Pemaju meletakkan unit mereka untuk disewa kerana mereka tak mampu nak menjual unit-unit rumah tersebut.

Faizul percayai bahawa skim ini akan menjadi lebih adil jika ia dibuka kepada pemilik hartanah sekunder (hartanah ‘subsale’), supaya lebih mudah untuk pembeli rumah pertama membeli hartanah sekunder.

Tambahan pula, ini seiring dengan inisiatif kerajaan untuk memudahkan pemilikan rumah kepada golongan yang tidak mampu untuk membeli rumah sekarang dengan adanya skim sewa untuk memiliki ini.

Permintaan #4: Kelulusan bagi Projek Baru Di Masa Depan Perlu Lebih Ketat Dan Disokong Data Yang Kukuh

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu semak semula proses memberi kelulusan bagi projek baru supaya lebih ketat dan disokong data yang kukuh sebelum meluluskan pembinaan projek oleh pemaju.

Pihak kerajaan dan pemaju hartanah perlu bekerja seiring dengan permintaan pasaran untuk mengelakkan lebihan stok rumah di masa depan.

Kebanyakan pemaju hartanah membina hartanah tanpa melakukan penyelidikan tentang permintaan dan bekalan hartanah di kawasan tersebut. Ini menyebabkan kenaikan sebanyak 30.6% jumlah kuantiti rumah yang tak terjual di Malaysia tahun ini, menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Contoh terbaik ialah Cyberjaya. Sekarang, di Cyberjaya terdapat banyak hartanah siap dibina yang tak terjual. Ini disebabkan oleh kerana terlalu banyak stok hartanah di kawasan tersebut, tetapi tiada peluang pekerjaan di sana. Jadi, tiada motivasi untuk orang berpindah ke sana dan menyebabkan permintaan pasaran hartanah di sana sangat teruk.

Jika pihak kerajaan memainkan peranan dan mengetatkan proses kelulusan sesebuah projek di situ, masalah lebihan stok rumah ini tidak akan berlaku.

Peranan kerajaan dan pemaju untuk menyelidik permintaan pasaran dan bekalan hartanah di sesebuah kawasan itu sangat penting. Jika diabaikan, ia mungkin akan membawa kepada isu yang lebih besar seperti masalah lambakan stok rumah tak terjual, seperti yang berlaku sekarang.

Permintaan #5: Kenaikan RPGT dan Pelaksanaan Cukai Harta Pusaka

Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) ialah cukai yang dikenakan atas keuntungan modal yang dibuat oleh pemilik rumah apabila melakukan transaksi untuk menjual rumah mereka.

Jika kadar RPGT ini dinaikkan, pemilik hartanah sekunder (hartanah ‘subsale’), tidak mahu menjual rumah mereka. Ini akan menggalakkan pembeli rumah pertama untuk membeli hartanah yang tak terjual oleh pemaju, dari membeli dari pemilik hartanah sekunder.

Akhir sekali, jika pihak kerajaan sudi mengenakan cukai harta pusaka di negara ini, ia mungkin dapat membantu dalam isu rumah mampu milik.

Cukai yang dikenakan dari RPGT dan cukai harta pusaka tersebut boleh digunakan untuk menambah dana bagi membina lebih rumah mampu milik di negara ini. Secara tidak langsung, ini akan membantu pemaju dan meningkatkan stok rumah mampu milik kepada masyarakat.

Permintaan #6: Meningkatkan Kualiti Hidup Masyarakat Dengan Membina Lebih Banyak Laluan MRT

MRT 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) sudah siap, manakala MRT 2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) sudah disahkan dan sedang dalam pembinaan.

Walau bagaimanapun, MRT 3 Circle Line belum disahkan lagi. Kami berharap pihak kerajaan akan mengumumkan berita baik semasa pengumuman Bajet 2020 seperti pembinaan MRT Line 3 disahkan.

Dengan adanya MRT 3, kami dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pembangunan berorientasikan transit (transit-oriented developments) di Lembah Klang kerana MRT 3 dijangka akan meliputi semua kawasan-kawasan yang penting seperti Bandar Malaysia, Ampang, Ecocity, Bukit Kiara, dan Sentul.

Pembeli rumah, pekerja professional, pelajar kolej dan penyewa akan memilih untuk duduk berdekatan dengan stesen MRT untuk jimat masa dalam perjalanan.

Secara amnya, nilai hartanah di kawasan sekitar meningkat apabila MRT 1 telah siap dan ada potensi untuk meningkat lagi apabila MRT Line 2 siap dibina nanti.

Selain itu, ia akan memberi galakan kepada masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam dan mengelakkan golongan muda dari melibatkan diri dengan hutang yang dikira sebagai liabiliti seperti pinjaman bank untuk membayar kereta. Hal ini juga akan membantu beri sokongan untuk mengurangkan pemanasan global dan mesra alam sekitar.

Jika MRT 3 disahkan oleh pihak kerajaan, maka ia akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan membuka pelbagai peluang keemasan kepada sektor swasta, sektor awam dan juga masyarakat.

Faizul percaya bahawa terdapat pelbagai kebaikan yang boleh dibuat dalam industri hartanah bagi menolong golongan B40 dan M40 ini. Beliau sangat berharap bahawa Bajet 2020 yang akan datang akan mengandungi beberapa penambahbaikan yang boleh memudahkan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam industri hartanah sekarang.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed