PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Tok ada 4 strategi untuk korang yang pertama kali nak jual rumah, tanpa buatkan korang rugi banyak.

Korang tengah bercadang nak jual rumah?

Nak jual rumah bukan satu perkara yang mudah. Bukan macam jual barang-barang lain yang ada kat dunia ini. Tok boleh kata (dengan yakin), menjual dengan berstrategi boleh elakkan kerugian yang banyak.

Bagi korang yang baru first time nak jual rumah (tanpa rugi banyak), korang mesti suka baca celoteh Tok kali ini.

Tak nak rugi bila menjual rumah? Boleh teruskan baca perkongsian Tok ini. 

Tok tak cakap, kalau korang guna strategi ini, korang boleh elak daripada rugi 100%. Semua ini bergantung pada rezeki-Nya.

Yang penting, kita berusaha cari ilmu yang boleh buatkan kita elak kerugian yang gila-gila. Tak ada orang nak perkara ini berlaku, kan?

Nasihat Tok, sentiasa cari bahan bacaan yang bagus dan dapatkan nasihat orang yang sudah ada pengalaman. Itu lebih baik. Korang boleh baca tip yang Tok kongsikan ini sebagai langkah awal.

Tok baca tip ini di blog PropertyGuru. Ia adalah hasil nukilan insan bernama Willy.

Kalau ada yang kurang faham, atau nak kongsikan pengalaman peribadi korang pasal topik ini, boleh gunakan bahagian komen. Tok alu-alukan, dan korang tak payah segan-segan.

Strategi Jual Rumah #1: Buat kerjasama dengan ejen hartanah. 

Tip ini amat bagus untuk kita yang belum ada pengalaman menjual rumah.

Kita boleh dapatkan bantuan ejen hartanah yang berpengalaman. Mereka akan bantu kita dari sudut pemasaran dan kerja-kerja lain, serta dapatkan tawaran yang terbaik untuk rumah kita.

Untuk elakkan masalah, kita boleh dapatkan ejen hartanah yang ada track record yang bagus. Sebelum apa-apa, kita boleh kaji dahulu sama ada agen ini bekerja di bawah naungan syarikat yang baik, atau sebaliknya.

Kalau nak dapatkan bantuan daripada syarikat hartanah pula, cari syarikat yang sudah bertapak lama dalam industri ini.

Soalan yang biasa akan ditanya: Adakah lebih baik untuk dapatkan bantuan daripada satu, atau ramai ejen?

Ia bergantung kepada matlamat kita. Kalau kita nak jual rumah dalam masa yang singkat, boleh sahaja dapatkan bantuan ramai ejen. Ini akan bantu kita jual rumah dengan lebih cepat.

Cuma, kalau gunakan ramai ejen, agak sukar nak urus kalau tiba-tiba 2-3 ejen bawa bakal pembeli pada hari yang sama. Lagi-lagi kalau korang memang sibuk dan tak ada banyak masa. Lebih baik lantik seorang ejen yang bagus, dan bagi mereka “exclusive agency”.

Strategi Jual Rumah #2: Letakkan harga yang terbaik untuk menarik minat pembeli. 

Langakh pertama yang baik adalah dapatkan bantuan daripada penilai hartanah (property valuer). Mereka akan bantu kita dari sudut meletakkan harga yang terbaik.

Ada pelbagai faktor yang akan mempengaruhi harga rumah kita, seperti:

  • Status tanah rumah yang ingin kita jual (sama ada freehold atau leasehold), 
  • kemudahan di sekitar rumah itu (dekat dengan LRT, MRT, stesyen bas, atau lain-lain),
  • keadaan industri di kawasan rumah itu, dan lain-lain faktor.

Pada masa yang sama, kita boleh periksa harga rumah lain di sekitar kawasan rumah kita. Ini bertujuan untuk dapatkan harga yang terbaik, tanpa memudaratkan harga pasaran semasa.

Lebih baik letakkan harga selepas buat kajian tentang harga pasaran semasa. Melainkan kalau rumah itu, kita sudah ubahsuai (renovate), dan berada dalam keadaan yang tip-top.

Tok nasihatkan, tak digalakkan untuk letak harga yang tak masuk akal, semata-mata nak dapatkan untung lebih. Sebab pembeli sentiasa ada pilihan untuk membeli rumah lain di kawasan yang sama.

Kalau malas nak buat semua ni, boleh tanya ejen hartanah korang. Ejen hartanah yang bagus akan tolong korang dapatkan harga pasaran rumah tersebut dengan mudah.

Strategi Jual Rumah #3: Sentiasa tambah ilmu dan strategi menjual rumah. 

Ada 4 perkara yang boleh kita belajar dalam ilmu menjual. Kalau belajar 4 perkara ini, mudah untuk kita tarik perhatian pembeli dan menjual rumah dengan lebih mudah:

a) Pemasaran.

Kita nak semua orang tahu yang kita nak jual rumah kita, kan? Kalau tak hebahkan kepada orang ramai pasal ini, dah tentu orang ramai tak akan tahu.

Kita boleh kaji setiap strategi untuk hebahkan kepada prospek yang berpotensi tentang ini. Ia tak terbatas, asalkan orang ramai tahu.

Kita boleh sahaja gunakan beberapa cara di bawah ini:

  • Letakkan signboard di hadapan rumah kita, supaya prospek boleh hubungi kita atau agen kita,
  • iklankan di setiap medium pengiklanan yang ada, seperti surat khabar, atau di web hartanah seperti iProperty dan sebagainya,
  • gunakan Facebook atau media sosial yang lain untuk iklankan rumah yang hendak dijual, atau strategi lain yang sesuai.

b) Cantikkan (atau baiki) rumah sebelum menjual. 

Tak ramai yang akan beli rumah yang tak dijaga dengan baik (melainkan pembeli itu bersetuju untuk tanggung kos baik-pulih lepas membeli rumah itu).

Strategi terbaik adalah menjaga rumah yang nak dijual dengan baik, supaya kita dapat menarik minat pembeli. Ini sebagai jalan paling selamat untuk jaga tanggapan (impression) prospek yang berminat.

Sebelum letakkan papan tanda (untuk jual rumah), luangkan sedikit masa atau upah orang untuk cat balik rumah kita.

Periksa juga lain-lain perkara seperti atap, dinding dalam rumah, siling, atau barangan eletrik yang rosak dalam rumah untuk kita gantikan.

c) Kurangkan kos yang tak sepatutnya. 

Ramai yang buat kesilapan ini. Tak bermakna kita laburkan kos yang banyak untuk renovate rumah, kita akan dapat pulangan yang sepatutnya (yang boleh tanggung kos renovation yang dibuat).

Ini kerana ramai pembeli lebih tertumpu untuk beli rumah dahulu, dan akan buat renovation ikut idea dan kemampuan mereka sendiri. Tak ramai yang rela labur duit lebih untuk beli rumah yang sudah siap di-renovate. 

Strategi terbaik adalah ubahsuai yang perlu sahaja, dan berikan perhatian kat kos yang kita laburkan. Ini boleh elakkan kita rugi daripada sudut kos, serta kurangkan potensi rumah kita untuk dibeli oleh prospek.

d) Kurangkan guna strategi “hard sell”. 

Strategi ini tak sesuai untuk menjual rumah. Ia dah banyak kali terbukti. Tambahan pula, strategi ini seperti memaksa prospek untuk membeli daripada kita (dan buat kita nampak amat terdesak nak cepat dapat duit).

Prospek mahukan masa mereka sendiri untuk menilai rumah yang hendak dibeli. Mereka mahu lihat kawasan sekeliling, keadaan rumah, dan lain-lain perkara lagi. Pendek kata, mereka tak mahu rasa rugi jika sudah beli rumah daripada kita.

Berikan masa untuk prospek itu menilai. Kalau kita paksa mereka, akan ada potensi yang rumah kita tak akan terjual.

Ia juga akan berikan tanggapan yang kita sedang terdesak, dan ia boleh jadi sebab utama untuk dapatkan harga yang lebih murah daripada kita.

Strategi Jual Rumah #4: Layan prospek buat lawatan ke rumah yang nak dijual. 

Ada dua strategi yang boleh kita gunakan. Setiap strategi ini, ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri:

a) Open House

Dengan cara ini, semua prospek boleh melawat rumah kita pada masa yang sama.

Kita boleh jimat banyak masa dan tenaga berbanding berikan lawatan secara personal kepada pembeli yang berpotensi.

Cuma, ia hanya sesuai digunakan jika rumah kita dijaga dengan rapi, dan boleh berikan tanggapan yang baik (untuk jangka masa panjang) kepada setiap prospek yang datang melawat.

b) Lawatan secara privasi. 

Strategi ini lebih banyak digunakan di negara kita.

Setiap prospek akan dapat sentuhan personal tentang rumah yang hendak dibeli, jika kita lakukan strategi ini dengan baik.

Mereka ada peluang untuk tanya banyak soalan sepanjang lawatan mereka, dan ini akan meningkatkan peluang menjual dengan tinggi.

Walaupun strategi ini berikan banyak kelebihan, ia juga tak lari daripada kekurangan. Sudah pasti ia akan guna banyak masa kita (atau agen), dan kita terpaksa uruskan masa secara efektif untuk setiap temujanji yang ada.

Tak perlu terkejut kalau lepas ini anda boleh jual rumah dengan lebih mudah.

Dengan izin-Nya, korang akan ada sedikit sebanyak cara dan strategi untuk mula jual rumah korang itu lepas ini.

Bagi Tok, kita akan lebih banyak belajar kalau kita buat. Banyak membaca sahaja pun tak guna, kalau kita tak sertakan dengan tindakan.

Dah dapat jual rumah nanti, jangan lupa belanja Tok. Teringin juga Tok nak merasa steak di restoran terkemuka di Malaysia ini (P/S: Tok bergurau sahaja).

Photo by Diana Parkhouse cc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *