Kadar OPR dikekalkan pada 1.75%

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 1.75 peratus.

Ekonomi global terus pulih, disokong oleh peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan. Kekuatan pemulihan berbeza-beza merentas pelbagai negara terutamanya mengikut liputan pemberian vaksin, pelonggaran langkah-langkah pembendungan dan tahap sokongan dasar. Negara-negara yang mencapai kemajuan yang lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin telah dapat melonggarkan langkah-langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri terus pulih. 

Rangsangan fiskal dan monetari yang besar di beberapa negara maju terus menyokong momentum pemulihan. Keadaan kewangan juga kekal menyokong pertumbuhan. Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan. Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik berikutan munculnya varian yang membimbangkan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan perubahan dasar monetari ekonomi utama.

Bagi ekonomi Malaysia, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan. Walau bagaimanapun, pelonggaran yang diberikan secara berperingkat baru-baru ini kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi, di samping kemampuan syarikat yang lebih tinggi untuk membuat penyesuaian dalam persekitaran operasi yang baharu serta sokongan dasar yang berterusan, sebahagiannya akan mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.

Pada masa hadapan, pelonggaran langkah-langkah pembendungan yang selanjutnya, kemajuan pesat program pemberian vaksin dalam negeri dan pengembangan permintaan global yang berterusan akan menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2022. Walau bagaimanapun, risiko terhadap prospek pertumbuhan kekal cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri. Faktor-faktor ini termasuk kelewatan dalam pelonggaran atau pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan secara keseluruhan yang disebabkan oleh kesan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan. 

Sejak awal tahun hingga kini, purata inflasi keseluruhan ialah 2.3% dan diunjurkan antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2021. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, prospek ini terus bergantung pada perkembangan harga komoditi global dan langkah-langkah dasar bagi meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh orang ramai. Walau bagaimanapun, inflasi asas dijangka kekal rendah secara relatif pada tahun 2022.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Selain itu, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Bank Negara Malaysia
09 Sep 2021