Ini strategi beli kereta pertama berharga RM29,000, tanpa pinjam duit bank langsung. CCRIS juga akan benci anda sebab tak berhutang.

Kereta bukan lagi satu alat untuk bermegah semata-mata (tapi Tok rasa masih ramai yang ada mindset seperti ini).

Ia sudah jadi satu barang keperluan, selain sekadar bawa pemandu dari poin A ke poin B (disamping berikan keselesaan dan keselamatan kepada pemandu dan keluarga).

Senang cerita, kurang-kurang satu keluarga kena ada sebuah.

Hakikat yang bakal Tok kongsikan lepas ini, pasti ramai orang sakit hati nak dengar dan terima.

Ramai orang lebih rela berhutang sebab nak pakai kereta. Tak perlu pelik kalau bersepah kereta luar negara atas jalan raya Malaysia ini. Tok rasa, korang tau sebab apa.

Ini fakta yang anda perlu tahu – hutang kereta langsung tak pernah beri untung.

Berhutang untuk beli kereta adalah tindakan yang kurang bijak. Sebenarnya, kita boleh sahaja beli kereta secara tunai. Malah ia lebih baik daripada korang bayar kat bank bulan-bulan.

Baik betul hati korang sebab bagi tokey bank itu bertambah-tambah kaya.

Tak berdosa pun kalau nak beli kereta secara tunai. Kalau korang dah mula terfikir, korang boleh mulakan terus lepas hadam perkongsian Tok  ini.

Tok betul-betul bersyukur kepada Allah SWT, sebab Tok jumpa ilmu yang Tuan Zaidi Ismail kongsikan ini.

Ia pasal cara-cara untuk beli kereta secara cash. Boleh Tok kongsikan ilmu ini kat korang.

Sebelum kita mulakan… (penting untuk anda baca dan faham).

Tok mohon korang baca dan fahamkan 3 nota ini dahulu:

Nota 1: Ambil ilmu ini sebagai konsep dan idea sahaja. Ilmu ini berdasarkan pengalaman Tuan Zaidi Ismail, dan ia bergantung kepada kapasiti dan keperluan masing-masing. 

Nota 2: Kenderaan pula tak terbatas kepada kereta sahaja. Ia boleh jadi lori, van, motosikal, bas, bot, malah kapal terbang dan jet peribadi tanpa perlu minta derma orang ramai. 

Nota 3: Segala kadar dalam artikel ini adalah rekaan semata-mata, supaya kita jelas dan faham cara kira untung dan rugi untuk beli kereta yang kita nak pakai.

Dah baca semua nota atas ini? Alhamdulillah. Dengan lafaz Bismillah, mari kita mulakan.

Anda bakal tahu ilmu nak beli kereta secara tunai lepas ini.

Mari mulakan dengan contoh situasi ini:

“Aku nak beli sebuah kereta. Bajet bayaran ansuran bulanan yang aku mampu adalah sebanyak RM400 sebulan.”

Sekarang, cuba uji keupayaan kewangan kita guna strategi ini:

Mula simpan RM800 untuk tempoh 12 bulan. Simpanan ini terbahagi kepada 2 bahagian:

  • RM400 sebagai bayaran bulanan.
  • Lebihan RM400 untuk kos minyak, penyelenggaraan, cukai jalan tahunan, insurans, dan sebagainya.

Langkah ini sebagai latihan dan ujian untuk pastikan kita ada kapasiti (keupayaan kewangan) nak tanggung pakai kereta.

Kalau gagal simpan jumlah ini selama 12 bulan, bermakna kita masih belum mampu atau layak nak pakai kereta.

Tindakan ini latih kita untuk berdisiplin pasal duit. Kalau tak boleh simpan jumlah yang sikit ini, tak payah mimpi nak pakai kereta.

Katakan kita dah berjaya kumpul RM800 selama 12 bulan. Kita akan ada simpanan sebanyak RM9,600.

Pada kadar keuntungan 7% (bergantung kepada bank), jumlah simpanan kita berjumlah RM10,272.

Langkah-langkah nak beli kereta tunai pertama anda.

Ini langkah-langkah untuk kita beli kereta secara cash: 

1. Mula beli kereta tunai pertama kita dengan simpanan RM10,000 ini. Buat segala perkara yang perlu sebelum beli kereta itu, seperti periksa kondisi kereta, mileage, dan sebagainya).

2. Kumpul duit lagi (guna jumlah yang sama seperti sebelum ini). Kali ini, untuk tempoh 18 bulan. Kita akan ada simpanan berjumlah RM7,704 (ini termasuk kadar keuntungan sebanyak 7%).

Baki selebih RM400 akan kita gunakan untuk bayar kos bulanan seperti sebelum ini (minyak, insurans, penyelenggaraan, dan lain-lain).

3. Jual kereta pertama tadi pada harga RM8,000. Ini dikira pada kadar susut nilai sebanyak *20% untuk tempoh 18 bulan.

*Kadar susut nilai ini adalah andaian semata-mata untuk bagi kita faham idea dan konsep ini.

4. Beli kereta tunai pada harga RM8,000 + RM7,000 yang kita berjaya kumpul itu. Jumlah ini bernilai RM15,000.

5. Teruskan simpan duit (guna kadar yang sama seperti sebelum ini) selama 18 bulan lagi. Ulangi langkah ini untuk beberapa kali lagi. Ini bergantung kepada objektif yang kita nak capai).

Contohnya, kita nak beli kereta berharga RM29,000 secara tunai. Oleh itu:

a) Kumpul duit untuk 12 bulan pertama = Kita boleh beli kereta berharga RM10,000.

b) Kumpul duit untuk 18 bulan berikutnya = Boleh beli kereta berharga RM15,000. 

c) Kumpul duit untuk 18 bulan berikutnya = Boleh beli kereta berharga RM19,000. 

d) Kumpul duit untuk 18 bulan berikutnya = Boleh beli kereta berharga RM23,000.

e) Kumpul duit untuk 18 bulan berikutnya = Boleh beli kereta harga RM25,000. 

f) Kumpul duit untuk 18 bulan berikutnya = Boleh beli kereta harga RM29,000. 

Jumlah ini boleh dinaikkan lagi, ikut harga kereta yang korang nak beli itu.

Dalam masa 102 bulan (atau 8 tahun 6 bulan), kita boleh memiliki kereta dengan harga RM29,000 secara tunai.

Cuba bandingkan ini dengan keadaan biasa (yang ramai orang lain suka buat).

Bayangkan kalau kita bayar ansuran kepada pihak bank sebanyak RM400 setiap bulan.

Daripada bayar mereka, lebih baik bayar kepada diri kita sendiri.

Strategi ini boleh buat nama kita selamat jadi mangsa CCRIS (Credit Checking Reference Information System) Bank Negara Malaysia. Ini boleh beri kelebihan kepada kita di masa hadapan.

Video ini boleh buka mata kita supaya tak beli kereta pertama guna duit bank.

Tok juga kongsikan video Dave Ramsey. Beliau mengulas berkenaan topik ini secara ‘panas’. Kalau korang rasa jenis cepat melenting, Tok tak cadangkan untuk tengok video ini.

P/S 1: Video ini dalam bahasa orang putih.

P/S 2: Bahasa dalam video ini agak kasar. Tok dah beri amaran siap-siap.

Sumber: Dave Ramsey YouTube Channel

Kereta tunai milik kita akan jadi lebih elok dari segi keadaannya. Kereta baru yang dibeli oleh kawan-kawan kita (yang dibeli secara hutang) itu akan jadi semakin lusuh dan berumur.

Malah, harga kereta itu akan susut teruk sejurus keluar daripada showroom. Silap-silap, ada yang masih belum habis bayar hutang kat bank.

Kita juga akan ada pengalaman guna lebih 5 buah kereta pada tempoh masa yang sama, berbanding orang lain.

Lagi syok. Sebab orang lain boleh guna satu kereta sahaja sampai habis bayar hutang.

Kalau korang suka, boleh pakai kereta korang lama-lama. Kalau tak, boleh dijual, atau trade-in dan tukar kereta yang korang nak.

Tak ada halangan dalam hal ini, sebab kita hanya guna kereta itu untuk tempoh 18 bulan sahaja.

Strategi ini boleh bantu kita lebih fokus untuk libatkan diri dalam pelaburan pada masa hadapan. Lagi berbaloi daripada bazirkan duit dan masa untuk bayar ansuran bulanan kereta (yang tak ada manfaat itu).

Amalkan 3 perkara yang Tok kongsi ini, kalau anda betul-betul serius nak beli kereta secara tunai. 

Tok kongsikan kata kunci untuk menjayakan strategi ini. Ia adalah:

  • Disiplin yang tinggi,
  • tahap sabar yang jitu,
  • belajar kawal nafsu.

Tok boleh cakap ini: Tak mustahil untuk beli kereta secara tunai.

Ramai orang dah buat. Soalnya, sanggup atau tak sanggup sahaja.

Sebelum apa-apa, tanya diri korang dulu dengan soalan ini:

“Korang sanggup bersabar demi keuntungan untuk jangka masa panjang, atau korang lagi sanggup tanggung kerugian untuk jangka masa panjang?”

Photo by Aero7MY

8 thoughts on “Ini strategi beli kereta pertama berharga RM29,000, tanpa pinjam duit bank langsung. CCRIS juga akan benci anda sebab tak berhutang.

  1. 3000
    3120
    3244
    3373
    3507
    3647
    3792
    3943
    4100

    lambat sangat tu…lepas nak dekat 9 tahun baru nak beli kereta cash 29k…kalau progress keje 9 tahun gaji naik banyak dah…kalau keje gaji start 3k naik 4% setahun, dah naik 4.1k..belum kira kenaikan pangkat/lompat keje/bonus bagai..boleh je hutang beli kereta ni…tapi berpadan dgn gaji yg ada..kalau ikut teori tok, tahun pertama nak kene simpan 800 sebulan, baik utang bank baya myvi ke axia ke 300-500 sebulan..kete baru maintenance ape sgt pun..nak save beli 2nd hand usia 3 tahun ke bawah..save lagi….kalau nak beli cash jugak..jgn beli kete, beli under value property, mark up loan n cash out beli kete cash..abih citer…umah dapat, kete dapat..

    1. btw masing2 ade pendapat masing2. mungkin pandangan atok applicable utk org yg nak beli kereta kedua. tp kalo org yg baru nak beli kereta pertama, cara atok ni sgt tak sesuai. bayangkan lepas 8-9 tahun br nak ada kereta. walaupun byr cash tp on that time lepas 8-9 tahun kereta apa je yg 29k? time tu nilai ringgit pun ntah berapa. skrg ni ada ke kereta baru harga bwh 20k? apatah lagi 8-9 tahun akan dtg. inflasi tetap ada.

  2. Klu nk tunggu macm tu sampai tua la baru beli….sedangkan itu keperluan nk bawa keluarga…..nk redah ujan….yg kita perlu perjuangkan adalah pinjaman tanpa bunga.

  3. Sebagai orang yg beragama islam sepatutnya mengambil berat soal hukum.
    Loan bank sudah pasti ada riba’. Jadi ini bukan soal bagi bank untung. Tp akibat dari dosa riba’ tu sendiri. jika niat demi memerangi riba’ Allah akan bantu. Tips dari penulis pun sangat berguna. Hanya luruskan niat sebagai orang islam.

Leave a Reply