16.11.16 Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz 1

Bekalkan lebih 1,400 unit Perumahan Council Homes. Sewa serendah RM500 sebulan

Lebih 1,400 unit Perumahan Council Home sedang rancak dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di 3 kawasan sekitar ibu kota pada kadar sewanya bermula RM500 hingga RM800.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, kadar sewa belum dimuktamadkan namun sangat rendah dengan kemudahan setaraf kondominium.

Katanya, tiga projek itu terletak di Kampung Sungai Udang, Segambut, Razak Mansion, Su­ngai Besi dan Kampung Keramat, Titiwangsa itu diba­ngunkan de­ngan usahasama pemaju swasta dan siap dalam masa 3 tahun.

“Projek perumahan mirip kondominium di Kampung Sungai Udang, Segambut sudah bermula dan khusus kepada warga kota yang berkeluarga de­ngan tempoh sewa lima tahun sebelum memiliki kediaman.

“Ia akan dilengkapi kemudahan se­perti kolam renang, tempat letak kereta bertingkat dan kompleks perniagaan,” katanya.

Sasar kepada pasangan yang baru berkahwin

Beliau berkata demikian selepas membentangkan Bajet DBKL 2017 yang bertemakan Bandarku Rumahku, Wargakota Sejahtera di sini semalam.

Menurut Mhd. Amin Nordin, projek di Razak Mansion, Su­ngai Besi disasarkan kepada pasangan baru berkahwin. Manakala pembinaan unit apartmen lima bilik di Kampung Keramat di­sasarkan kepada golongan bujang.

Dalam perkembangan lain, katanya, pembangunan komuniti peniaga kecil dan penjaja dalam Bajet DBKL 2017 melibatkan per­untukan RM34 juta, meliputi penyelenggaraan bangunan pasar, pusat penjaja dan rumah sampah.

Katanya, ini termasuk pembangunan Pasar Raja Bot, Kampung Baharu serta pembangunan semula Pasar Harian Selayang dan Bazaria Genting Klang.

“Prog­ram bas sekolah percuma untuk anak-anak penghuni di Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat akan dilaksanakan tahun depan,” katanya lagi.


[Sumber berita asal: UTUSAN ONLINE]

Leave a Reply

Your email address will not be published.