Sime Darby Property komited untuk meningkatkan pertumbuhan pembangunan hartanah resortnya dengan pengenalan Alya Kuala Lumpur.
Sebelum ini, ia dikenali sebagai Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion.
Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Jauhari Hamidi berkata, pembangunan ini dibina di kawasan seluas 141.64 hektar dengan tempoh pembangunan keseluruhan 10 tahun.
Ia merupakan pembangunan gaya hidup antarabangsa yang bertujuan menjadi destinasi paling berinspirasi untuk kehidupan, bekerja dan beriadah.
Katanya, Alya Kuala Lumpur merupakan lapan bahagian pembangunan meliputi 24.6 hektar kawasan kediaman terdiri daripada banglo, kondominium, rumah bandar dan pangsapuri selain pembangunan komersial, runcit dan komponen hospitaliti.
“Melalui pelancaran identiti jenama yang diperbaharui ini, kami mahu mewujudkan model global baharu bagi jenama gaya hidup mewah Malaysia yang boleh menjadi contoh di seluruh dunia.”
“Visi masa depan kami adalah untuk mempunyai niche pasaran bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga di luar negara. Kami bercadang membawa jenama ini ke pasaran yang telah terokai seperti United Kingdom, Singapura dan Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Alya Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Jauhari berkata, pembangunan pertama bagi Alya Kuala Lumpur akan dilancarkan pada September ini dikenali sebagai Sedana terdiri daripada dua menara kediaman merangkumi 429 unit pangsapuri perkhidmatan dan suite dengan GDV RM800 juta.
Menurutnya, pangsapuri perkhidmatan yang dijangka siap dalam masa 48 bulan akan dijual pada harga bermula RM1,000 bagi setiap 0.09 meter persegi.
“Kami sangat prihatin dari segi harga yang ditawarkan pada pembangunan ini dengan mengambil kira kawasan-kawasan berhampiran,” ujarnya.
Tambahnya, syarikat juga akan mengumumkan penjenamaan semula KLGCC seterusnya mempamerkannya sebagai sebuah kelab golf yang berprestij.
Sumber Asal: Utusan Online