PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Rumah Bina Negara RISDA dapat peruntukan RM100 juta. 5,000 unit bakal dibina

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menetapkan sasaran membina sekurang-kurangnya 5,000 buah Rumah Bina Negara (Rumah BN) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negara menje­lang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu mampu dicapai melalui peruntukan sebanyak RM100 juta yang diluluskan kerajaan baru-baru ini.

Kata beliau, pembinaan rumah berkenaan untuk generasi kedua di luar bandar amat penting bagi memastikan golongan tersebut mampu memiliki rumah yang selesa pada harga yang munasabah.

“Sasaran asal kita adalah 4,000 unit Rumah BN menjelang 2020 tetapi dengan bajet sebanyak RM100 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk RISDA, kita boleh membina 5,000 unit rumah.”

“Tahun ini kita telah luluskan pembinaan 100 buah Rumah BN di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM2 juta yang kini dalam proses pelaksanaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Rumah BN RISDA di Kampung Bintang, di sini hari ini.

Khas untuk golongan belia luar bandar

Yang turut hadir timbalan beliau, Datuk Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin; Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Pengarah RISDA, Mohd. Najib A. Samad.

Menurut Ismail Sabri, Rumah BN merupakan program perumahan mampu milik untuk golongan belia di luar bandar khususnya generasi ke-2 pekebun kecil RISDA.

Menerusi program berkenaan, kata beliau, kerajaan menawarkan insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap rumah yang berharga RM65,000 kepada yang terpilih.

Ansuran bulanan bermula serendah RM250

Tambahnya, kerajaan juga akan membantu mendapatkan pembiayaan untuk peserta yang layak dengan bayaran ansuran rendah pada kadar RM250 sebulan.

“Bagi belia luar bandar yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip gaji, bukti pendapatan hanya memerlukan surat pengesahan daripada ketua kampung,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited terhadap nasib dan masa depan masyarakat luar bandar khususnya golongan belia yang sukar memiliki rumah sendiri.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, masalah perumahan menjadi isu utama belia luar bandar dengan kira-kira 20.5 peratus golongan itu yang berkeluarga masih tidak memiliki rumah sendiri.

“Pelaksanaan program Rumah BN ini membuktikan keprihatinan kerajaan bagi membantu golongan belia mendapatkan rumah selesa dengan tiga buah bilik dan dua bilik air.”

“Selain itu, pelbagai program termasuk keusahawanan disediakan kementerian melalui pelbagai agensi bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya.


[Sumber berita asal: UTUSAN ONLINE]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *