PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

COVID-19 : Pencarum KWSP dibenarkan keluar RM500 sebulan daripada akaun 2 bermula 1 April 2020

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sidang Media telah mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 billion.

Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020.

Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

Menurut beliau :

“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4% yang berkuatkuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barangbarang keperluan harian.

Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barangbarang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga.

Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.”

Ini pula apa yang Tok dapat daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan bahawa ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 bermula 1 April 2020. Ahli dijangka menerima wang pengeluaran tersebut melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, “Diharapkan kemudahan i-Lestari akan memberikan kelegaan dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas dalam keadaan semasa yang tidak menentu. Sebagai sebuah institusi dana persaraan, KWSP perlu mengimbangi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli dan pada masa yang sama menjaga kesejahteraan mereka dalam waktu getir sebegini. “

Tambah beliau, kelonggaran untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 ahli akan memerlukan pindaan kepada Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6). Katanya lagi, “Kami meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin. Emel khas bagi i-Lestari juga telah disediakan iaitu [email protected] untuk ahli menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan. Soalan berserta maklum balas ini kemudiannya akan dikemaskini dalam senarai soalan lazim (FAQ) sedia ada yang telah dimuat naik ke laman sesawang www.kwsp.gov.my.”

Alizakri juga mengingatkan ahli tentang kepentingan menggunakan pertimbangan wajar apabila membaca tentang sesuatu berita atau paparan media sosial. “Terdapat pelbagai unsur penipuan dan berita palsu yang disebarkan terutamanya melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter. Para ahli diingatkan bahawa KWSP hanya membuat makluman kepada ahli melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi. “

Pastikan korang ikut saranan pihak Kerajaan. Jangan keluar kalau tak perlu. Jaga kesihatan.

Tok doakan yang terbaik buat semua.

Take care and stay safe, okay? #KitaJagaKita

Comments are closed