KUALA LUMPUR, 16 JANUARI 2017 – Walaupun pasaran hartanah di Malaysia masih bergerak perlahan untuk tahun 2017, PropertyGuru, portal hartanah No.1 di Malaysia dedahkan harapan pengguna terhadap pasaran hartanah tempatan akan terus bertambah baik.
Bermakna, semakin ramai rakyat Malaysia dijangka akan membeli rumah tahun ini.
Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru terkini akan dijalankan pada penghujung tahun 2016 mendapati, secara keseluruhan, kira-kira 38% daripada pengguna berpuas hati dengan prestasi pasaran hartanah hari ini.
Ini telah meningkat sebanyak 10% daripada 28% yang dicatatkan pada separuh pertama 2016 dan 13% lebih tinggi daripada 25% yang direkodkan sepanjang separuh ke-2 2015.
Tinjauan Sentimen Konsumer PropertyGuru juga menunjukkan sebanyak 58% pengguna berhasrat untuk membeli rumah dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 2017, sama ada sebagai kediaman sendiri atau tujuan pelaburan.
Sekitar 38% pengguna dijangka memilih rumah baru. Manakala 15% pula beralih kepada pasaran sekunder (rumah second hand).
“Sejak 2015, pengguna dah mula terima kenyataan bahawa harga rumah tak mungkin jatuh menjunam seperti tahun 1997 atau 2008.”
“Hakikatnya, menerusi kemudahan laluan-laluan MRT terkini dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang merupakan pengubah strategi baru, harga hartanah dijangka akan terus stabil atau meningkat meskipun pada kadar perlahan.”
“Para pengguna kini lebih realistik dan dapat sesuaikan harapan mereka mengikut keadaan semasa,” kongsi Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.
Tambahnya, dengan menerima realiti keadaan pasaran semasa, golongan bakal pembeli rumah kini lebih cenderung meninjau hartanah di lokasi yang jauh daripada kawasan bandar, tetapi menawarkan kemudahan pengangkutan yang baik.
Kalau tak, golongan pembeli juga mungkin memilih unit-unit hartanah yang lebih kecil di kawasan bandar atau urban yang lain.
Keadaan ini menunjukkan kemunculan lokasi-lokasi hartanah popular baharu di kawasan subbandar di Selangor yang terletak sekitar 20 hingga 40km dari pusat bandar.
“Namun, walaupun hasrat membeli tu ada, pengguna masih risau tentang beberapa faktor lain. Antaranya termasuk keseluruhan harga hartanah yang dianggap mahal.”
“Sebenarnya, 59% bakal pembeli merasakan harga hartanah yang mahal masih lagi menjadi isu utama.”
Ini diikuti pula dengan faktor masa (44%) dan kegagalan untuk dapatkan pinjaman serta bayaran deposit awal (39%).”
Indeks Sentimen Kemampuan PropertyGuru (PASI) yang baru menunjukkan catatan skor rendah sebanyak 37 mata.
Ini bermakna, sekitar 2/3 daripada pengguna telah suarakan rasa tak puas hati terhadap harga hartanah, walaupun pemaju tawarkan pakej pembelian rumah dan diskaun dalam keadaan pasaran hartanah yang sedang perlahan.
Isu ketidakmampuan juga bertambah buruk dengan peningkatan kos sara hidup.
Manakala kenaikan gaji pula tak sejajar dengan pertambahan pelbagai kos serta kegagalan untuk dapatkan pinjaman perumahan.
Berdasarkan senario ini, isu pemilikan rumah pada tahun ini akan terus menjadi cabaran bagi kebanyakan rakyat Malaysia, khususnya golongan Generasi Y.
Sejumlah 97% responden mendedahkan keperluan untuk mendapatkan pinjaman perumahan bagi membeli rumah.
Manakala 88% responden pula berharap dapat memperoleh 80 hingga 100% pinjaman bank.
Ini bererti, pinjaman perumahan masih memainkan peranan yang amat penting dalam sektor hartanah.
Sebanyak 48% responden juga merasakan kadar pinjaman terlalu tinggi.
“PropertyGuru sentiasa menekankan pinjaman perumahan sebagai komponen penting yang perlu dikaji selanjutnya.”
“Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu memiliki rumah tanpa bantuan pinjaman.”
“Kami telah mencadangkan beberapa langkah untuk membantu golongan pembeli berpendapatan sederhana atau dalam kumpulan M40.”
“Ini merangkumi mengkaji semula kadar pinjaman, menilai kelayakan pinjaman perumahan mengikut pendapatan kasar (bukannya pendapatan bersih) dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun, atau mana-mana yang sesuai.”
“Langkah-langkah ini boleh disediakan khusus bagi mereka yang membeli rumah pertama dalam lingkungan harga RM350,000 hingga RM500,000,” jelas Fernandez.
Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru menilai sentimen dan harapan rakyat Malaysia terhadap pasaran hartanah tempatan.
Sebanyak 1,013 responden telah mengambil bahagian dalam tinjauan dalam talian ini.
Tinjauan serupa juga dijalankan secara serentak di Singapura, Thailand, dan Indonesia.
Matlamat tinjauan ini adalah untuk membantu pengguna mendapat perspektif mendalam tentang pasaran hartanah tempatan agar dapat membuat pembelian dan pelaburan yang lebih bijak.
Tinjauan ini dijalankan dengan kerjasama Intuit Research Consultants, sebuah agensi penyelidikan terkemuka antarabangsa.
[Sumber laporan asal: PropertyGuru]