28.10.16 portfolio image 6 1

Bina Darulaman Berhad lancar 3,256 unit rumah baru di Kedah

Bina Darulaman Berhad (BDB) akan melancarkan 3,526 unit rumah baru di negeri Kedah bermula tahun 2017 membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM1.001 bilion.

Ini termasuk dengan mewujudkan 2 perbandaran baru terletak di Kubang Pasu dan Sungai Petani.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Izham Yusoff berkata, 2 perbandaran itu ialah Darulaman Saujana di Kubang Pasu dan Darulaman Putra di Sungai Petani.

Kedua-duanya perbandaran ini memiliki GDV masing-masing sebanyak RM122.75 juta dan RM241.30 juta.

Malah katanya, daripada 535 unit rumah yang akan dibangunkan di Darulaman Saujana sebanyak 236 unit rumah berharga di bawah RM200,000 sebuah, manakala 299 unit lagi berharga antara RM200,000 hingga RM500,000 sebuah.

223 buah rumah di Darulaman Putra bawah harga RM200,000

Tambahnya, di Darulaman Putra pula, daripada 491 unit rumah yang dibangunkan seba­nyak 223 buah berharga di bawah RM200,000 sebuah.

Beliau berkata, pelancaran 2 projek perbandaran baharu itu menggambarkan keyakinan BDB terhadap potensi sektor harta­nah di Kedah terutamanya untuk memenuhi perumahan mampu milik.

“Permintaan rumah di Kedah masih lagi positif memandangkan kebanyakan pembeli merupakan pembeli yang berhasrat men­diami rumah tersebut dan bukannya untuk tujuan pelaburan.”

“BDB mendapati pasaran di negeri ini masih lagi stabil dan sihat. Ramai beranggapan sektor hartanah kediaman mengalami masalah, tetapi ia mungkin berlaku di Lembah Klang, tidak di Kedah.”

“Malah, nilai jualan kami setakat 6 bulan pertama tahun ini lebih baik berbanding 2015,” katanya di sini baru-baru ini.

Syarikat itu sebelum ini telah mempunyai 3 projek perbandaran iaitu Bandar Darulaman di Jitra, Darulaman Perdana di Sungai Petani dan Darulaman Utama di Kuala Ketil.

Malah untuk 3 projek perbandaran yang sedia ada itu, bermula tahun 2017 BDB akan me­lancarkan 1,080 unit rumah lagi di Bandar Darulaman, 773 unit di Darulaman Perdana dan 647 unit lagi di Darulaman Utama.

Tambah Izham, lebih separuh daripada unit rumah yang dilancarkan di setiap 3 projek perbandaran itu berada dalam kategori mampu milik iaitu di bawah paras RM200,000 sebuah dan antara RM200,000 hingga RM500,000 sebuah.

KDNK Kedah catat pertumbuhan tinggi tahun lalu

Secara keseluruhan, BDB akan melancarkan 3,526 unit rumah melalui 5 projek perbandarannya dengan GDV sebanyak RM1.001 bilion, menurut beliau.

Kata Izham, keyakinan untuk melancarkan unit-unit kediaman baru itu adalah berlandaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah tahun lalu yang tumbuh 5.6%, lebih tinggi berbanding KDNK negara iaitu 5%.

“Pendapatan purata isi rumah penduduk negeri ini juga terus meningkat.”

“Mungkin ada persepsi yang menyatakan industri perumahan negara kini suram, namun di Kedah masih lagi baik dengan permintaan rumah terus bertambah, terutamanya rumah dalam kategori mampu milik,” jelasnya.

Kata beliau bagi kesemua pelancaran baharu yang dibuat oleh BDB di lima projek perbandaranya bermula tahun depan, 83 peratus daripadanya berharga di bawah paras RM500,000 dengan 48 peratus berharga kurang RM200,000 sebuah.

Pada masa sama Izham berkata, BDB akan turut melancarkan projek perumahan setempat di tiga kawasan iaitu di Pokok Sena, Kedah membabitkan GDV sebanyak RM113 juta, Bandar Baharu Serdang dan Kuala Kangsar di Perak dengan masing-ma­sing mempunyai GDV sebanyak RM33.1 juta dan RM44.1 juta.

Beliau berkata, pembangunan di Perak itu merupakan projek perumahan pertama BDB di luar negeri Kedah dan pihaknya akan terus menilai potensi untuk meningkatkan aset hartanah di negeri-negeri lain termasuk Lembah Klang jika mempunyai nilai hartanah yang berbaloi untuk dibeli.

Setakat enam bulan pertama tahun ini, BDB merekodkan pendapatan sebanyak RM115.4 juta berbanding RM93.6 juta bagi tempoh yang sama 2015, peningkatan 24 peratus. Malah, daripada RM115.4 juta itu, 67 peratus daripada segmen hartanah.

[Sumber berita asal: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published.