PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

PropertyGuru DataSense: Transaksi Hartanah Malaysia Suku Pertama 2021 Turun 44.7% Tahun ke Tahun, Hartanah Sub-jualan Paling Popular

  • Transaksi sub-jualan mencecah rekod tertinggi dalam tiga tahun di Lembah Klang pada suku pertama 2021
  • Budaya kerja jarak jauh merancakkan transaksi dalam kategori pembandaran kecil; 54% pembeli lebih menggemari rumah teres yang luas
  • MyPropertyData dijenama semula sebagai PropertyGuru DataSense, berazam mempertingkatkan ketelusan, kecekapan, dan integrasi dalam industri hartanah menerusi data dan pandangan

Kuala Lumpur, 6 September 2021 PropertyGuru DataSense, yang merupakan bahagian analisis dan penyelesaian data PropertyGuru, menerbitkan laporan Maklumat Terkini Pasaran Harta Suku Pertama, yang menampilkan intipati pandangan berlandaskan transaksi pasaran hartanah kediaman di Malaysia. Laporan berkenaan mendapati, jumlah transaksi hartanah kediaman pada suku pertama 2021 menyaksikan penurunan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 44.7%, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pembeli rumah kali pertama (FHB) didapati menyumbang kepada sebahagian besar transaksi hartanah di seluruh Malaysia, iaitu 61.2%. Dalam pada itu, FHB mengatasi pembelian oleh pelabur di tiga pasaran hartanah utama Malaysia – Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang, masing-masing sebanyak 13.2%, 65.2% dan 0.08%.

Joe Hock THOR, Pengarah Urusan PropertyGuru DataSense berkongsi,

“Berikutan peningkatan kebimbangan terhadap kes COVID-19 dan prestasi KDNK lebih lemah daripada jangkaan, tidak hairan apabila kami menyaksikan keyakinan berkurang terhadap pasaran dan penurunan YoY dalam transaksi hartanah kediaman pada suku pertama 2021. Namun, kami berbesar hati mengetahui insentif-insentif seperti ‘Skim Rumah Pertama Saya’ dan ‘Kempen Pemilikan Rumah’ telah mendorong pembeli rumah kali pertama mengorak langkah ke arah pemilikan rumah pada suku ini.”

Pada November 2020, PropertyGuru Group telah mengambil alih syarikat data hartanah, MyProperty Data, sekaligus melanjutkan misinya bagi menyokong aspirasi pemilikan rumah rakyat Malaysia. Ekoran pengambilalihan strategik ini, MyPropertyData telah dijenama semula sebagai sebahagian daripada PropertyGuru DataSense. Laporan Maklumat Terkini Pasaran Harta Suku Pertama merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PropertyGuru DataSense bagi menerajui pendemokrasian data hartanah di Malaysia susulan penjenamaan semula.

Jualan Unit Sub-Jualan Mengatasi Pembangunan Baharu

Sub-jualan didapati mendominasi pasaran pada suku ini, dengan ramai pemilik hartanah menjual aset mereka pada harga kompetitif untuk memperoleh wang tunai, seterusnya membolehkan FHB dan pelabur membuat pembelian pada harga di bawah nilai pasaran. Pemerhatian ini sangat ketara khususnya di Lembah Klang, yang telah mencecah rekod transaksi sub-jualan tertinggi dalam tiga tahun, iaitu 83.72%.

Bagi FHB, pembelian di pasaran sekunder bukan sahaja bermaksud rumah yang berkualiti di lokasi yang baik, tetapi juga bajet yang lebih kecil. Kenyataan ini sejajar dengan dapatan Kajian Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2021, bahawa majoriti penggemar hartanah sub-jualan menyatakan kemampuan mencari lokasi dan persekitaran sebelum membeli (55%), dan urusan pembelian dengan bajet yang lebih kecil (39%) sebagai faktor utama pilihan mereka ini.

“Hartanah sub-jualan biasanya menarik minat pelabur yang lebih berpengalaman kerana boleh membuat bayaran pendahuluan, yang memudahkan pelaburan dalam beberapa hartanah. Pasaran sekunder juga dapat meningkatkan akses kepada hartanah, khususnya unit bertanah di lokasi yang lebih baik. Berikutan kehabisan bank tanah, pembangunan baharu sering dijalankan di lokasi lebih terpencil, yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pelabur menikmati pulangan daripada kenaikan nilai,” kata Joe.

Unit Bertanah Menjadi Pilihan Pembeli, Transaksi di Pinggir Bandar Meningkat

Seiring norma baharu bekerja dari rumah sejak tercetusnya wabak COVID-19, jenis hartanah yang dipilih pembeli turut berubah. Trend ini dicerminkan oleh data transaksi daripada suku pertama tahun 2021, yang mendedahkan pembeli lebih menggemari unit lebih besar dan luas dalam lingkungan RM300,000 hingga RM500,000. Di samping itu, unit bertanah telah menjadi pilihan pembeli berbanding unit bertingkat tinggi pada suku pertama 2021, dengan rumah teres menyumbang kepada 54% transaksi di Malaysia, diikuti dengan kondominium/pangsapuri (18%).

Tambah Joe lagi,

“Oleh sebab ramai pekerja tidak perlu lagi ke pejabat setiap hari, mereka dapat memilih kawasan yang lebih jauh, kurang padat, dengan susun atur yang lebih luas bagi memuatkan ruang tambahan sebagai pejabat di rumah. Kami mendapati, keperluan terhadap unit hartanah yang lebih luas dan besar, telah mencetuskan peralihan kepada rumah teres dan hartanah di pinggir pusat bandar, sekaligus merancakkan transaksi dalam kategori pembandaran kecil pada suku pertama 2021. Kami percaya trend ini akan berterusan sehingga ke separuh kedua 2021.”

Sebahagian besar 10 projek teratas dengan jumlah transaksi tertinggi pada suku ini, adalah kawasan-kawasan terletak jauh dari pusat bandar dalam perbandaran serba lengkap, misalnya Bukit Sentosa dan Bandar Bukit Beruntung di Rawang, serta Bandar Putra di Kulai.

PropertyGuru DataSense Terus Membudayakan Ketelusan Data susulan Penjenamaan Semula

PropertyGuru DataSense menumpukan fokus bagi menyatukan data dengan ketelusan, serta mewujudkan ekosistem hartanah yang bersepadu menerusi peranannya sebagai penyedia data hartanah dan pandangan yang paling komprehensif, tidak kira untuk ejen, institusi kewangan, pembeli rumah, agensi penilaian kredit, penilai, mahupun pemaju hartanah.

“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan rakyat Malaysia dalam setiap langkah perjalanan hartanah mereka dengan akses data yang tepat lagi mudah, agar mereka dapat membeli atau menjual hartanah pada harga pasaran yang tepat, bahkan memanfaatkan potensi keuntungan pada masa hadapan,” kata Joe.

Jelas beliau,

“Selain mengintegrasikan perniagaan di bawah PropertyGuru, penjenamaan semula ini juga mencerminkan tekad Kumpulan kami dalam mengembangkan perniagaan data kami menerusi PropertyGuru DataSense. Kami sedar data memainkan peranan yang kritikal dalam pertumbuhan industri hartanah. Justeru, kami berazam untuk terus menyediakan akses analitik dan penyelesaian Data Besar kepada penggiat hartanah dan pembeli rumah, bagi membudayakan keputusan pelaburan dan hartanah yang termaklum.”

Selain menyokong segmen pasaran Malaysia, penyelesaian PropertyGuru DataSense juga tersedia untuk ejen-ejen hartanah di Singapura menerusi pandangan pasaran masa sebenar serta anggaran harga pasaran, bagi meningkatkan nilai perundingan yang ditawarkan kepada prospek pembeli dan penjual. Selain itu, ia akan terus memantapkan dan mengembangkan tawaran datanya ke segmen-segmen lain di Singapura tidak lama kemudian, diikuti dengan pasaran-pasaran lain di rantau ini.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.propertygurugroup.com/datasense.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed