Noh Omar (tengah) diiringi Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor (kiri) dan Pengerusi Penganjur MAPEX, Datuk Ng Seing Liong melawat ke ruang pameran selepas merasmikan MAPEX 2016 di Kuala Lumpur. Sumber gambar: MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN

Mahu bina 1 juta unit rumah mampu milik sebelum 2018

Seba­nyak 723,000 unit rumah mampu milik sedang dibina di seluruh negara di bawah pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan yang diya­kini mampu mencapai sasaran satu juta unit menjelang 2018.

Menteri Perumahan dan Ke­rajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah itu mewakili 70 peratus daripada ke­seluruhan satu juta unit rumah yang dijanji disediakan sebelum 2018 oleh kerajaan Barisan Nasional dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2013.

Beliau berkata, rumah-rumah berkenaan disediakan ke­ra­jaan melalui projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia(PPA1M), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selain kerajaan negeri.

“Kita dah agih dengan PR1MA 500,000 unit, SPNB 100,000 unit, PPA1M 100,000 unit, KPKT 60,000 unit dan kerajaan negeri 120,000 unit.”

“Bagi kementerian, daripada kuota 60,000 unit itu, sekarang tinggal 6,800 unit lagi.”

Berjaya capai kuota yang ditetapkan

“Berdasarkan laporan, PPA1M pun sudah capai kuota, SPNB pun hampir mencapai kuota manakala PR1MA sudah hampir 50 peratus (capai kuota),” kata­nya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan definisi Majlis Perumahan Negara, rumah mampu milik adalah yang berharga RM300,000 dan ke bawah seunit.

Dalam pada itu, Noh berharap satu mekanisme baharu dapat diwujudkan institusi kewangan dalam mengatasi masalah pembiayaan akhir bagi pinjaman perumahan, yang menyebabkan banyak rumah mampu milik tidak terjual.

“Saya cadangkan REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) dan bank berbincang untuk memperkenalkan skim-skim bagi mengatasi masalah pembiayaan akhir,” katanya.

Menurutnya, laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menunjukkan kira-kira 11,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sudah siap tetapi tidak terjual.

Mengulas lanjut mengenai projek pembangunan 10,000 unit pangsapuri untuk disewakan di kawasan bandar, Noh berkata, sebanyak 8,000 unit projek itu, yang dikenali sebagai Projek Pangsapuri Studio Transit Belia, akan dibina mulai tahun depan.

“Ia akan disewakan kepada golongan muda yang baru me­langkah ke alam pekerjaan pada kadar yang lebih murah berban­ding harga pasaran tetapi mereka hanya dibenarkan menyewa unit itu sehingga lima tahun sahaja,” katanya. – BERNAMA

[Sumber berita asal: Utusan Online]

1 thought on “Mahu bina 1 juta unit rumah mampu milik sebelum 2018

Leave a Reply