PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Apa anda patut buat kalau penyewa berdegil tak nak keluar rumah?

Kadang-kadang, tuan rumah dah cukup murah hati dan bagi peluang untuk jelaskan sewa tertunggak dalam satu tempoh tertentu.

Cuma, spesis manusia yang degil ni masih ada merata-rata. Dah la gagal bayar sewa rumah. Bila suruh keluar rumah, tak nak keluar pula. Macam takde buat salah langsung.

Akan ada yang cuba ambil kesempatan selagi boleh. Dan hal ini akan menyusahkan tuan rumah itu sendiri.

So, macam mana nak handle penyewa yang jenis ketegaq nauzubillah ni?

Jom rujuk perkongsian Tuan Salkukhairi Abd Sukor ni. Semoga ilmu ini dapat bantu korang ambil tindakan perundangan yang sepatutnya.

Kalau ikutkan hati, macam-macam cara boleh buat

Saya fikir ramai yang mengalami keadaan macam ni:

“Saya ada sewakan rumah saya kepada penyewa. Tetapi penyewa dah 6 bulan tak bayar sewa.”

“Saya dah mintak penyewa keluar daripada rumah sewa, tetapi dia enggan keluar. Apakah tindakan yang patut saya lakukan?”

Ramai yang memberi pandangan dan cadangan untuk selesaikan masalah tersebut mengikut pengalaman masing-masing.

Ada yang mencadangkan buat report polis, potong bekalan elektrik dan air, tukar mangga pagar, tampal iklan rumah akan dijual, lantik kontraktor buat renovation rumah, dan macam macam lagi.

Bahkan ada juga yang mencadangkan guna samseng dan ilmu hitam untuk keluarkan penyewa. Astaghfirullah.

Tahukah korang. Cara-cara tersebut, walaupun secara kebetulannya mungkin berkesan dalam sesetengah keadaan, tapi ianya bukanlah jalan penyelesaian yang ditetapkan oleh undang-undang.

Cara keluarkan penyewa mengikut perundangan yang betul

Report polis (misalnya) bukanlah cara yang tepat untuk selesaikan masalah tunggakan sewa. Ini kerana urusan sewaan adalah transaksi kontrak antara owner dan penyewa.

Jadi, tindakan yang boleh diambil hanyalah melalui tindakan sivil. Melainkan wujudnya elemen jenayah dilakukan oleh penyewa tersebut terhadap owner seperti ada ugutan jenayah, atau cubaan mencederakan owner dan sebagainya.

Cara yang sepatutnya dilakukan mengikut undang-undang adalah seperti berikut:

1) Lantik peguam sivil.

2) Peguam akan hantar notis tuntutan tunggakan sewaan terhadap penyewa. Penyewa diberi masa 7 hari untuk menjelaskan bayaran sewaan yang tertunggak.

3) Jika penyewa masih enggan bayar tunggakan sewaan, peguam akan hantar notis penamatan sewaan dan notis pengosongan premis kepada penyewa.

4)  Jika penyewa enggan mengosongkan premis sewaan, peguam akan failkan saman terhadap penyewa.

5)  Setelah dapat penghakiman daripada Mahkamah, peguam akan failkan permohonan Writ of Distress.

6) Setelah perintah Writ of Distress diperolehi daripada Mahkamah, owner dan peguam akan pergi dengan bailiff (wakil mahkamah) diiringi dengan polis ke premis sewaan tersebut untuk mengarahkan penyewa mengosongkan premis tersebut.

Barang-barang milik penyewa akan disita dan dilelong oleh Mahkamah untuk menampung segala tunggakan sewa dan kos-kos yang berkaitan.

Elak turutkan hati dan emosi

Maka, jika ingin selamat, gunakanlah pendekatan perundangan. Bukannya mengikut emosi dan kemarahan semata-mata.

Tindakan berdiam diri dan bersabar lebih lama juga hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Jadi, bertindaklah sekarang mengikut peruntukan undang-undang.

Kalau dah cakap elok-elok pun tak jalan, elok korang ambil tindakan sivil terus.

Sebab tindakan ini lebih terjamin dan selamat untuk kita buat, berbanding segala tindakan lain seperti yang termaktub kat atas tadi.

Sekarang ni, zaman “orang makan orang.” Tak salah nak jadi baik pun. Cuma, kena berpada-pada dan sentiasa berwaspada.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  1. artikel ni bersifat kapitalis..sesuai dengan namanya – gilahartanah.

    Owner dah la tak terima duit sewa berbulan2, alih2 penulis minta owner rumah untuk lantik lawyer. dah nak keluar duit lagi..lagi bangkrut ada lagi..

    lain kali bagi advice yg zero cost. dan mudah.