PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA
bajet-2023

21 Insentif Bajet 2023 Untuk Orang Muda

Tok pasti petang tadi ramai yang buka siaran langsung perbentangan Bajet 2023 sambil-sambil buat kerja, kan? 

Dah tentulah kita nak tahu apa insentif yang bakal kita terima tahun depan, lagi-lagi untuk orang muda ni. Ke ada lagi orang muda yang masih tak ambil tahu langsung pasal perbentangan bajet tadi?

Kalau ada, memang rugi sebab korang sendiri tak peka apa yang kerajaan tawarkan kat korang. Tahu-tahu nanti, orang lain dapat tapi korang pulak terlepas.

Tapi jangan risau, tengok atau tak tengok, kat sini Tok akan bantu senaraikan terus 21 insentif dari belanjawan tadi yang confirm bermanfaat untuk orang-orang muda ni. Tanpa buang masa lagi, ayuh kita selam satu per satu.

1. Instentif Penggajian Di Bawah PERKESO

Untuk bantu anak muda diberi akses pekerjaan sewajarnya, satu insentif penggajian di bawah PERKESO diperkenalkan kepada majikan yang menggajikan belia berumur 18 hingga 30 tahun yang menganggur lebih dari tiga bulan.

Ini satu medium yang baik untuk anak-anak muda yang masih susah cari kerja; sesuai sangatlah untuk fresh grad dari apa-apa peringkat sekalipun.

2. Tanggungan Caruman PERKESO Sehingga 80%

Kalau sebelum ni ada anak muda yang income tak banyak sangat tapi dah rasa terbeban dengan caruman PERKESO, hari ini kerajaan umumkan tanggungan 80% dari nilai caruman tersebut.

Inisiatif ini akan disediakan sebanyak RM150 juta ringgi bermula tahun lepas dan diperluas untuk mereka yang bekerja sendiri.

Senang cerita, anak muda yang buat kerja sendiri macam penghantar makanan, petani, melayan, penggiat seni finas dan penjaja hanya perlu bayar 20% je sekarang.

cara claim perkeso 30 1

3. Peruntukan RM305 Juta Untuk Peniaga Muda

Masa sekarang ni, Tok pasti ramai anak muda nak mula berniaga tapi modal tak cukup banyak.

Untuk galakkan lebih ramai orang muda ni berniaga, sejumlah 305 juta ringgit disediakan sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank.

4. Tawaran Pinjaman Untuk Pengusaha Food Truck

Untuk contoh bagi bantuan untuk poin ketiga tadi, sekarang ni BSN akan buat Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia dengan yang menawarkan hingga 50 ribu ringgit untuk 10 ribu anak muda menjana pendapatan seperti buka food truck sendiri.

Dengan insentif dengan dana 50 juta ringgit, Tok rasa anak muda akan lebih yakin dan tak takut untuk mula berniaga.

5. Bantuan Bayaran Lesen Untuk Belia

Yang ni Tok rasa akan sangat membantu anak muda, lagi-lagi dalam kumpulan B40 untuk jana pendapatan melalui perkhidmatan penumpang macam teksi dan e-hailing.

Kerajaan juga setuju untuk tanggung bayaran bagi anak muda dapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing di bawah program MyPSV.

Yang paling best dengar, kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.

6. Skim TEKUN Belia Mobilepreneur Diteruskan

Untuk galakkan lagi anak muda ni bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan modal 10 juta ringgit bagi membiayai modal anak muda yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motorsikal.

Ini pastinya berita baik untuk mereka yang merancang nak tambah income dengan jadi rider.

bajet-2023

7. Pakej Langganan Prabayar Pelan Data Internet

Sebelum ni Pakej Remaja Keluarga Malaysia dah bantu ramai anak muda untuk dapatkan pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30 untuk 3 bulan.

Pakej ini akan dilanjutkan hingga April 2023 di mana ia akan bantu rapatkan jurang digital dalam kalangan anak muda. Tok rasa inisiatif ni juga akan bantu melancarkan sesi pembelajaran bagi anak muda yang masih study.

8. Tambahan Peruntukan Inisiatif E-Pemula

Kalau tahun lepas korang dapat e-pemula RM150, tahun depan korang akan dapat lebih banyak lagi iaitu RM200! Tawaran ni dibuka untuk anak muda berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan total RM400 juta ringgit.

Inisiatif ini juga dibuat untuk galakkan anak muda lebih aktif gunakan medium pembayaran tanpa tunai atau cashless, yang mana Tok percaya sekarang pun ramai dah buat.

9. Dana Pinjaman Mudah ASB

Tawaran pinjaman pada kadar 1.5 peratus. Pinjaman ASB dapat membantu anak muda dalam membuat simpanan untuk masa depan. ASB juga menjana pulangan yang konsisten untuk jangka Panjang. Menurut Bajet 2023, jumlah had pegangan ASB dan ASB2 juga dinaikkan kepada RM 300 ribu.

10. Perlaksanaan MySTEP Diteruskan

Untuk mereka yang masih menganggur, inilah tawaran 50 ribu peluang kerjaya untuk anda secara kontrak.

Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan MySTEP merangkumi 15 ribu dalam sektor awam dan 35 ribu melalui GLC. Tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dan ada kenaikan gaji sebanyak RM 100.

1655804542816 masthead mobile

11. HRD Corp Menyediakan RM 750 Juta Untuk Latihan Kemahiran

Latihan ini dibuka untuk 800 ribu pekerja dan bakal meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan untuk orang muda.

Malah, sebagai usaha melahirkan bakat baharu, Suruhanya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal akan menubuhkan Dana Inovasi Digital bernilai RM 30 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran 9000 graduan.

12. RM20 Juta Untuk Program Usahawan Siswazah (PUSh)

Program ini bakal memberi panduan perniagaan dari peringkat awal sehingga berjaya. Anak muda patut mengambil kesempatan ini untuk belajar memulakan bisnes mereka sendiri. Manfaat ini bakal dinikmati oleh 1000 orang graduan yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

13. Diskaun Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

Haaa ini memang berita baik bagi mereka yang masih mempunyai hutang PTPTN. Anda boleh mendapat 20 peratus diskaun jika anda boleh menyelesaikan pinjaman secara penuh.

Anda juga boleh mendapat pengurangan sebanyak 15 peratus jika anda membayar sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang atau membayar secara potongan gaji atau debit. Inisiatif ini akan bermula 1 November sampailah 10 April tahun depan.

14. Meneruskan Inisiatif Pas Bulanan MY50

Bagi anak muda yang menggunakan kemudahan tren dan bas, anda boleh menggunakan pas bulanan My50. Pas bulanan ini membolehkan anda menggunakan kenderaan awam tanpa had dengan bayaran RM 50 sahaja. Ini bakal memudahkan 180 ribu orang pengguna pengangkutan awam.

bajet-2023

15. Meneruskan Perlaksanaan MySalam

Individu yang dijangkiti virus Covid-19 boleh mendapat pampasan melalui program MySalam. Kerajaan memberi kelulusan bagi tuntutan penyakit kritikal dan hospitalisasi berjumlah RM 734 juta kepada 1.5 juta individu B40 sejak 2019.

Inisiatif ini akan diteruskan untuk penerima BKM sepanjang 2023 nanti, jadi kalau korang pernah dijangkiti Covid sebelum ni tapi tak mintak, agak rugilah sebenarnya.

16. Skim Pembiayaan Komputer Dan Telefon Pintar

Haa, bagi anak muda yang mahu menjalankan rutin kehidupan yang lebih sihat, boleh lah mula cari smartwatch. Kerajaan akan memperluas tafsiran peranti digital, sekarang ia merangkumi jam tangan pintar, cuma yang slack sikit, kemudahan ni untuk mereka yang bekerja dalam sektor kerajaan je lah.

17. Kenaikan Gaji Tambahan Khas RM100

Penjawat awam muda mesti teruja dengan kenaikan gaji RM 100 yang diumumkan tadi. Kalau korang nak tahu, inisiatif ni diberi kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 Billion.

18. Bantuan Khas Kewangan

Tak cukup dengan naik gaji, penjawat awam muda dengan gred 56 ke bawah ni juga boleh dapat Bantuan Khas Kewangan RM700 setiap sorang!

Info tambahan; 1 juta pesara kerajaan akan nikmati bantuan khas kewangan bernilai RM350 seorang.

19. Bantuan Khas Aidilfitri

Bagi yang takut tak cukup bajet masa Raya nanti, ini memang berita baik untuk anda. Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri dinaikan kepada RM 600. Duit raya ini bakal diberi pada bulan Mac 2023 gais. Boleh la buat bajet extra untuk balik kampung!

receiving money

20. Menggalakkan Pemilikan Rumah Pertama

Tok tahu antara masalah paling famous anak muda sekarang adalah mereka takut nak beli rumah pertama.

Oleh itu, hari ini kerajaan dah umumkan kemudahan untuk beli rumah pertama melalui pengecualian bayaran duti setem yang akan dinaikkan dari 50% ke 75% sehingga 31 Disember 2023.

21. Bantuan Dari SJKP Untuk Peminjam Tanpa Pendapatan Tetap

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan Kerajaan atas pinjaman perumahan terutamanya untuk membantu ramai peminjam muda tanpa pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing dan penjaja.

Untuk bantu lebih ramai peminjam muda tahun 2023 nanti, kemudahan jaminan Kerajaan melalui SJKP akan ditambah lagi sebanyak 3 billion ringgit.

Macam mana? Korang puas hati tak dengan apa yang dibentangkan tadi?

Bagi Tok, banyak manfaat yang korang boleh dapat dari senarai kat atas ni, cuma korang kena rajinkan diri sikitlah untuk research terlebih dahulu. Tahu kat mana nak apply, tahu bila nak apply, ikut prosedur yang disediakan.

Takut nanti orang lain dapat kelebihan ni tapi korang melopong je tak dapat apa. Kita juga yang rugi nanti.

Kalau korang rasa perkongsian ni berguna, Tok nak korang share jugak dekat kawan-kawan korang supaya dapat lah korang manfaatkan segala insentif ni.

Bak kata pepatah moden, ejah sikit pun takpo, buat raso raso.

Kalau korang nak tambah lagi pengetahuan berkenaan hartanah dan pengurusan kewangan, Tok nak ajak korang join webinar Faizul Ridzuan ni. Minggu ni topik best, pasal recession tahun depan. Yang penting, korang boleh join PERCUMA je!

Berminat? Klik gambar di bawah dan daftar sekarang!

RESIZE 930X180

Comments are closed