PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Titijaya dan CREC bina projek 3rdNvenue di Jalan Ampang

Pemaju hartanah, Titijaya Land Bhd bekerjasama dengan CREC Development (M) Sdn Bhd untuk membina pembangunan bercampur dekat tanah berkeluasan 6.06 ekar Embassy Row di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pembangunan bercampur yang dinamakan 3rdNvenue ini mempunyai GDV sebanyak RM2.1 bilion.

3rdNvenue merangkumi 4 blok yang mempunyai 2,400 unit SoHo, apartmen servis, dan juga lot runcit. Harga jualan bagi unit-unit ini bermula daripada RM500,000 hingga RM1.2 juta.

Projek ini akan dilaksanakan melalui 4 fasa dalam tempoh 7 tahun. Pembinaan dijangka bermula pada separuh pertama 2017.

Titijaya Resources Sdn Bhd (TRSB), anak syarikat milik penuh Titijaya, telah mementerai perjanjian jualan saham dengan CRECD untuk ambil alih modal terbitan dan berbayar untuk Ampang Avenue  Development Sdn Bhd (Ampang Avenue) untuk mendapatkan jumlah belian RM80 juta daripada pengarah dan pemegang saham Ampang Avenue, Chan Peng Kooh dan Rafidah Menan.

Pegang 70% dan 30% kepentingan dalam Ampang Avenue

Ampang Avenue memiliki plot 6.06 ekar tanah di Jalan Ampang.

Setelah tamat perjanjian itu, Titijaya dan CRECD masing-masing akan memegang 70% dan 30% kepentingan dalam Ampang Avenue.

CRECD adalah anak syarikat milik penuh China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh China Railway Group Ltd.

CREC merupakan salah satu daripada pemegang saham IWCH-CREC Sdn Bhd, yang merupakan syarikat usaha sama 60:40 antara CREC dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), yang akan menerajui pembangunan Bandar Malaysia di Bekas Pengkalan Tentera Diraja Malaysia di Sungai Besi.

Majlis menandatangani perjanjian antara Titijaya dan CRECD disaksikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Usaha sama pelbagaikan aliran pendapatan syarikat

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Tan Sri Lim Soon Peng berkata, kerjasama di antara syarikat itu dan CRECD adalah satu peristiwa penting, kerana ia akan mempelbagaikan aliran pendapatan syarikat.

“Kami percaya langkah korporat ini akan melengkapkan perniagaan yang sedia ada dalam pembangunan hartanah.”

“Ia juga akan membolehkan syarikat itu mendapatkan pertumbuhan strategik baru dan dapat mengembangkan masa depan dalam pembangunan hartanah di Kuala Lumpur, serta memastikan kemampanan pendapatan masa depan syarikat,” tambah Lim.

Sementara itu, Noh berkata, kerjasama antara Titijaya dan CRECD dijangka mempunyai kesan positif ke atas industri dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

“Menandatangani perjanjian ini tidak bermakna kami menjual kedaulatan Malaysia. Sebaliknya ia akan membantu kita membangunkan negara ini,” katanya, sambil menambah bahawa perjanjian itu juga akan menarik minat lebih banyak pelabur asing ke Malaysia.

Dalam perkembanan berasingan, Noh berkata, cadangan memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju masih dalam perbincangan.

Kementerian sedang meminta Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan Malaysia, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, dan badan bukan kerajaan yang berkaitan untuk mendapatkan maklum balas mengenai terma-terma dan syarat-syarat untuk lesen itu.


[Sumber berita asal: The Edge Property]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *