PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Apa yang ada dekat Senawang, Negeri Sembilan?

“Dekat mana lagi nak cari rumah atas tanah (landed) murah dekat Malaysia ni?”

Sebab harga rumah landed yang semakin mahal, ramai rakyat Malaysia memilih untuk beli rumah jenis high-rise (rumah bertingkat).

Tapi kalau korang cari dekat luar kawasan Kuala Lumpur, potensi untuk dapatkan rumah jenis ini pada harga berpatutan masih ada.

Tak bermakna sesebuah kawasan itu terletak sedikit jauh daripada Pusat Bandar, hartanah di situ tak ada potensi, tak kira untuk pasaran sewaan atau kegunaan sendiri.

Boleh kata, tempat itu sebagai untapped market (pasaran yang belum diterokai). Dan kawasan yang Tok maksudkan tu adalah Senawang, Negeri Sembilan.

Senawang – Bakal jadi tumpuan baru pembeli rumah?

Senawang adalah sebuah bandar satelit yang bertempat di Seremban, Negeri Sembilan. Bandar ini ditadbir oleh Majlis Perbandaran Seremban.

Buat korang yang masih ingat kawasan ini sebagai tempat ‘jin bertendang,’ maaf. Tok terpaksa hampakan korang.

Kalau korang pernah ke sini, pasti korang akan perasan pembangunan yang sedang rancak dijalankan.

Senawang terletak hanya 7 KM dari bandar Seremban. Untuk ke sini, korang hanya perlukan 30 minit perjalanan dari Rembau.

Senawang juga mempunyai akses mudah ke Lebuhraya Kajang-Seremban, dan korang boleh sampai ke Kuala Pilah melalui laluan jambatan Bukit Putus.

Senawang dan Rancangan Malaysia Ke-11

Sumber gambar in deep tots

Buat korang yang tertanya-tanya, Senawang juga termasuk dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan juga Malaysian Vision Valley (MVV).

Ini merupakan racangan koridor ekonomi yang meliputi 108,000 hektar termasuk kawasan Seremban, Port Dickson, dan Negeri Sembilan.

Ini bermakna, kawasan Senawang dijangka akan membangun secara pesar pada masa akan datang.

Selain daripada Lebuhraya Kajang-Seremban, korang ada jaringan lebuhraya lain seperti:

  • NSE (North South Expressway),
  • ELITE Expressway,
  • Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS),
  • MEX (Maju Expressway),
  • Nilai-KLIA Highway,
  • Lebuhraya Damansara-Puchong,
  • SKVE (South Klang Valley Expressway).

Dengan sambungan lebuhraya yang mantap ni, boleh kata bandar Senawang akan menjadi kawasan tumpuan (dengan kata lain, ‘hot area’) dalam masa akan datang. Nah, Tok dah payung korang awal-awal ni.

Kenapa Senawang jadi tumpuan pemaju?

Sumber gambar KIP Group of Companies

Sumber gambar – KIP Group of Companies

Salah satu sebab yang ketara bagi perkara ini adalah peningkatan jumlah penduduk yang semakin berkembang di kawasan ini.

Atas sebab ini juga, terdapat banyak pemaju yang membina taman komersil.

Antara taman komersil yang terkenal disini adalah Taman Komersil Senawang, yang menempatkan pasaraya jenis hypermarket seperti pasaraya Giant dan Mydin.

Kawasan ini juga dikenali dengan nama julukan ‘Taipan Senawang.’

Selain pasaraya besar, korang juga ada akses untuk membeli barang dapur dekat pasaraya kecil seperti KiP Mart, 99 Speedmart, dan Family Store. Senang kerja korang, tak perlu keluar jauh-jauh.

Dekat sini juga, terdapat rangkaian makanan segera terkenal seperti:

  • McDonalds,
  • KFC,
  • Pizza Hut,
  • Domino’s Pizza,
  • Secret Recipe, dan lain-lain.

Terkenal sebagai kawasan perindustrian barangan eletronik

Sumber gambar commons.wikimedia.org

Sumber gambar – commons.wikimedia.org

Selain itu, kawasan Senawang juga mempunyai kawasan perindustrian yang tersendiri, yang dikenali sebagai Sri Senawang Light Industries.

Kawasan ini terletak berdekatan dengan persimpangan masuk ke bandar Senawang.

Antara syarikat pembuatan eletronik terkenal yang ada disini adalah ON Semiconductor. Syarikat yang lain pula terletak di kawasan perindustrian Tuanku Jaafar, dan antara nama terkenal yang ada disitu termasuk Samsung SDS dan NXP Semiconductors.

Seagate Systems (Malaysia) Sdn Bhd juga terletak dalam kawasan Senawang, atau lebih tepat lagi, di Kawasan Perusahaan Senawang Baru.

Dengan adanya syarikat seperti ini di Senawang, sudah pasti akan wujud peluang pekerjaan dan ada permintaan hartanah di kawasan ini, kan?

Apa kemudahan yang ditawarkan dekat sini?

Sumber gambar borak qs

Sumber gambar – borak-qs

Kalau tanya Tok, banyak kemudahan yang ditawarkan dekat kawasan ini. Macam-macam ada.

Antara yang ada seperti kemudahan pengangkutan awam. Korang boleh pilih sama ada nak ke sini menggunakan kenderaan sendiri, atau kemudahan pengangkutan awam.

Dengan sambungan lebuhraya yang mantap (seperti yang Tok jelaskan dekat atas tadi), memang mudah untuk ke Senawang.

Lebuhraya Utara-Selatan terletak berdekatan dengan sambungan Lebuhraya Seremban-Port Dickson. Sambungan ini menghubungkan daerah Seremban terus dengan Port Dickson.

Senawang juga menjadi pintu masuk utama ke Lebuhraya Kajang-Seremban, atau Lebuhraya LEKAS yang menghubungkan Negeri Sembilan dan Selangor.

Selain itu juga, Senawang juga berfungsi sebagai pusat tumpuan dan penyambung antara 2 lebuhraya ini.

Kalau korang nak naik bas pula, ada 2 stesen bas yang terletak dihadapan Giant Hypermarket Senawang dan Taman Jasmin Senawang. Di sini juga ada tempat menunggu teksi untuk kegunaan korang.

Dekat Senawang juga, tersedia perkhidmatan KTM. Jajaran sepanjang 8.5 KM ini bermula dari Seremban ke Senawang dan juga Sungai Gadut, Negeri Sembilan. Siap dibina pada 2011, ini merupakan sebahagian daripada jajaran Seremban-Gemas.

Apa pusat pendidikan yang ada di Senawang?

Sumber gambar HATIMUDA GROUP OF COMPANIES

Sumber gambar – HATIMUDA GROUP OF COMPANIES

Terdapat 8 sekolah kebangsaan di Senawang, terdiri daripada 5 sekolah rendah dan 3 sekolah menengah.

Antara sekolah rendah kebangsaan di Senawang adalah:

  • Sekolah Kebangsaan Senawang,
  • Sekolah Kebangsaan Seri Pagi,
  • Sekolah Kebangsaan Sri Mawar,
  • Sekolah Kebangsaan Senawang 3.

Sekolah menengah yang tersedia di sini pula seperti:

  • Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang,
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi,
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Height.

Sebagai tambahan, ada 2 sekolah Islam persendirian di Senawang:

  • Sekolah Rendah Islam As-Saadiyah,
  • Sekolah Tinggi Islam As-Sofa.

Dekat sini juga, terdapat banyak tadika dan pusat tuisyen yang dijalankan oleh penduduk tempatan.

Ada tak pusat kesihatan yang dekat dengan Senawang?

Bawah ini, Tok sediakan senarai pusat kesihatan yang ada di Senawang:

Pusat Kesihatan (Kerajaan)

  • Klinik Kesihatan Senawang.

Pusat Kesihatan (Persendirian)

  • SALAM Senawang Specialist Hospital,
  • Hospital Bersalin Sukhilmi,
  • Klinik Tawakkal,
  • Poliklinik Ibnu Sina,
  • Klinik Pergigian Dr. Helmi.

Untuk kemudahan pengunjung yang datang ke sini, ada juga hotel yang disediakan sebagai tempat penginapan sementara seperti:

  • Sri Senawang Hotel,
  • D&F Boutique Hotel,
  • One Garden Hotel,
  • Senawang Star Hotel,
  • AERO Star Hotel,
  • Hotel Lavender.

Jadi, berbaloi ke beli hartanah pelaburan dekat kawasan Senawang?

Kalau tengok semua kemudahan dan sambungan lebuhraya yang baik dekat atas tadi, Tok berani kata yang Senawang bakal jadi antara kawasan panas(hotspot) yang jadi pilihan pelabur dan pembeli rumah.

Tapi, korang jangan pulak main tangkap muat je. Ini semua hanya pendapat personal Tok sendiri. Korang kena buat kajian dulu sebelum buat keputusan membeli.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *