18.10.16 Mohd. Shafie Abdullah 1

Rancang mahu bina 1,500 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pekan

Syarikat pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) merancang membina sebanyak 1,500 unit rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kuala Pahang di sini.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Shafei Abdullah berkata, projek perumahan itu akan dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 58.67 hektar.

“Kita telah berbincang dengan pihak PR1MA dan pada dasarnya, mereka telah bersetuju dengan perkara ini.”

“Pembinaan rumah PR1MA ini merupakan sumbangan UDA Holdings kepada rakyat di Pekan terutama dalam mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah Larian Jambatan UDA Pekan 2016 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Mainkan peranan tanggungjawab sosial korporat

Larian Jambatan UDA Pekan 2016 merupakan program julung kali dianjurkan syarikat berkenaan dan mendapat penyertaan seramai 1,500 peserta termasuk pelari antarabangsa dari Somalia dan Kenya.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita (tempatan dan antarabangsa) dengan jarak lapan kilometer dan Fun Walk sejauh tiga kilometer.

Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, RM800 (kedua), RM700 (ketiga), RM500 (keempat) dan RM400 untuk pemenang tempat kelima.

Berhubung program larian itu, Mohd. Shafei berkata, meskipun UDA Holdings fokus terhadap operasi perniagaannya, namun syarikat itu sentiasa memainkan peranan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau berkata, acara larian berkenaan adalah cetusan idea UDA Holdings bagi mendokong aspirasi kerajaan melahirkan rakyat yang mementingkan gaya hidup sihat.

“Program seumpama ini juga dilihat mampu memberi pendedahan kepada masyarakat umum tentang peranan UDA Holdings yang bukan sahaja menumpukan kepada operasi perniagaannya, malah turut bersama-sama kerajaan melahirkan masyarakat yang sihat dan seterusnya mampu meningkatkan produktiviti negara.”

“Menerusi program ini juga, ia mampu memberikan ruang kepada seluruh keluarga untuk beriadah dan memanfaatkan masa hujung minggu bersama-sama,” katanya.

[Sumber berita asal: UTUSAN ONLINE]

Leave a Reply

Your email address will not be published.