Patahkan nafsu berbelanja anda lepas fahamkan konsep ini. Orang kuat shopping wajib baca

Ada banyak (mungkin berjuta) sebab yang buatkan kita beli barang yang tak perlu, dan berbelanja lebih dari yang patut.

Tok percaya, semua orang ada soalan ini:

“Apakah Punca yang buatkan kita beli, dan terus membeli barang yang kita tak perlukan?”

Setiap perkara yang terjadi, pasti ada penjelasan yang tersendiri. Tak kira dari sudut rasional, saintifik, atau lain-lain perspektif.

Tok orang biasa-biasa saja. Nak kata ahli psikologi atau falsafah, jauh sekali.

Tapi lepas baca artikel Joshua Becker ni, Tok tak dapat nak tahan jari jemari dan menulis bagaikan 2 profesion yang Tok baru sebutkan tadi.

Tok harap artikel ini dapat kenyangkan korang. Bait ayat bermanfaat sangat enak disantap sebagai sarapan minda. Setuju?

Masa untuk selamatkan duit anda daripada melebur

Korang pernah dengar tak terma Diderot Effect?

Ada sedikit sejarah yang Tok nak kongsi. Terma ini berasal daripada Denis Diderot, seorang ahli falsafah Perancis sekitar abad ke-18 (kita pun belum lahir lagi masa ni).

Penjelasan mudah untuk terma ini adalah:

“Pembelian sesuatu barang akan membawa kepada pembelian barang yang lain.”

Tok nak kongsikan beberapa contoh supaya kita senang nak faham.

  • Kita baru beli baju baru. Akan timbul rasa nak padankan baju itu dengan kasut, atau seluar yang baru. Baru ngam.
  • Danny dapat bonus dan terus tukar kereta Honda Civic (sebelum ini, Danny pakai Viva). Danny akan keluarkan duit lebih banyak untuk minyak yang lebih mahal (RON 97), dan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.
  • Tiara baru beli sofa baru untuk ruang tamu. Bila dia selesai susun sofa ini, meja pula tak padan dengan warna sofa baru itu. Terpaksa keluar duit lagi untuk beli meja lain sebagai ganti.

Ada pelbagai lagi contoh lain yang ada dalam dunia serba moden ini. Tekanan daripada kawan-kawan (peer pressure) juga adalah salah satu punca.

Kalau ada kawan kita beli jam tangan baru, mula kita rasa panas punggung. Padahal, jam kat tangan kita masih lagi berkilat dan boleh guna lagi.

Hidup manusia cenderung untuk memiliki benda baru. Dan kita tak mudah puas hati dengan apa yang kita ada.

Ini adalah sifat semulajadi yang ada kat kita semua. Jarang-jarang ada orang suka nak downgrade taraf hidup semasa. Sebab kita dah terlampau selesa.

Yang paling menarik, kita dah sedia maklum yang idea satu pembelian akan jadi punca kepada pembelian yang seterusnya, dan ia boleh jadi pembelian yang tak dirancang (unplanned purchases).

Macam mana nak atasi masalah ini? Teruskan bacaan.

5 tip berkesan elakkan duit anda jadi mangsa nafsu

#1: Kurang dedahkan diri kat pencetus nafsu belanja

Tabiat tak akan kuasai diri kalau tak ada pencetus.

Cara paling berkesan untuk patahkan kesan Diderot Effect ini, adalah dengan elakkan diri daripada bertembung dengan segala pencetus yang bangkitkan nafsu belanja korang.

Contohnya, kalau nak berhenti beli rokok, jangan simpan pemetik api kat dalam poket. Kalau tak nak tukar kereta, jangan menggatal pergi test drive Honda Civic baru.

Ramai orang mengaku mereka boleh tahan nafsu.

Tapi hakikatnya, tak semua orang boleh buat. Kalau nafsu dah kuasai diri, sila bersiap sedia tengok duit korang bakal melebur.

#2: Latih sesuaikan diri dengan keadaan semasa anda

Bila beli sesuatu barang yang baru, kita terpaksa bersedia keluarkan duit lebih untuk beli barang ekstra.

Tok bagi korang satu contoh mudah.

Korang dah pakai smartphone jenama Samsung. Kalau korang gatal nak tukar beli iPhone, korang akan keluarkan duit lagi untuk beli kabel atau casing baru untuk iPhone itu.

Selagi barang itu boleh dipakai dan masih elok, apa sebab kena tukar yang baru?

Biar saja orang lain bergaya. Kalau korang tak ada duit nak makan, belum tentu lagi orang lain boleh belanja.

#3: Setkan had perbelanjaan anda

Bajet yang baik boleh bantu anda kurangkan belanja. Tapi kalau tak ada disiplin, tak guna juga.

Buatlah bajet yang baik macam mana sekalipun, kalau dah biasa jadi hamba nafsu, kita tetap akan kalah juga. Peperangan paling hebat adalah dengan diri kita sendiri.

Bila dah set bajet untuk ubahsuai rumah atau makan malam, setiakan diri dengan bajet itu, tak kira apa pun yang berlaku.

#4: Harta benda bukan penentu segalanya

Hidup anda tak ditentukan dengan harta benda yang korang ada.

Tak bermakna korang pakai jam jenama Rolex atau Bell & Ross, orang lain akan confirm hormat korang. Sebab nak orang lain pandang korang tinggi, korang sanggup berhabis duit beli itu ini.

Tak perlu percaya kat setiap ayat pemasaran yang dilontar kat korang. Dah memang tujuan utama mereka nak sedut duit korang sampai habis.

#5: Sedar yang sifat manusia tak pernah cukup dengan apa yang ada

Katakan, korang pakai kereta Myvi. Mesti ada cita-cita nak tukar kereta Honda Civic pula lepas ini.

Dah rezeki, korang dapat juga pakai Honda Civic. Lepas ini, apa pula? Mercedes? Audi? Maybach? Bentley? Ferrari atau Lamborghini? Atau nak beli Bugatti?

Manusia tak akan pernah rasa cukup. Selagi boleh, akan ada impian atau target baru dalam hidup. Kalau betul mampu, korang beli kapal terbang pun Tok tak kisah.

Pakai kereta apa pun, fungsinya tetap sama. Supaya korang boleh sampai ke poin B daripada poin A. Jadi, tak ada masalah kalau nak pakai kereta Myvi saja.

Sedar yang kemahuan bukan satu perkara yang patut kita turuti. Ia bukan satu perintah yang bersifat wajib.

Godaan nafsu adalah “kawan” korang yang nakal, dan ia sentiasa ada dalam diri setiap manusia.

Yang terbaik kita boleh buat, adalah belajar kawal perkara ini. Kalau tak, ia akan jadi masalah besar dalam hidup korang.

Tok tahu korang boleh buat. Sebab korang dah pasang niat nak jadi orang yang berjimat-cermat. Semoga berjaya kalahkan nafsu berbelanja korang ya.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *