PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

iProperty.com.my: Permintaan Rumah Sewa Bertanah Luas Mendorong Peningkatan Kadar Permintaan Nasional pada H1 2021

  • Rumah teres menjadi hartanah paling popular dengan pertumbuhan permintaan sewa tahun ke tahun (YoY) +14.1%.
  • Hasil sewa semua jenis hartanah kediaman menurun pada H1 2021.
  • Peningkatan sentimen pengguna telah mendorong pertumbuhan permintaan negara dan permintaan ke atas hartanah sewa di pusat-pusat bandar mulai meningkat pada H1 2021 dari dasar yang lebih rendah pada H1 2020.

KUALA LUMPUR, 5 OKTOBER 2021 — iProperty.com.my hari ini mengumumkan bahawa permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Malaysia mengalami pertumbuhan positif tahun ke tahun (YoY) pada H1 2021, meningkat kepada +1.9% daripada -5.6% pada H1 2020. Berbeza dengan H1[ai1]  2020, pertumbuhan kunjungan pengguna mengatasi pertumbuhan penyenaraian hartanah sewa H1 20211.

Peningkatan ini disebabkan oleh permintaan YoY yang ketara bagi rumah teres dan apartmen servis, masing-masing pada +14.1% dan +8.0%. Ini adalah satu perubahan yang menarik berbanding H1 2020, di mana kondominium menjadi hartanah kediaman sewa dengan permintaan tertinggi. Pengumuman itu dibuat semasa persidangan maya dwi tahunan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Hartanah Sewa) H1 2021, yang memberikan pandangan makro trend permintaan semasa dalam pasaran kediaman sewa di Malaysia.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan & Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata, “Dalam siri Analisis Permintaan Portal sebelum ini, kami menyatakan bahawa pandemik ini telah memulakan trend di mana pencari hartanah mencari ruang kediaman yang lebih besar. Hasilnya, rumah teres telah menjadi jenis hartanah paling popular pada H1 2021.

Lebih-lebih lagi, H1 2021 terus memihak kepada penyewa kerana menyewa lebih masuk akal dari segi kewangan disebabkan oleh komitmen bulanan yang lebih rendah berbanding membeli hartanah, terutama sekali semasa kadar pengangguran yang tinggi. Sesungguhnya, banyak tuan tanah yang terpaksa menyerap sebahagian daripada kemerosotan pendapatan ini dan menurunkan harga sewa unit-unit mereka memandangkan mereka terpaksa bersaing untuk menarik minat para penyewa yang stabil dari segi kewangan.

Melihat kepada sudut positifnya pula, program vaksinasi yang sedang berlangsung menyaksikan lebih daripada 80% populasi dewasa telah divaksin pada September 2021. Pengumuman kadar vaksinasi yang tinggi ini akan meningkatkan lagi keyakinan terhadap pasaran hartanah. Memandangkan kita sedang beralih ke fasa endemik menjelang penghujung Oktober, kami berharap agar pasaran hartanah akan terus pulih untuk baki tahun ini dan seterusnya ke 2022.”

Permintaan sewa meningkat pada H1 2021, namun hasil sewa semua jenis hartanah merosot

Permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di pusat-pusat bandar mulai meningkat pada H1 2021 apabila perintah kawalan pergerakan diringankan dan pelbagai aktiviti ekonomi dibuka semula seperti biasa. Secara khususnya, beberapa hab perniagaan dan kediaman yang terkenal di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi permintaan YoY. Kawasan-kawasan ini termasuklah Mont Kiara, Mid Valley City dan Pusat Bandaraya KL di Kuala Lumpur dan Pulau Tikus, George Town dan Bukit Mertajam di Pulau Pinang.

Sebaliknya, kadar pengangguran terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DSOM) ialah 4.8% pada Jun 2021, selepas empat bulan berturut-turut mencatatkan kadar pengangguran yang rendah. Masalah kewangan yang dihadapi oleh kumpulan demografi tertentu itu mengakibatkan sebahagian tuan tanah terus mengalami kesukaran untuk mencari penyewa hartanah mereka. 

Hasil sewa merangkumi semua jenis hartanah kediaman turut merosot. Pada 2020, pandemik menyokong pasaran penyewa, memberikan mereka kelebihan untuk berunding harga sewaan. Trend ini telah berlanjutan hingga ke H1 2021 di mana kemerosotan harga sewa adalah lebih tinggi berbanding kemerosotan harga jualan, sekali gus mengurangkan hasil sewa. Hasil sewa untuk rumah teres merosot kepada +2.9% daripada +3.3% pada H1 2020. Sementara itu, pergerakan hasil sewa untuk kondominium dan apartmen servis masing-masing telah merosot sebanyak 0.3% dan 0.2%, manakala pangsapuri kekal pada +4.4%.

Kawasan mewah pinggir bandar Kuala Lumpur menjadi pilihan utama penyewa

Permintaan sewa YoY di Kuala Lumpur telah meningkat daripada -2.9% kepada +2.6% pada H1 2021. Kawasan mewah Damansara Heights adalah kawasan yang mendapat permintaan paling tinggi di Kuala Lumpur. Kebanyakan pengunjung penyewa mencari rumah banglo dan semi-D berharga RM5,000 ke atas (3,000 kaki persegi dan ke atas).

Kawasan mewah pinggir bandar lain di Kuala Lumpur seperti Mont Kiara, Bangsar, Desa ParkCity, KL Sentral dan Sri Hartamas menyaksikan pertumbuhan permintaan YoY lebih daripada +10% dan menjana harga sewa lebih tinggi daripada median harga sewa RM2,000 di Kuala Lumpur. Sementara itu, di Pantai, para pengunjung berminat dengan kondominium dan apartmen servis berharga di antara RM2,500 hingga RM5,000 (1,000 hingga 1,500 kaki persegi).

Dari segi jenis hartanah yang menjadi pilihan di Kuala Lumpur, kebanyakan penyewa mencari kondominium dan apartmen servis berharga di antara RM1,500 hingga RM2,000 (1,000 hingga 1,200 kaki persegi). Unit-unit pangsapuri berharga di antara RM1,000 hingga RM1,500 (700 hingga 1,000 kaki persegi) juga popular.

Permintaan kukuh untuk rumah teres di Selangor

Selangor merupakan satu-satunya negeri utama yang mencatatkan penurunan permintaan sewa secara keseluruhan pada H1 2021 dengan penyusutan permintaan YoY sebanyak -1.0%. Walau bagaimanapun, kemerosotan itu adalah disebabkan oleh sedikit peningkatan penyenaraian hartanah sewa, yang melebihi kunjungan pengguna.

Berdasarkan  data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Suku ke-2 2021 (Q2 2021), kondominium dan apartmen servis merupakan hartanah kediaman siap dibina tidak terjual paling tinggi di Selangor, iaitu masing-masing 2,019 unit dan 2,025 unit. Walau bagaimanapun, harga sewa rumah sewa tetap kukuh pada RM1,700, selaras dengan permintaan YoY yang kukuh pada +25.5%, terutamanya untuk unit yang luas dan mampu milik di kawasan pinggir bandar.

Rawang adalah kawasan yang mendapat permintaan paling tinggi di Selangor dengan pertumbuhan permintaan YoY +57%. Sama seperti Rawang, Tanjong Dua Belas mempunyai ramai pengunjung penyewa yang mencari rumah teres berharga di antara RM1,000 hingga RM1,500 (1,500 hingga 2,500 kaki persegi). Salah satu tempat yang semakin popular ialah Setia Alam. Ini disebabkan oleh para pekerja beberapa kilang pembuatan sarung tangan getah ternama yang mencari penginapan bangunan tinggi  mampu milik di kawasan itu yang berharga di antara RM700 hingga RM1,000 (700 hingga 1,000 kaki persegi).

Permintaan kediaman bangunan tinggi di tanah besar Pulau Pinang semakin meningkat

Keseluruhan permintaan hartanah sewa di Pulau Pinang kembali pulih daripada -13.7% pada H1 2020 dan mencatatkan pertumbuhan YoY sebanyak +1.8%. Walau bagaimanapun, kondominium masih mencatatkan permintaan YoY negatif pada -5.1% kerana peningkatan penyenaraian hartanah sewa jauh mengatasi peningkatan kunjungan pengguna. Menurut NAPIC, Pulau Pinang mempunyai jumlah kondominium siap dibina tidak terjual yang tinggi iaitu 4,163 unit setakat Q2 2021.

Jika dilihat dari segi harga, median sewa di negeri itu merosot RM100 kepada RM1,400. Apartmen servis, secara khususnya, mencatatkan kemerosotan yang ketara daripada RM2,500 pada H1 202 kepada RM1,300 pada H1 2021. Kemerosotan ini disebabkan oleh penurunan senarai hartanah sewa di pulau itu dan peningkatan senarai apartmen servis mampu milik di tanah besar iaitu di Perai, Simpang Ampat dan Bukit Mertajam. Harga sewa untuk unit berkenaan di kawasan tersebut adalah di antara RM1,000 hingga RM1,500.

Simpang Ampat adalah kawasan yang mendapat permintaan paling tinggi di Pulau Pinang, di mana para pengunjung berminat dengan kondominium dan apartmen servis yang berharga di antara RM7,00 hingga RM1,000 (700 hingga 1,000 kaki persegi). Sementara itu, di Bukit Mertajam, kawasan yang mendapat permintaan kedua tertinggi di Pulau Pinang, para pengunjung mencari pangsapuri, apartmen servis dan rumah teres berharga di antara RM700 hingga RM1,000 (1,000 hingga 1,250 kaki persegi).   

Bandar-bandar di Daerah Johor Bahru menarik ramai pengunjung penyewa

Permintaan hartanah sewa di Johor melonjak kepada +6.6% daripada -19.5% pada H1 2020, manakala median harga sewa menurun sebanyak RM200 kepada RM1,200. Sama dengan Pulau Pinang, kondominium dan apartmen servis mencatatkan kemerosotan paling ketara dari segi harga, dengan kejatuhan harga RM300 daripada H1 2020 kepada RM1,200 pada H1 2021. Menurut DOSM, peratusan penduduk yang tinggal di dalam hartanah milik mereka sendiri di Daerah Johor Bahru menyusut daripada 73.2% pada 2014 kepada 69.7% pada 2019, manakala peratusan penyewa telah meningkat daripada 23.4% kepada 28.4% dalam tempoh yang sama.

Sebagai kawasan yang mendapat permintaan paling tinggi di Johor, Pasir Gudang mempunyai pengunjung penyewa yang mencari rumah teres berharga di antara RM1,000 hingga RM1,500 (1,500 hingga 2,000 kaki persegi). Di tempat kedua ialah Ulu Tiram, di mana kebanyakan pengunjung mencari pangsapuri berharga di antara RM700 hingga RM1,000 (700 hingga 1,000 kaki persegi) dan rumah teres berharga di antara RM1,000 hingga RM1,5000 (1,500 hingga 2,000 kaki persegi).

* * *

Mengenai iProperty.com.my

iProperty.com.my beribu pejabat di Kuala Lumpur dan mempunyai lebih 200 kakitangan.  iProperty.com.my adalah portal hartanah terkemuka dalam pasaran, menawarkan pengalaman carian dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my turut menyediakan  penyelesaian untuk pengguna seperti LoanCare – petunjuk kelayakan pinjaman rumah, saluran Berita & Gaya Hidup – kandungan yang merangsang perjalanan pencarian hartanah pengguna, acara – menghubungkan pencari hartanah dengan ejen dan pemaju di luar talian, dan banyak lagi. Syarikat ini adalah sebahagian daripada  PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Asia Tenggara.[ai2]  2

1 Pertumbuhan/kemerosotan permintaan hartanah sewa untuk kediaman pada H1 2021 ditentukan oleh jumlah pengguna (penyewa) yang berkunjung ke iProperty.com.my berbanding bekalan hartanah, yang diwakili oleh senarai kediaman sewa yang aktif di dalam iProperty.com.my pada tempoh yang sama.

2  Dari segi penguasaan pasaran keterlibatan relatif berdasarkan kepada data SimilarWeb.

Comments are closed