PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Projek rumah mampu-milik terbaru MK Land di Damansara Damai.

Pemaju hartanah, MK Land Holdings Bhd (MK Land) melalui anak syarikatnya, Medan Prestasi Sdn Bhd telah  melancarkan Kondominium Resi­densi Suasana@Damai fasa pertama di Damansara Damai.

Pengasas MK Land, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, projek perumahan rumah mampu-milik itu sebagai “sentuhan terakhir” mereka.

Ini adalah projek perumahan terakhir sebelum mereka beralih fokus kepada projek pengkomersialan pada masa akan datang.

“Kami berjaya membuktikan bahawa projek penswastaan perumahan yang dipersetujui bersama kerajaan Selangor pada 1998 untuk membina 19,659 unit rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion telah dilengkapkan.”

“Projek terakhir membina rumah mampu milik ini akan dimulakan dengan fasa pertama membina 260 unit dan dijangka siap pembinaan pada 2019,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Kondominium Re­sidensi Suasana@Damai dan jamuan Hari Raya di sini semalam.

780 unit menunggu tuan yang baru.

Sebanyak 780 unit Kondominium Residensi Suasana@Damai yang dijual bermula harga RM450,300 itu dibina melalui tiga fasa dan menyediakan pelbagai kemudahan seperti berhampiran dengan stesen Mass Rapid Transit (MRT).

Sempena pelancarannya, MK Land menawarkan pakej menarik seperti diskaun sehingga 17 peratus dan kos penyelenggaraan percuma selama setahun.

Dalam pada itu, Mustapha Kamal berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Selangor kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat.

“Sebelum memulakan projek ini, kita telah menyiapkan 15,579 unit di Damansara Damai iaitu rumah kos rendah yang berharga asal antara RM25,000 hingga RM42,000 sebanyak 6,867 unit, rumah kos sederhana rendah RM60,000 hingga RM80,000 (2,178 unit), rumah kos sederhana RM81,000 hingga RM200,000 (2,179 unit) dan rumah mewah RM400,000 (3,145 unit).

“Kita yakin kejayaan ini dapat diulang oleh pemaju-pemaju hartanah kecil yang lain untuk membina rumah mampu-milik jika mereka diberi peluang,” katanya.

(Sumber utama: Utusan.com.my)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *