PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA
kesilapan-kewangan-anak-muda

Kesilapan kewangan anak muda, mula dari simpanan sampailah hal negara.

Kalau silap urus kewangan, boleh jadi anda terpaksa tanggung sakit untuk satu jangka masa yang agak lama.

Hakikatnya, ramai yang kecundang kat gaya hidup terkini, seperti fesyen, kereta, dan banyak lagi. Mana boleh nampak “cikai.”

“Gaya kena jaga bro, baru orang lain pandang dan hormat kita.” 

Ya, tapi batang hidung sendiri yang kena tanggung nanti. Bila dah terhantuk nanti, baru ada akal. Masa tu, baru padan dengan muka anda.

Buat orang muda yang Tok kasihi, baca perkongsian ilmu Tuan Mohd Fadhli Mohd Fauzi ni. Masih sempat untuk ubah masa depan kewangan anda menjadi lebih baik.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna

Bila renung-renung balik kehidupan zaman muda remaja, banyak kesilapan yang saya buat dalam kehidupan yang fana.

Terpanggil pula untuk coretkan 12 perkara yang berlegar-legar dalam minda ni untuk tatapan pembaca.

Kalau saya simpan pun tak ada faedah juga.

Bila sebut anak muda, saya maksudkan yang umurnya bawah 30 tahun, serta yang baru mulakan kerjaya atau baru habis belajar.

Ramai yang masih mentah dan budak hingusan lagi. Tak hairanlah banyak kesilapan yang kita semua lakukan. Yang bernasib baik ada yang bimbing seawal mereka remaja.

Tapi yang tak berapa bernasib baik, mereka belajar dari pengalaman dan membayar yuran kebodohan.

#1: Bab simpanan

Ramai anak muda menyimpan selepas berbelanja. Sepatutnya simpan dahulu barulah belanja.

Nak simpan berapa banyak? Lagi banyak lagi bagus. Minima 10%. Kalau dapat simpan 100% lagi hebat dan belanja harian guna duit kerja part-time.

Lepas simpan lupakan terus. Bukannya bila rasa nak makan sedap terus korek semula duit simpanan. Sampai bila-bila pun tak akan penuh kalau macam tu.

Masa belajar duit ptptn buat joli. Yang dapat biasiswa pun serupa juga berjoli tak ingat dunia. Kalau masa belasan tahun tu dah mula menyimpan dan melabur kan bagus. Tapi masa tu mana ada sifu nak ajar. Huhu.

#2: Bab perlindungan

Terpedaya dengan ejen yang mislead. Takaful dijadikan simpanan.

Takaful adalah perlindungan.

Saya ulang sekali lagi. TAKAFUL ADALAH PERLINDUNGAN.

Nak ambil banyak mana? Ikutlah berapa banyak yang nak dilindungi. Sebaiknya jangan bayar melebihi 10% gaji. Fokus untuk perlindungan.

Tapi lagi dahsyat bila takde perlindungan langsung. Ermm…

#3: Bab kereta

Bila mula kerja, terus pergi showroom tengok kereta. Yang gaji konon besar sikit confirmpergi showroom kereta import punya.

Kedai kereta terpakai letak tepi dan dipandang sepi, dan langsung tak ingin jejak kaki.

Graduan baru biasa beli kereta baru melebihi jumlah setahun gaji. Alasannya mudah. Senang nak ke sana sini untuk urusan kerja. Atau untuk beri good impression kepada client katanya.

Nak bawa keluarga dan mak ayah jalan-jalan pun mudah. Kereta baru tak banyak ragam hujahnya.

Boleh memang boleh, tapi belilah yang asas saja. Fungsinya kereta hanya untuk bawa kita dari poin A ke poin B . Nak beli baru atau terpakai, masing2 ada pro dan con sendiri.

Ikut formula beli kereta untuk anak mudah, yang saya kopipes dari abang kacak Azizul Azli Ahmad kat bawah ni:

a) Formula 20:5:15

  • 20% downpayment,
  • 5 tahun tempoh pembiayaan (lebih rendah, lebih baik),
  • 15% gaji untuk ansuran bulanan (lebih rendah, lebih baik),

b) Gaji x 12 bulan = harga kereta yang korang boleh beli

  • RM3,000 x 12 bulan = RM36,000 (Perodua Axia, Saga).
  • RM1,500 x 12 bulan = RM18,000 (kereta terpakai).

c) Mana nak cari kereta terpakai murah? 

  • Cari kat kedai kereta terpakai. Biasanya harga mahal sikit daripada sepatutnya, tapi mudah urusan jualbeli dan untuk push dapatkan waranti jangka masa pendek,
  • Kat Internet (seperti Mudah.my). Kedai kereta banyak letak iklan kat medium macam ni. Kadang-kadang terselit owner yang jual sendiri kereta mereka (biasanya murah sikit berbanding harga pasaran),
  • Tanya kenalan. Ringankan mulut bertanya geng-geng sekerja atau kawan-kawan grup WhatsApp. Kalau ada rezeki, mesti ada yang nak jual kereta. Boleh kawtim harga murah.

d) Macam mana nak pastikan kereta terpakai itu berkualiti?

  • Boleh bawa kawan mekanik kereta untuk teman survey sekali. Bab bayaran pula, boleh PM tepi.

#4: Bab pembiayaan peribadi

Ini memang penyakit berjangkit. Maklumlah baru lepas daripada hidup dalam kongkongan.

Dengan lambakan iklan personal loan kat sana-sini, terus rambang mata. Dibantainya maksimum terus tapi ilmu takde. Konon nak niaga atau buat bayar deposit kereta.

Ada yang konon nak berhipster. Beli gadget mahal2 sahaja. Konon nak reward diri yang penat bekerja. Bergaya tapi papa. Entah apa-apa.

Kalau ada ilmu, personal loan tu boleh jana juta-juta. Tapi tak ramai yang macam ni. Jadi, lupakan saja dan sebaiknya elakkan.

#5: Bab kad kredit

Seronok bila bank tawar kad kredit masa buat personal loan, beli rumah, atau kereta. Bantai terus semuanya. Guna had semaksimum mungkin tapi bayar seminimum yang boleh. Haha.

Patutnya lepas swipe, terus bayar full dalam tempoh 20 hari untuk elak kena caj tambahan, sambil kumpul poin untuk redeem tawaran istimewa.

#6: Bab CCRIS

Bila dah terjebak dengan kereta mahal dan rumah mahal (termasuk personal loan), akan wujud pula alasan tak mampu bayar PTPTN.

Entah-entah nanti bayaran ansuran kereta dan rumah pun tersangkut. Tercalit angka 1, 2, 3 dan seterusnya kat laporan CCRIS.

Bank tengok pun rasa nyampah nak luluskan pembiayaan. Bila rejek, salahkan bank, salahkan bank dan salahkan bank. Yang lagi teruk, PTPTN pun disalahkan.

Ya, saya tahu. Mesti ada yang kata kerajaan patut bagi biasiswa sebab tu korang malas nak bayar. Saya setuju bab biasiswa tapi PTPTN ni dah jadi hutang korang. Maka, saya tak setuju korang tak bayar. Okay?

Macam mana nak keluar daripada masalah ini?

  • Selesaikan segala mak nenek tunggakan tu cepat-cepat. Saya tahu. Bercakap lebih mudah. Tapi kalau korang berusaha, pasti ada jalannya.
  • Tunggu setahun selepas setel tunggakan supaya rekod buruk hilang kat CCRIS.

Tak nak buat? Tunggulah rumah terlelong, kereta ditarik dan diisytihar bangkrap. Saya mampu bagi nasihat je.

#7: Bab pelaburan

Tengok orang melabur, kita pun nak melabur. Tapi satu habuk pun tak faham.

Melabur ikut-ikutan, sebab itu tersontot dengan scammer. Tunjuk kononnya dapat pulangan ribu-ribu dan boleh beli kereta mewah, terus terpedaya dengan mudah. Siap ajak orang lain lagi untuk tumpang sekaki.

Sama juga dengan ASB. Orang buat, kau pun nak buat. Tapi matlamat tak ada. Tersangkut pula nak buat pembiayaan rumah sebab ASB.

Kemudian salahkan ASB. Ilmu ASB kau tak tau tapi buat-buat mahu. Nak jana puluh ribu daripada ASB kena ada matlamat dan ilmu.

Rumah pun sama. Orang beli kau pun nak beli. Tapi matlamat tak ada. Ikut-ikutan saja.

Mana yang ikut ilmu betul tapi tersangkut tu memang belum rezeki. Tapi yang langsung tak ada ilmu tapi nak buat juga, itu yang jadi masalah.

Tak hairan kalau ada yang sanggup bayar ribu-ribu untuk seminar yang entah apa-apa. Seminar motivasi tapi dikatakan seminar hartanah.

Seminar yang ajar ilmu asas saja. Malah boleh dapat percuma pun. Tapi masih ada yang sanggup bayar sampai beribu ringgit.

#8: Bab rumah

Muda-muda dah ada impian nak miliki rumah banglo memang bagus dan hebat. Dari impian, ia boleh menjadi kenyataan.

Cuma, ramai anak muda hari ini lebih tertumpu nak terus beli rumah impian terus, dan tak fikir risiko perangkap kewangan.

Kesilapan biasa yang mereka buat adalah

1) Nak beli rumah impian dan terus menabung dan menabung sebab nak terus rumah impian. Menabung dah lama, tapi tak beli-beli juga sebab masih tak cukup. Bila duit deposit dah cukup, harga rumah impian pula dah naik mendadak.

2) Tak faham konsep pembiayaan islamik. Dituduhnya riba backdoor dan disamakan dengan pinjaman konvensional. Terpengaruh dengan dakyah lalu nak beli rumah tunai sahaja.

Kumpul-kumpul duit, lepas beberapa tahun dah cukup tapi harga rumah dah naik. Terpaksa kumpul lagi dan lagi, tapi harga rumah terus naik.

3) Terus beli rumah impian yang mahal gedabak, undercons pulak tu. Ilmu hartanah tak ada, tapi main ikut cakap orang. Bantai terus 60 hingga 75% gaji untuk beli unit undercons.

Tiba-tiba unit terbengkalai, tak ke naya? Atau kalau bernasib baik, tak terbeban ke bayar smpai 3/4 gaji untuk rumah? Bila rumah terlelong, salahkan bank pula.

Nak salahkan diri rasa malu.

Jadi, mereka bertindak salahkan kerajaan, pelabur, dan semua orang sebab harga rumah semakin meningkat. Hanya diri sendiri saja yang dirasakan betul.

Apa yang anak muda boleh buat?

  • Mula kumpul duit deposit seawal mungkin,
  • cari dan belajar ilmu hartanah, terutama sekali teknik beli rumah dengan modal yang minima,
  • beli rumah bawah nilai pasaran (below market value). Kalau bernasib baik, boleh dapat zero down-payment,
  • boleh saja nak beli projek undercons. Tapi kena belajar dulu macam mana nak elakkan risiko pemaju lari atau projek terbengkalai,
  • tak salah beli rumah murah dulu sebagai pelaburan pertama bagi menjana pendapatan. Ia boleh dijual semula atau refinance selepas nilai rumah meningkat nanti. Barulah boleh upgrade sikit demi sikit hingga dapat rumah impian.

Antara perancangan yang ideal untuk orang muda ikut

  • Beli rumah secara zero deposit (projek undercons atau rumah sub-sale yang below market value),
  • sentiasa rekod dan isytihar pendapatan sewa supaya DSR cantik untuk bank tengok,
  • gunakan duit untung sewaan untuk cover ansuran bulanan rumah sewa. Lagi best kalau untung sewaan tu, dapat cover duit sewa rumah yang kita duduk sendiri.

Contohnya:

  • Rumah yang kita sewakan: Ansuran bulanan RM500. Kita sewakan RM1,000 dan dapat lebihan tunai RM500 (untung sewaan).
  • Rumah yang kita duduk sendiri: Ansuran bulanan RM500. Gunakan untung sewaan tadi untuk tanggung ansuran rumah ni. Kita? Cuma duduk saja. Penyewa tolong bayarkan.

#9: Bab kahwin

Kahwin tak salah. Tapi kebanyakan orang buat salah untuk kahwin. Habis duit puluhan ribu untuk majlis.

Baru mula kerjaya biasanya duit masih ciput. Kalau buat majlis mahal-maha, ada 2 sebab saja. Sama ada mak pak belanja atau buat personal loan.

Bila buat personal loan la yang sangat-sangat salah. Anak dah tiga pun belum tentu habis bayar.

Sebenarnya majlis nak raikan pengantin atau nak menunjuk kepada hadirin?

#10: Bab pekerjaan

Pilih kerja. Sanggup tunggu berbulan-bulan hingga dapat kerja yang sesuai.

Takpun, suka lompat-lompat kerja. Ingat ya. Yang paling lambat masuk adalah yang paling awal keluar bila bos nak kurangkan saiz pekerja.

Zaman la ni nak dapat kerja ideal bukan senang. Kerja dulu apapun dan upgrade dari semasa ke semasa. Jangan pilih kerja sangat tapi pilih bos takpe. Hehe.

#11: Bab cukai

Cukai haram dah jadi mainan mulutnya. Satu apa pun tak isytihar dan tak bayar. Buat bisnes kaw-kaw tapi tak declare pendapatan. Seronok rasa duit banyak.

Tapi lepas beberapa tahun, tiba-tiba LHDN dapat hidu. Habis dikorek satu persatu. Nah amik kau cukai sampai puluh ribu. Tak bayar, bangkrap!

Nak salahkan siapa? Ke hanya kau yang betul?

#12: Bab mengundi

Merungut dan salahkan kerajaan tak sudah-sudah. Kutuk pembangkang dan kutuk kerajaan. Mulut laser dan pandai cakap sahaja. Banyak sangat benda yang tak betul.

Tapi bila tanya PRU lepas kau undi siapa? Dijawabnya, “aku tak daftar pun”. Choi!

Kalau dah tersentak dan tersedar awal, wajib mulakan tindakan segera. Sebab masa tak pernah menunggu sesiapa, walaupun tinggi mana darjat seseorang tu kat muka bumi ni.

Anak menteri atau anak raja sekalipun, masa tetap akan layan anda serupa macam orang lain juga.

Tok doakan anda senang hadam dan faham perkongsian kali ini. Semoga ia bermanfaat ya.

–Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed