4382227613 07ceef698e tax 1

Ilmu ini boleh bantu anda buat rancangan menjual hartanah dengan baik

Tok rasa ramai yang tahu pasal RPGT, atau dikenali dengan nama lain sebagai CKHT.

Ia nama pendek yang merujuk kepada Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT). Cukai ini adalah sejenis cukai keuntungan modal yang dikenakan ke atas penjualan hartanah di Malaysia.

Kalau korang dah tahu, tahniah Tok ucapkan.

Tapi, Tok nak tumpukan perhatian kepada yang masih samar-samar tentang cukai ini. Sebab itu muncul idea dalam otak Tok nak kongsikan pekara ini supaya lebih ramai orang tahu.

Mari kita sama-sama belajar pasal cukai ini. Yang dah tahu, boleh ulangkaji atau tambah di ruangan komen untuk bantu yang tak tahu. Tok kongsikan pasal ini berdasarkan apa yang Tok baca di blog Tuan Najib Mohamed.

Apa maksud RPGT (Real Property Gain Tax) atau CKHT ini?

Menurut Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976,CKHT adalah cukai yang dikenakan ke atas keuntungan daripada penjualan hartanah.

Ia adalah cukai yang kita kena bayar dan ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN).

Ia dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan semua jenis hartanah seperti rumah kediaman, bangunan komersial, tanah, atau saham dalam syarikat hartanah.

Kadar CHKT adalah antara 0% hingga 30%, dan ia bergantung kepada tempoh pegangan.

Ini merujuk kepada tempoh waktu kita beli sesuatu hartanah hingga tarikh hartanah itu dijual.

Tarikh pemerolehan hartanah merujuk kepada tarikh yang tercatit dalam perjanjian jual beli bersetem, atau Borang KTN 14A bersetem (atau memorandum pindah milik bersetem).

Ia dikenakan ke atas jumlah keuntungan bersih selepas harga jualan ditolak harga belian, dan lain-lain perbelanjaan seperti:

  • duti setem,
  • yuran guaman,
  • bayaran iklan,
  • kos ubahsuai rumah,
  • bayaran pentadbiran,
  • komisyen jualan, atau sebagainya.

Tempoh pegangan adalah daripada tarikh Perjanjian Jual Beli, sehingga tarikh penjualan.

Individu dan syarikat boleh dikenakan CKHT.

Kenapa kita ada cukai keuntungan hartanah di negara ini?

  • Sebagai langkah membendung spekulasi hartanah untuk elakkan property bubble. 
  • Dari masa ke semasa, kerajaan boleh membuat keputusan untuk naikkan atau kurangkan CKHT berdasarkan agenda semasa mereka. Pernah berlaku (sekitar April tahun 2007 hingga Disember 2009), CKHT terkecuali dalam dunia hartanah untuk meransang pelaburan.
  • CKHT (seperti mana-mana cukai) adalah sumber pendapatan negara.

Bagaimana nak kira CKHT ? 

Kalau nak lupuskan hartanah dengan kadar keuntungan yang besar, korang kena bayar cukai ke atas keuntungan modal bersih berbanding keuntungan modal kasar.

Keuntungan modal kasar boleh dikira dengan mengambil harga jualan yang dikurangkan dengan harga belian.

Keuntungan modal bersih = Keuntungan modal kasar – perbelanjaan kasar, seperti:

  • yuran guaman,
  • yuran agen hartanah (2% hingga 3% daripada harga jualan),
  • yuran pentadbiran,
  • perbelanjaan yang dibuat untuk tingkat-taraf hartanah (seperti kerja ubahsuai rumah dan kerja-kerja reka bentuk dalaman), dan lain-lain perbelanjaan.

Nota: Boleh simpan semua bil atas ini supaya mudah nak rujuk balik bila jual hartanah kita.

Ini pula adalah jadual kadar cukai hartanah di Malaysia.

ckht2

Sumber: najibmohamed.com

Contoh kira CKHT adalah seperti berikut:

Harga Jual Hartanah pada 10 Januari 2014 = RM 300,000. 

(Tolak)

Kos Renovation = RM 10,000.

Kos Guaman = RM3,000.

Kos Perunding Hartanah (3%) = RM 9,000.

Jumlah Kos Sampingan yang lain = RM 22,000. 

Harga Pelupusan Hartanah = RM 300,000 – RM 22,000 = RM 278,000.


Harga Belian pada tahun 2013 = RM 200,000.

(Tambah)

Bayaran Duti Setem = RM 3,000.

Kos Guaman = RM 2,500.

Jumlah Kos Pindah Milik = RM 5,500. 


Harga Pemerolehan 2013 = RM 205,000. 


Keuntungan Atas Jualan Hartanah = RM 278,000 -RM 205,000 = RM 73,000. 

(Tolak)

Pelepasan RM 5,000 atau 10% daripada keuntungan (yang mana lebih tinggi) = RM 7,300. 

Keuntungan yang akan kena cukai = RM 73,000 – RM 7,300 = RM 65,700. 


Cukai yang dikenakan (Pelupusan Tahun Kedua) = 30% X RM 65,700 = RM 19,710. 

Jadi, jumlah cukai yang kita kena bayar adalah sebanyak RM 19,710.

Boleh ke CKHT dikecualikan?

Boleh. Antara pengecualian CKHT adalah seperti berikut:

  • Pengecualian ke atas keuntungan daripada penjualan hartanah sekali dalam seumur hidup kepada individu (jadi, gunakan peluang ini dengan bijak).
  • Pengecualian ke atas keuntungan daripada penjualan hartanah antara ahli-ahli keluarga. Contohnya:
  1. Suami dan isteri,
  2. ibu bapa,
  3. anak-anak,
  4. datuk dan nenek,
  5. dan cucu.
  • 10% daripada keuntungan ATAU RM10,000 begi setiap transaksi (yang mana lebih tinggi) tak akan dikenakan cukai.

Ilmu yang baik akan tambah korang jadi lebih berani dalam bidang ini.

Tok harap, perkongsian ini dapat buatkan korang lebih jelas tentang CKHT . Selagi boleh bantu, akan Tok bantu dengan sedaya upaya.

Lagi bagus kalau korang rajinkan diri ke kelas hartanah atau baca buku tentang hartanah yang ada. Supaya korang bertambah-tambah jelas pasal CKHT ini. Oh, dan korang boleh klik sini kalau nak dapatkan maklumat lanjut tentang cukai ini.

Lagi banyak ilmu korang, bertambah berani korang nak melangkah ke depan dalam bidang hartanah ini. Tok percaya 101% korang boleh buat.

Photo by Muffet cc

Leave a Reply

Your email address will not be published.