e837b90b2af1093ecd0b470de7444e90fe76e6d219b1134795f0c0 640 kuala lumpur 2

Pasaran hartanah masih terkawal walaupun bergerak perlahan.

Pasaran hartanah meneruskan aliran penurunan tahun lepas susulan senario ekonomi yang tak menentu termasuk ekonomi China yang lembap, menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Faizan Abdul Rahman berkata, walaupun sektor hartanah akan menyaksikan aktiviti pasaran yang sederhana, kelembapan masih terkawal terutamanya bagi subsektor kediaman yang didorong oleh penawaran projek perumahan mampu millik.

“Kami menjangka menyaksikan pembetulan harga dan pertumbuhan yang perlahan dalam indeks harga rumah disebabkan penawaran perumahan mampu milik oleh sektor awam dan swasta.”

“Program MyDeposit dan inisiatif kerajaan lain yang sedang dilaksanakan serta intensif, selain kadar semalaman yang disemak semula baru-baru ini dijangka meningkatkan sentimen pasaran hartanah,” katanya kepada pemberita pada Kajian Pertengahan Tahun Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia.

Harga hartanah masih kekal tinggi. 

Beliau berkata, secara keseluruhan, harga hartanah kekal tinggi tetapi pada kadar yang lebih rendah, menyebabkan pemaju hartanah kurang melancarkan projek.

Faizan juga berkata, indeks harga rumah merosot sejak 2012.

Pada 2012 dan 2013, indeks harga rumah pada 2 angka tetapi menurun kepada satu angka pada 2014 dan 2015.

Pada suku ke-4 2015, indeks susut 0.8% kepada 7.2% berbanding 8.0% pada tempoh yang sama pada 2014.

Pasaran runcit sebaliknya, dijangka sederhana berikutan sentimen perbelanjaan pengguna yang berhati-hati kerana peningkatan kos sara hidup.

Berhati-hati luluskan projek baru. 

“Subsektor pejabat dijangka tak berubah. Kesan daripada projek mega seperti Tun Razak Exchange dan Menara 118 belum dapat dilihat berikutan ia berada pada peringkat awal pembinaan.”

“Berdasarkan penawaran ruang pejabat yang mencukupi, pihak berkuasa berhati-hati dalam meluluskan projek baru.”

Beliau berkata, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan dan hampir siap seperti Transit Aliran Ringan dan MRT akan memberi kesan pemangkin kepada sektor hartanah.

Ditanya mengenai prospek bagi pasaran hartanah pada tahun depan, Pengarah Urusan Datuk Siders Sittampalam berkata ia bergantung kepada ekonomi global.

“Terdapat pelbagai projek yang dirancang kerajaan di bawah Bajet 2016 dan infrastruktur telah ada untuk meningkat ekonomi.”

“Bagaimanapun, prospek bagi pasaran hartanah berkembang maju tetapi ia masih bergantung kepada pasaran global,” katanya.

(Sumber asal: Utusan.com.my)

Leave a Reply

Your email address will not be published.