Apa manfaat yang bakal anda dapat daripada program bantuan PEMERKASA Tambahan?

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru saja memberi perutusan khas berkenaan program bantuan PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus. Tok mestilah tak nak terlepas update terkini. Jadi apa yang anda bakal dapat? 

#1 : Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tambahan

Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan 2.1 bilion ringgit bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah 2,500 ringgit, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak 500 ringgit dan isi rumah berpendapatan antara 2,501 hingga 5,000 , akan menerima kadar sebanyak 300 ringgit. Golongan bujang pula akan menerima 100 ringgit. 

BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak 2.4 bilion ringgit. 

#2 : Moratorium 

Hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium. 

Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan. 

Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga 30 bilion ringgit. Insha-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini. 

#3 : Pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah (HOC)

Semasa pembentangan pakej PENJANA pada Jun 2020, Kerajaan telah mengumumkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah atau HOC yang akan berakhir pada hari ini, 31 Mei. Sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem HOC tersebut sehingga 31 Disember 2021.

#4 : Program Subsidi Upah di bawah PERKESO

Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama 1 bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos 1.5 bilion ringgit dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan, ditanggung oleh Kerajaan. Adalah dijangkakan 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan akan mendapat manfaat. 

#5 : Pengecualian pembayaran levi

Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021. Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran.

Tok akan update details berkenaan PEMERKASA Plus ini dari semasa ke semasa. Stay tuned!

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]