PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Pertumbuhan sektor pembinaan dijangka meningkat 10% di Sarawak

Sektor pembinaan di Sa­rawak dijangka berkembang pesat sehingga mampu menggandakan pertumbuhan 10%, atau bersamaan dengan RM2.6 bilion dalam tempoh 4 tahun akan datang.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan prospek ekonomi baik dicapai oleh negeri ini sekarang, di samping disokong oleh agensi penilaian global.

Menurutnya, sejak 2010, sektor pembinaan di Sarawak telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11% setahun.

“Sarawak mempunyai prospek ekonomi yang baik ketika ini. Keadaan ini boleh dilihat berdasarkan projek mega yang sedang berjalan termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bernilai berbilion ringgit dan lain-lain projek di kawasan Taman Perindustrian Samalaju yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua nege­ri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan ketika merasmikan kilang simen bersepadu pertama di Malaysia Timur di Jalan Mambong di sini hari ini.

Sasar kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.5% dalam tempoh 7 tahun

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS), Datuk Richard Curtis; Timbalan Pengerusi CMS, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib; Pengarah Eksekutif Kumpulan CMS, Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree; Duta Jerman di Malaysia, Holger Micheal dan Menteri Muda Kesihatan Awam negeri, Datuk Dr. Jerip Susil.

Adenan berkata, pertumbuhan sektor pembinaan yang rancak turut menyumbang kepada sasaran kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.5% dalam tempoh 7 tahun akan datang, bagi membolehkan negeri ini mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Sementara itu, Curtis berkata, kilang simen bersepadu pertama dibina di Malaysia Timur terletak bersebelahan Kilang Klinker CMS di Jalan Mambong yang berupaya meningkatkan kapasiti pengeluar­an simen tahunan keseluruhan oleh CMS Berhad hampir 60 peratus kepada 2.75 juta tan metrik, melebihi permintaan tempatan sekitar 1.7 hingga 1.8 juta tan metrik ketika ini.

Katanya, jumlah pengeluar­an yang tinggi membolehkan syarikat itu memenuhi permintaan simen yang meningkat di Sarawak termasuk bagi pembinaan projek Empangan Baleh dan Lebuh Raya Pan Borneo.

Selain itu, kilang ini juga membolehkan CMS memiliki kapasiti pengeluaran simpanan untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan, meluaskan pasaran eksport dan menghasilkan lebih daripada satu jenis simen bagi memenuhi keperluan semasa,” ujarnya.


[Sumber berita asal: UTUSAN ONLINE]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *