“Labur duit jangan biar sampai lebur.”
Pepatah ini, mungkin korang dah dengar berulang kali. Mesti ada yang dah naik boring.
Tok perhatikan, istilah ‘tersontot’ juga semakin bertambah popular, selari dengan kewujudan pelbagai jenis ‘scammer’ dan skim cepat kaya pada zaman sekarang.
Kenapa?
Sebab ramai gila yang dengan rela hati disontot dek janji-janji manis yang mereka taburkan, bak milo tabur tebaboo (ini nama menu air satu kedai makan di Subang Jaya. Tok lupa pula nama kedainya).
Siapa tak jatuh hati dengan janji keuntungan yang cecah 70% hingga 100% dalam tempoh setahun.
Kalau berniaga, memang logik untung macam itu. Tapi bab pelaburan, Tok boleh kata “too good to be true.”
Nak untung 20% pun cukup susah, apatah lagi nak dapat jumlah untung banyak macam itu.
Bagi Tok, skim pelaburan ini agak sukar nak dibendung. Lepas satu jatuh, 3 akan muncul sebagai ganti. Biasalah, cara senang nak buat duit adalah tipu orang. Lepas itu, lari jauh-jauh. Orang pun malas nak cari. Bukan susah nak buat, kan?
Tok bagi sebiji kat korang. Kalau ada pelaburan macam ini, kenapa tak Public Bank, Bank Rakyat, atau mana-mana pelabur ternama dan bertauliah melabur dengan golongan ini? Jelas ada udang di sebalik janji-janji manis mereka.
Tok ada baca nukilan Tuan Mohd. Zukifli di blog beliau. Kami berdua kongsi pandangan yang sama. Jadi, Tok kongsikan kat korang ciri-ciri skim cepat kaya agar korang boleh elakkan diri disontot oleh puak-puak ini.
Pesan Tuan Azizi Ali (pakar kewangan yang banyak pengalaman), pelabur “world class” macam Warren Buffett dan George Soros pun beri pulangan pelaburan tak lebih 35% setahun.
Orang yang tak dikenali dalam industri pelaburan atau kewangan, boleh pula buat janji lebih bagus daripada Buffett dan Soros?
Kat sini korang dah boleh nampak jelas unsur penipuan. Jangan pandang rendah kat mereka ini. Kebanyakan skim seperti ini terancang rapi. Itu sebab ramai orang tersontot dengan senang.
Mengikut Tuan Zulkifli, beliau perasan jenis-jenis strategi yang biasa skim cepat kaya ini gunakan.
Selagi boleh, mereka akan “delay” beri untung yang mereka janjikan. Dengan sesuka hati, mereka juga boleh ubah terma dan syarat tanpa ambil kisah hati dan perasaan korang.
Teknik tawaran dan urusniaga pula hampir sama. Korang letak duit, duduk atas sofa sambil layan konsert Kilauan Emas, dan masih boleh dapat pulangan berkali ganda. Best betul hidup kita kalau betul ada skim macam ini.
Kita ambil contoh skim jual beli emas. Emas dan harga emas tak penting bagi mereka. Korang cuma perlu letak duit sekali dan dapat pulangan setiap bulan. Dengar macam best, kan?
Biasanya puak-puak ini tak buat penyerahan produk secara fizikal. Sebab keuntungan yang mereka janjikan tak ada kena mengena dengan turun naik harga emas. Tak kira harga emas naik atau turun, semua tetap untung.
Bagi yang membeli pula, mereka tak kisah tak dapat emas pun. Janji dapat duit untung setiap bulan. Maaf cakap. Tok rasa cara fikir secara logik semakin kurang orang sekarang guna.
KLIK SEKARANG UNTUK BACA: 5 skim penipuan hartanah yang ramai rakyat Malaysia “terkena.”
Tok boleh jamin kat korang. Skim seperti ini akan mengelak untuk jelaskan kepada pelabur, tentang cara mereka gandakan duit pelaburan.
Kalau bagi jawapan pun, ia tak jelas dan susah nak faham.
Macam mana mereka gandakan duit pelaburan? Dengan cara halal atau haram? Kita semua patut tanya soalan ini sebelum laburkan duit kita. Takkan korang nak bagi keluarga korang makan duit haram, betul?
Kalau kita kaji tempat pelaburan yang betul, “fund manager” akan terangkan bagaimana mereka buat untung.
Mereka juga tidak kisah jelaskan strategi, prospek pelaburan, statistik, laporan kewangan, atau lain-lain perkara. Kalau betul boleh buat duit dengan cara yang betul, kenapa perlu sorok-sorok?
Korang mesti perasan. Puak-puak ini suka bergambar dengan duit berkepuk-kepuk, tunjuk duit juta-juta dalam akaun bank. Tok kenal ramai orang yang kaya dan berjaya. Tak pula mereka tunjuk kekayaan mereka macam itu.
Kalau betul-betul kaya, buat apa nak menunjuk? Bill Gates pun tak pernah bergambar, baring atas katil yang penuh dengan duit.
Orang kaya kat Malaysia pun tak ada buat perangai macam ini. Kalau nak bandingkan kekayaan puak-puak ini, jelas bagaikan langit dan bumi.
Pada pandangan Tok dan juga Tuan Zulkifli, yang suka menunjuk ini tak berapa kaya sebenarnya. Silap-silap, pinjam duit atau kereta mewah orang lain untuk bergambar.
Logiknya, siapa tak tertarik kalau nampak orang bergambar dengan BMW, Lamborghini, atau duit yang berlambak-lambak. Semua ini sekadar umpan belaka.
KLIK SEKARANG UNTUK BACA: Alfafa: Jihad ekonomi Melayu, atau skim penipuan terancang?
Kalau kita perhatikan kes-kes sebelum ini, skim ini akan bayar pulangan pada mulanya. Ia adalah strategi untuk dapatkan kepercayaan orang ramai. Kemudian mereka akan hilangkan diri, atau diserbu pihak Bank Negara.
Para pelabur pula, melopong tak tahu nak buat apa. Nak buat macam mana, dah kena sontot, apa lagi boleh buat. Tok harap lepas habis baca celoteh Tok, korang akan lebih berhati-hati selepas ini.
Peluang buat duit memang banyak. Itu Tok tak nafikan. Tugas kita adalah cari peluang yang terbaik, dan elakkan diri kita jadi mangsa sontot oleh puak yang suka ambil kesempatan ini.