Noh Omar KPKT 6.9.16 1

Wujudkan akta baru untuk uruskan projek PPR secara efektif.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mewujudkan Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara.

Akta ini akan memberi kuasa penuh kepada kementerian menguruskan semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, rang undang-undang bagi penggubalan akta itu dijadual dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada September tahun depan, untuk dibahaskan dan seterusnya diluluskan agar pengurusan dapat dilakukan secara efektif.

Tubuhkan Yayasan Kesejahteraan Rakyat Bandar telebih dulu.

“Akta ini akan diwujudkan di bawah Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara yang akan berfungsi sebagai badan berkanun tetapi sebelum akta ini diluluskan di Parlimen, kita akan tubuhkan Yayasan Kesejahteraan Rakyat Bandar.”

“Di bawah akta ini semua isu berkaitan PPR di negara ini dijangka dapat diselesai dan diuruskan dengan baik dan lancar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan peletakan batu asas Kota Budaya di Laman Belia Sungai Rambai di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman. Noh juga berkata KPKT sedang melaksanakan program pemutihan di seluruh PPR di negara.

Ini bagi memastikan unit PPR didiami rakyat negara ini dan bukan warga asing.

“Kita tidak mahu ada pendatang asing tinggal di PPR yang kerajaan bina untuk golongan rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata, KPKT juga sedang merangka program bagi memperluaskan perkhidmatan bas sekolah secara percuma di semua PPR di bawah pengurusan KPKT bagi membantu keluarga daripada golongan miskin bandar. – BERNAMA

Sumber berita: Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.