Pix 2 resize 1

Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) 2016 umum senarai pemaju, serta projek hartanah terbaik.

Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) anjuran Kumpulan PropertyGuru dan ditaja oleh Hansgrohe, kini kembali menyaksikan kemenangan syarikat-syarikat pemaju dan projek pembangunan terbaik dalam majlis malam gala baru-baru ini.

Kejayaan Sime Darby Property, salah sebuah syarikat hartanah terkemuka tempatan berjaya meraih anugerah Pemaju Terbaik (Malaysia) berikutan komitmen berterusan dalam menghasilkan projek-projek pembangunan berkualiti tinggi.

Majlis yang dihadiri oleh 300 orang tetamu ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Pengerusi PropertyGuru Malaysia, Yang Amat Mulia Tunku Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, dan dif terhormat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong yang menyampaikan ucapan perasmian.

SEA Property Award Malaysia

“Selain kecemerlangan berterusan dalam industri perladangan, Sime Darby sentiasa berusaha menyumbang ke arah pembangunan negara dan kelangsungan hidup penduduk di bumi Malaysia.”

“Kejayaan berterusan dalam menghasilkan projek pembangunan berinovatif membuktikan kepentingan Sime Darby sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan negara,” demikian menurut barisan juri bebas acara ini.

PropertyGuru

Kategori yang baru diperkenalkan.

Saat kegemilangan syarikat hartanah gergasi ini berterusan dengan menjadi salah satu pemenang bagi kategori Penghargaan Khas dalam Pembangunan Mapan yang baru diperkenalkan.

Pemenang tiga kali berturut-turut, UM Land turut meraih kategori ini. Kedua-dua syarikat ini dipilih atas kecemerlangan prestasi dan visi syarikat dalam aspek pembangunan mapan.

Tiga syarikat terkemuka yang menekankan kepentingan tanggungjawab sosial syarikat (CSR) dalam sektor hartanah pula telah dipilih untuk meraih anugerah Penghargaan Khas CSR ini: LBS Bina Group Berhad, Kumpulan Mah Sing dan Matrix Concepts Holdings Berhad.

Buat julung kalinya, satu kategori baharu iaitu Pemaju Pembangunan Mewah Terbaik turut diperkenalkan dalam program penganugerahan yang telah berlangsung sejak tiga tahun berturut-turut.

Anugerah ini dimenangi oleh Mitraland Group yang cukup sinonim dengan projek-projek pembangunan mewah berkonsep indah besertakan rekaan dan harga terbaik seperti Kiara 1888 dan Cascades.

Diketuai oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Mitraland, Chuah Theong Yee telah menerima anugerah Personaliti Hartanah Tahunan pada malam gala tersebut.

Anugerah berprestij pilihan penerbit itu disampaikan oleh barisan editor Property Report iaitu majalah rekaan, seni bina dan hartanah mewah paling berpengaruh di Asia. Property Report juga merupakan rakan media rasmi bagi majlis ini.

Mitraland bakal ke Singapura.

Terkenal dengan sifat agresif dan daya kepimpinannya yang bervisi tinggi, Chuah menyifatkan kejayaannya sebagai hasil kerjasama dan sokongan daripada keluarga dan seluruh warga kerja Mitraland.

“Saya amat berbesar hati dengan kemenangan di luar jangkaan ini. Kejayaan menakjubkan ini cukup bermakna dan membuktikan segala hasil keringat saya selama ini telah diiktiraf dan lebih bernilai dalam kalangan rakan seindustri.

“Saya dan rakan seperjuangan amat bangga dengan pencapaian ini. Kami berjanji akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan serta produk terbaik kepada para pembeli, pelabur dan juga rakan niaga,” katanya.

Menerusi projek kondominium mesra alamnya, Serai, Bukit Bandaraya yang berpangkalan di Kuala Lumpur, BRDB Developments Sdn. Bhd. telah berjaya merangkul pelbagai anugerah berbeza.

Selain trofi anugerah Projek Kondominium Mewah Terbaik (Pusat, Malaysia), BRDB juga menerima dua anugerah penghargaan iaitu Pembangunan Mesra Alam Terbaik dan Projek Kediaman Terbaik (Malaysia).

Kemenangan anugerah Projek Kediaman Terbaik turut melayakkan syarikat ke pusingan akhir Anugerah Hartanah Asia Tenggara 2016 peringkat serantau yang akan berlangsung di Singapura pada November ini.

Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. yang meraih anugerah Projek Komersial Terbaik dan Projek Komersial Terbaik (Malaysia) sebanyak dua kali juga layak ke pusingan akhir.

Genting Property raih 2 anugerah.

Genting Property, salah sebuah syarikat multinasional terkemuka di Malaysia pula mendominasi majlis gala pada malam itu.

Dua projek pembangunannya, Raintree Residences telah memperoleh empat pengiktirafan manakala The Crystal pula berjaya merangkul dua kemenangan dalam kategori rekaan dan pembangunan.

“Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) ini sememangnya menampilkan senarai projek hartanah dan pelaburan terbaik tahun ini.”

“Usaha untuk memberi kelainan dan mempertingkatkan industri hartanah ini jauh lebih mustahak daripada aspek lain serta hasrat menjana keuntungan semata-mata,” ujar seorang veteran dalam sektor hartanah, Prem Kumar yang berpengalaman selama 30 tahun dan juga merupakan pengarah eksekutif Jones Lang Wootton.

Pengerusi untuk panel juri (Bahagian Pusat) itu juga menambah, pertumbuhan industri hartanah dalam jangka panjang tidak akan terjejas ekoran keadaan pasaran yang lembap buat masa ini.

Sebaliknya, pelbagai polisi kerajaan yang telah diperkenalkan selama ini dijangka dapat mendorong pertumbuhan sektor hartanah sebagai antara penyumbang utama dalam pembangunan jangka panjang ekonomi negara.

Diketuai oleh Kumar, panel juri tahun ini merangkumi pakar-pakar terkemuka dalam bidang pembangunan, pengurusan, seni bina dan rekaan hartanah tempatan. Sejak enam bulan lalu, barisan juri ini telah bekerjasama menerusi pemantauan BDO yang telus dan adil.

Barisan penceramah terkemuka sebagai pemeriah majlis.

BDO merupakan antara firma audit dan perakaunan terbesar di dunia yang bertanggungjawab mempertimbangkan kelayakan serta kualiti semua pencalonan.

“Barisan juri (Bahagian Pusat) untuk Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) tahun ketiga ini sememangnya terkenal dengan kewibawaan dan kepakaran mereka.”

“Kami amat bangga dapat bekerjasama dengan mereka bagi anugerah hartanah paling berprestij di Malaysia ini,” ujar pengasas dan pengarah urusan Anugerah Hartanah Asia, Terry Blackburn.

Acara black-tie yang mendahului Persidangan Property Report Malaysia 2016 ini berlangsung pada 11 Ogos sebelum majlis makan malam gala. Penganjuran persidangan tersebut merupakan yang pertama kali seumpamanya di Malaysia.

Dihadiri oleh sekitar 100 orang hadirin, persidangan berprestij itu turut dimeriahkan oleh barisan penceramah terkemuka seperti Kumar dan pengurus negara PropertyGuru (Malaysia), Sheldon Fernandez yang menyentuh pelbagai isu pelaburan serta keadaan semasa dan masa depan industri hartanah tempatan.

Antara penceramah lain yang turut hadir termasuk pakar dalam industri hartanah seperti pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Haji Sahrom; pakar strategi digital dan pengasas Hashtagcontent.com, Ian Paynton; dan penulis serta juri Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia), Khalil Adis dan Low Han Hoe yang mewakili DTZ.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi dengan klik disini.

Senarai penuh pemenang dan projek pembangunan paling disyorkan bagi Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) 2016.

SENARAI PEMAJU

Anugerah Pemaju Terbaik

  • Pemenang: Sime Darby Property Berhad.

Anugerah Pemaju Pembangunan Mewah Terbaik

  • Pemenang: Kumpulan Mitraland.

Anugerah Penghargaan Khas untuk Kategori CSR

  • Pemenang: LBS Bina Group Berhad.
  • Pemenang: Kumpulan Mah Sing.
  • Pemenang: Matrix Concepts Holdings Berhad.

Anugerah Pembangunan Mesra Alam Terbaik

  • Pemenang: Serai, Bukit Bandaraya, KL oleh BRDB Developments Sdn Bhd.

Anugerah Penghargaan Khas untuk Kategori Pembangunan Mapan

  • Pemenang: Sime Darby Property Berhad.
  • Pemenang: United Malayan Land Berhad (UMLand).

TERBAIK ANTARA YANG TERBAIK

Anugerah Projek Komersial Terbaik (Malaysia)

  • Pemenang: Medini 10 oleh Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd.

Anugerah Projek Kediaman Terbaik (Malaysia)

  • Pemenang: Serai, Bukit Bandaraya, KL oleh BRDB Developments Sdn Bhd.

PEMBANGUNAN

Anugerah Projek Kediaman Terbaik (Utara, Malaysia)

  • Pemenang: Moulmein Rise oleh Kumpulan Belleview.
  • Paling Disyorkan: Upper East @ Tiger Lane, Ipoh oleh Curah Bahagia Sdn Bhd.

Anugerah Projek Kondominium Mewah Terbaik (Bahagian Pusat, Malaysia)

  • Pemenang: Serai, Bukit Bandaraya, KL oleh BRDB Developments Sdn Bhd

Anugerah Projek Kondominium Kelas Pertengahan Terbaik (Bahagian Pusat Malaysia)

  • Pemenang: Skyz Residence oleh IOI Properties Group Berhad.
  • Paling Disyorkan: BSP21 oleh LBS Bina Group Berhad.
  • Paling Disyorkan: Serini Melawati oleh Sime Darby Property Berhad.

Anugerah Projek Perumahan Terbaik (Bahagian Pusat, Malaysia)

  • Pemenang: Tamansari, Rawang oleh BRDB Developments Sdn Bhd.
  • Paling Disyorkan: Clusia oleh Sime Darby Property Berhad.
  • Paling Disyorkan: Elymus @ Resort Homes oleh Matrix Concepts Sdn Bhd.

Anugerah Projek Kondominium Mewah Terbaik (Bahagian Selatan, Malaysia)

  • Pemenang: Puteri Cove Residences oleh Kumpulan Pacific Star.
  • Paling Disyorkan: Imperio Residence @ Hatten City oleh Hatten Group Sdn Bhd.

Anugerah Projek Kondominium Kelas Pertengahan Terbaik (Bahagian Selatan, Malaysia)

  • Pemenang: D’Lagoon – Development by the Lake oleh United Malayan Land Berhad (UMLand)
  • Paling Disyorkan: The Atlantis Residences @ Kota Laksamana, Melaka oleh Asal Harta Sdn Bhd

Anugerah Projek Perumahan Terbaik (Bahagian Selatan, Malaysia)

  • Pemenang: The Crystal oleh Genting Property.
  • Paling Disyorkan: Raintree Residences oleh Genting Property.

Anugerah Projek Komersial Terbaik

  • Pemenang: Medini 10 oleh Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd

Anugerah Projek Pembangunan Serba Guna Terbaik

  • Pemenang: D’sara Sentral oleh Kumpulan Mah Sing

REKAAN/SENI BINA

Anugerah Rekaan Seni Bina Projek Kediaman Terbaik

  • Pemenang: The Crystal oleh Genting Property.
  • Paling Disyorkan: Puteri Cove Residences oleh Kumpulan Pacific Star.

Anugerah Rekaan Dalaman Projek Kediaman Terbaik

  • Pemenang: Puteri Cove Residences oleh Kumpulan Pacific Star.
  • Paling Disyorkan: The Crystal oleh Genting Property.

Anugerah Rekaan Seni Bina Landskap Terbaik

  • Pemenang: D’Lagoon – Development by the Lake oleh United Malayan Land Berhad (UMLand).

PILIHAN PENERBIT

Anugerah Personaliti Hartanah 2016

  • Pemenang: Chuah Theong Yee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Mitraland

Leave a Reply

Your email address will not be published.