PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Jawab 3 soalan ini dulu sebelum buka akaun kat mana-mana bank

Boleh kata, bank adalah keperluan yang semua orang patut ada. Kita bukan lagi hidup kat zaman tok kaduk, nak simpan duit bawah bantal. Ia lebih selamat dan efisyen, lebih-lebih lagi untuk orang yang berbisnes.

Tapi, apakah kriteria yang perlu kita pertimbangkan sebelum bertindak memilih sesuatu bank?

Kalau korang ada persoalan ini, Tok nak kongsikan artikel Ahmad Mudhakkir ni untuk bantu korang buat keputusan yang tepat.

#1: Adakah anda ada akses mudah ke bank itu?

Walaupun (boleh kata) semua bank kat Malaysia beroperasi secara online, kita masih kena hantar segala dokumen dan butiran peribadi secara fizikal.

Bermakna, kita kena datang kat dan uruskan hal-hal pendaftaran akaun kat bank itu sendiri.

Jadi kalau nak mudahkan kerja kita, cari bank yang dekat dengan tempat tinggal. Kita tak tahu berapa kerap nak kena turun naik bank untuk urusan ini atau urusan lain, kan?

Strategi terbaik adalah dapatkan dulu segala maklumat tentang bank yang hampir dengan rumah kita, selain mengkaji kelebihan membuka akan kat bank tertentu.

Selain itu, tengok dulu ada tak kemudahan ATM bank itu kat kawasan yang korang selalu pergi. Contohnya, ada tak ATM dekat kawasan pejabat korang? Lain cerita kalau tak kisah bank lain telan duit kita (untuk servis MEPS).

#2: Apakah fi ekstra yang anda kena bayar?

Alang-alang dah bercakap pasal MEPS tadi, apa kata kita masuk lebih mendalam pasal servis ini?

Sebab tak logik juga kalau kita berhempas-pulas mencari ATM bank yang kita gunakan. Kalau nak cepat dan terpaksa, takkan nak cari juga ATM bank kita kan?

Dapatkan maklumat pasal caj yang kita kena bayar bila gunakan servis ATM bank lain. Caj ini akan berubah daripada satu bank ke bank lain. Jadi, adalah bagus untuk kita ambil tahu perkara ini.

Lagi satu. Kita boleh kaji dulu berapa caj kalau kita gunakan servis ini kat luar negara. Sama juga seperti kes kat atas tadi, lain bank akan kenakan caj yang berbeza.

Lain-lain bayaran yang kita kena ambil tahu adalah yuran overdraf dan penalti (kalau duit dalam akaun kita berada kat bawah jumlah tertentu).

#3: Apakah jenis servis yang anda perlu guna?

Apakah matlamat utama yang kita nak capai? Adakah nak cari akaun simpanan tetap yang tinggi faedah? Atau kad kredit yang terbaik dari ladang, atau lain-lain instrumen kewangan yang untungkan kita?

Kenal pasti dulu matlamat ini. Lepas tu, baru cari dan kaji setiap tawaran yang bank bagi dan pastikan ia sesuai untuk kita gunakan.

Mungkin ada tawaran istimewa seperti diskaun dan sebagainya, bila gunakan pelbagai perkhidmatan kat bank yang sama. Berikan perhatian kat tawaran macam ini juga ya.

Kalau kita berbisnes dan terpaksa gunakan pelbagai bank, pastikan bank lain itu serasi dengan bank asal kita. Jadi, urusan bank tak akan jadi terlampau rumit.

Oh, lagi satu. Periksa juga kebolehan bank yang kita pilih untuk urusan secara online yang baik.

Tip Bonus: Adakah saya perlu pilih perbankan Islam?

Bagi yang beragama Islam, Tok tak perlu jelaskan lebih lanjut. Memang Tok galakkan korang pilih sistem perbankan ini berbanding sistem konvensional.

Tak semua bank tawarkan perkhidmatan ini. Tapi, Tok perasan yang semakin banyak bank yang mula ambil perhatian kat sistem ini. Kan lagi bagus kalau kita hidup dalam sistem kewangan yang patuh syariah?

Duit kita pun In Shaa Allah dijamin berkat.

Kalau nak tahu lebih lanjut, Tok sarankan korang telefon dan tanya kat pegawai bank sendiri. Dapatkan maklumat tentang kelebihan dan kekurangan, dan buat keputusan daripada situ.

Pada pengamatan Tok, perbankan Islam lebih banyak kebaikan berbanding kekurangan. Dan ia juga lebih telus berbanding sistem perbankan konvensional. Tapi, jangan percaya cakap Tok bulat-bulat. Korang rajinkan diri kaji habis-habis dulu tau.

Dah tentu korang nak kerja jadi senang kan? Kalau bab perbankan ini dah settle, korang boleh tumpukan perhatian kat benda lain pula. Tak perlu semak-semak dah pasal bank.

Yang utama, cari yang berikan banyak kelebihan kat korang, bergantung kat keperluan perbankan korang ya.

Apa-apa pun, Tok doakan korang berjaya memilih bank yang terbaik. Ameen.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *