PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Cara-cara kenal pasti penipuan dalam urusan jual beli hartanah. Pelabur baru wajib baca

Tok nasihatkan korang berhati-hati kalau korang nak melabur dalam pelaburan hartanah.

Sebab kalau salah buat, ia boleh buatkan korang rugi banyak. Silap-silap, boleh cecah ratus ribu hingga jutaan ringgit.

Dan yang paling penting, jaga diri betul-betul daripada menjadi mangsa penipuan (scammer) dalam pelaburan ini.

Kes macam ini dah banyak berlaku. Dan adalah tanggungjawab korang sediakan diri dengan ilmu untuk elakkan masalah ni terjadi.

Perkongsian Tuan Putera Ambo ni akan bagi korang idea bila bertembung dengan golongan scammer ni, dan elakkan korang jadi mangsa.

Sentiasa berjaga-jaga dengan penjenayah jual beli hartanah

Tanah adalah aset terpenting, terutamanya bagi individu yang mempunyai perancangan pelaburan jangka panjang.

Pelaburan dengan tanah jika dibuat mengikut prosedur betul, boleh menjana pulangan yang menguntungkan.

Tapi dalam keghairahan membuat pelaburan dengan tanah, ramai yang pernah kecundang dengan nafsu sendiri. Kebanyakkan yang tak ada tanah berlumba-lumba mendapatkan tanah.

Bagi yang memiliki tanah, macam-macam perancangan bermain kat kotak fikiran. Setiap masa terbayang-bayang nilai ‘Ringgit Malaysia’ kat mata mereka.

Keadaan ini menyebabkan ramai yang tersilap langkah, hingga membuka ruang dan peluang kat penjenayah untuk jadikan mereka sebagai mangsa.

Janji serta kata-kata manis berbaur keuntungan selalu dijaja si penjenayah yang menyamar sebagai individu berpengalaman dalam bidang jual beli tanah.

Akhirnya, ia bertukar jadi mimpi ngeri dan buatkan mangsa kerugian hingga ratusan ribuan ringgit.

Cara gerak kerja penjenayah ini

1. Suspek biasanya bergerak secara individu dan terus menghilangkan diri bila dah dapat wang deposit.

2. Suspek akan berpura-pura nak jual tanah dan tawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran untuk pancing mangsa.

Suspek kemukan geran tanah sebagai bukti dan minta mangsa membuat pembayaran tunai. Mangsa sedar ditipu apabila geran tanah yang diberikan sebenarnya palsu bila diperiksa kat pejabat tanah.

3. Suspek akan jumpa mangsa untuk bincang tentang peluang perniagaan dan tender, sebelum ajak berkongsi beli tanah dan keuntungan, yang kononnya boleh dijual dengan harga lebih tinggi.

Setelah mangsa serahkan wang, suspek hilangkan diri.

4. Suspek berpura-pura untuk beli tanah dan minta mangsa keluarkan wang simpanan, kononnya untuk mengelakkan cukai.

Suspek kemudiannya melarikan wang mangsa.

5. Mangsa beli tanah daripada suspek dan membuat pembayaran penuh. Namun setelah melihat tanah tersebut mendapati tanah tu milik orang lain.

6. Suspek buat perjanjian untuk jual tanah kepada mangsa dan minta bayar wang pendahuluan. Tapi bila mangsa hendak selesaikan semua bayaran, suspek jual tanah itu kat orang lain.

7. Tukar hak milik tanah secara tak sah dengan menggunakan identiti pihak ketiga serta memalsukan maklumat peribadi.

8. Mangsa beli tanah dari suspek dan membuat pembayaran penuh, sebelum mendapati keluasan tanah tak sama seperti yang tertulis dalam geran.

Antara faktor-faktor penipuan ini berlaku:

1. Sikap tak teliti dan mudah terpedaya dengan tawaran harga tanah yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

2. Tak tahu prosedur sebenar dalam urusan jual beli tanah

3. Tak merujuk atau dapatkan pandangan pihak ketiga

4. Tanah menjadi pilihan penjenayah untuk buat urus niaga palsu dengan mangsa, sebab ia adalah aset yang mempunyai kecairan (liquidity) tinggi dalam pasaran semasa.

Macam mana nak tahu siapa mereka?

Sukar untuk kesan suspek kerana dalam kebanyakkan kes, mangsa gagal ambil identiti atau dokumen pengenalan mereka.

Mangsa juga senang-senang serahkan wang dan barang berharga, tanpa sebarang dokumen jual beli dan resit pembayaran.

Pihak polis dan badan berkaitan terpaksa mengambil masa yang panjang untuk siasat satu-satu kes, sebab maklumat yang mangsa berikan tak lengkap.

Nak elak jadi mangsa? Amalkan 6 tip mudah ini

1. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran jual atau beli tanah pada harga rendah, sampai sanggup bayar deposit dek terpengaruh dengan skrip ‘siapa cepat dia dapat’.

2. Orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam urus niaga tanah kerana penipuan macam ini tak menyasarkan golongan tertentu. Pendek kata, semua orang boleh “terkena.”

3. Semua pihak perlu bekerjasama untuk banteras kegiatan penipuan ini, tak kira dalam apa jua bentuk atau cara.

4. Orang ramai terutama masyarakat luar bandar juga perlu meningkatkan pengetahuan, bagi mengela jadi mangsa penipuan.

5. Untuk sebarang jual beli tanah, seeloknya dapatkan pandangan pihak ketiga seperti penilaian dan juga peguam.

6. Sentiasa berhati-hati kalau korang ingin melakukan urusan jual beli tanah supaya tak tertipu.

Saya harap dengan sedikit sebanyak info dan perkongsian ini dapat membantu, dan semoga korang berjaya dalam pelaburan berkaitan tanah.

Bila kita tak tahu, banyak benda yang orang lain boleh tipu kita.

Baik lagi bersedia berbanding senang-senang jadi makanan pemangsa.

Tok harap perkongsian ini dapat menambah koleksi ilmu dan buatkan korang lebih bersedia. Salam kejayaan dari Tok.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  1. Boleh tak siasat Syarikat Koperasi Hartanah Anggun Bhd? Sebab dia offer kita beli tanah tanpa deposit. RM0 tapi dia minta kita punya dokumen pengenalan diri dan “payslip” & “bank slip 3 bulan terkini.. Kalau dah Ada jawapan nanti boleh balas pada emel saya yea.. terima kasih team GH..🤗🤗🤗