Login

Register

Login

Register

Belanjawan 2021 – Apa bantuan yang ada untuk orang bujang?

| |

Macam biasa, Tok akan pastikan anda sentiasa updated tentang pembentangan bajet negara setiap tahun. 

Buat yang tak sempat tengok pembentangan Belanjawan 2021, Tok akan rumuskan untuk anda dalam perkongsian ini. 

Khas untuk perkongsian ini, Tok akan fokuskan setiap intipati Belanjawan 2021 yang berkaitan kepada golongan bujang. Jemput hadamkan tanpa was-was. 

#1 – Bantuan untuk individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah

Menurut pengumuman Bajet 2021 yang diumumkan Menteri Kewangan kita, Kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). 

Nama bertukar, tapi tujuan tetap sama – untuk membantu meringankan beban rakyat. 

Pemberian BPR ini dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion, berbanding 4.3 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion sebelum ini. 

Antara bantuan yang golongan bujang akan terima seperti: 

Bagi individu bujang yang berpendapatan RM2,500 ke bawah, mereka akan menerima bantuan RM350. 

Had umur kelayakan juga diturunkan kepada 21, berbanding syarat sebelum ini iaitu 40 tahun. 

#2 – Peruntukan untuk mendapatkan kemudahan internet

Kerajaan juga turut memperuntukkan RM1.5 bilion untuk melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN. 

Program ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan golongan B40 bagi mendapatkan kemudahan internet. 

Bermula suku pertama 2021, lebih kurang 8 juta penerima dari golongan B40 akan menerima RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi. 

Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet, atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baru. 

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion dalam bentuk data percuma. 

#3 – Meningkatkan pendapatan boleh guna (take-home pay)

Kadar caruman minimum KWSP pekerja akan dikurangkan daripada 11% kepada 9% bermula Januari 2021. 

Pengurangan ini akan berlangsung untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna (atau take-home pay). 

Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion. 

#5 – Pengeluaran simpanan KWSP Akaun 1 

Kerajaan juga mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar, sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan. 

Pengeluaran ini akan membantu setiap ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringkan beban kewangan kepada 600 ribu ahli yang terjejas. 

Ahli yang layak boleh mula memohon mulai Januari 2021. 

Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000. 

#6 – Program Baucar Perlindungan Tenang 

Melalui program ini, setiap penerima bantuan B40 akan diberi baucar RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang. 

Ini termasuk takaful hayat dan kemalangan diri. 

Dalam masa yang sama, Kerajaan juga akan melanjutkan tempoh pengecualian duit setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang, dengan sumbangan tahunan tidak melebihi RM100 untuk tempoh 5 tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025. 

#7 – Tambah baik Bantuan Bayaran Bersasar 

Institusi perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, yang merupakan penerima BSH dan bakal penerima BPR. 

Bantuan ini juga akan diberikan kepada perusahaan mikro, dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000. 

Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan berikut: 

Opsyen #1 : Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan, atau; 

Opsyen #2 : Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan. 

Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan opsyen dan menyempurnakan dokumentasi. 

#8 – Pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan 

Pada masa ini, PERKESO menanggung pekerja yang hilang pekerjaan melalui pemberian Elaun Mencari Pekerjaan. 

Elaun ini diberi selama 6 bulan, di mana bulan pertama layak menuntut 80% gaji dan secara beransur-ansur berkurang kepada 30% gaji. 

Sehubungan itu, bagi tahun 2021, tempoh Elaun Mencari Kerja akan dilanjutkan selama 3 bulan dan kadar layak menuntut seperti berikut: 

a) 80% gaji bagi bulan pertama, 

b) 50% gaji bagi bulan ke-2 hingga ke-6, 

c) 30% bagi 3 bulan terakhir. 

Untuk tujuan ini, sebanyak RM150 juta akan disediakan dan dijangka memanfaatkan 130 ribu orang pencari kerja. 

#9 – Inisiatif pengambilan pekerja bawah PERKESO diteruskan 

Kerajaan juga akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah PERKESO (yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya). 

Insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan, kepada 40% daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan. 

Insentif ini diberikan untuk tempoh 6 bulan. 

Bagi mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripaa RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional. 

Inisiatif PenjanaKerjaya ini diperuntukkan dengan sejumlah RM2 bilion dan dijangka akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 250 ribu pencari kerja. 

#10 – Program peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling dan upskilling)

Program ini akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan. 

Bagi tahun 2021, sejumlah RM1 bilion diperuntukkan untuk 200 ribu pelatih antaranya merangkumi program berikut: 

a) RM150 juta diperuntukkan bagi program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) iaitu graduan baru ditawarkan baucar bernilai RM3,000 seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta. 

Dijangka 50,000 graduan akan memperoleh manfaat daripada program ini. 

b) RM100 juta kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengna majikan sektor swasta. 

c) RM100 kepada MDEC untuk memudahan peralihan bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri ICT yang kian mengembang. 

Bagi menggalakkan rakyat meningkat kemahiran serta menceburi bidang baru, skop pelepasan cukai yuran pengajian akan diperluas meliputi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran oleh badan-badan bertauliah, terhad kepada RM1,000 bagi setiap tahun taksiran. 

#11 – Inisiatif MySTEP (Short-term Employment Programme)

Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif MySTEP atau Short-term Employment Programme, dengan peruntukan lebih RM700 juta. 

Usaha ini akan menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan (GLC) bermula Januari 2021. 

35,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor awam dengan keutamaan mengisi jawatan seperti: 

  • Jururawat, 
  • Medical attendant, 
  • Pegawai kebajikan masyarakat, serta 
  • Guru sementara. 

Syarikat GLC pula akan menyediakan 15,000 peluang pekerjaan yang mengutamakan bidang teknikal dan kewangan, serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan (apprentice program). 

#12 – Program Subsidi Upah Bersasar 

Menerusi pakej-pakej ransangan, subsidi upah disediakan sehingga 9 bulan dengan peruntukan melebihi RM15 bilion. 

Sehingga 31 Oktober 2020, Kerajaan telah menyalurkan RM12.5 bilion bagi membiayai Program Subsidi Upah, PERKESO yang membantu 2.7 juta pekerja dan lebih daripada 330 majikan. 

Walau bagaimanapun, masih ramai pekerja terkesan, terutamanya dalam sektor pelancongan. 

Dengan ini, Kerajaan akan melanjutkan pelaksaaan Program Subsidi Upah selama 3 bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 ke bawah. 

Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. 

Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan dan dijangka akan membantu kira-kira 70,000 majikan dan 900,000 pekerja. 

#13 – Perlindungan sosial 

KWSP akan membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada KWSP Akaun 2 untuk membeli produk perlindungan insurans, takaful hayat dan penyakit kritikal bagi diri dan keluarga yang diluluskan oleh KWSP. 

Bagi menggalakkan simpanan hari tua, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas caruman Skim Persaraan Swasta atau PRS dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025. 

#14 – Had pelepasan cukai pendapatan 

Had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000, tambahan RM500 yang dikhususkan bagi perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan. 

Skop pelepasan ini juga diluaskan untuk meliputi langganan surat khabar eletronik. 

#15 – Kemudahan pengangkutan 

Perlaksanaan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan bandar Kuantan dengan peruntukan keseluruhan RM300 juta. 

Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana dengan harga RM30 sebulan. 

— 

Pada pendapat Tok, Belanjawan 2021 ni memang mengutamakan kesejahteraan rakyat. 

Orang bujang, mohon bersyukur atas segala bantuan yang diberikan oleh Kerajaan ini. 

Apa pendapat anda tentang perkongsian ini? Jemput kongsikan pandangan anda dalam ruangan komen yang disediakan. 

Anda juga boleh bantu SHARE perkongsian ini kepada rakan-rakan dan keluarga anda supaya mereka tahu tentang kelebihan ini. 

Previous

Belanjawan 2021 : Berita baik untuk pembeli hartanah

Belanjawan 2021 : Apa bantuan yang anda bakal dapat kalau dibuang kerja?

Next

Leave a Comment