PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA
simpan-duit

7 Tips Simpan Duit Lagi Banyak Dari Orang Bergaji Besar

Ramai orang yang gaji kecil ni selalu rasa diri mereka tak mampu simpan duit untuk dana kecemasan, persediaan masa depan dan lain-lain.

Tapi bagi Tok, ni tak patut jadi alasan untuk korang terus give up dan kata korang tak boleh buat. Banyak strategi yang korang boleh guna untuk istiqomah simpan duit, walaupun gaji tak besar mana.

Kalau ada niat, mesti ada jalan. Sebab tu kat sini Tok nak kongsi tips simpan duit dari Jason Cabler yang boleh bantu korang mula dana kecemasan, atau apa-apa jenis simpanan yang korang idamkan.

Tip #1: Nak simpan duit? Nilai dan ubah kos belanja isi rumah anda

Kos tanggungan isi rumah menjadi sebab utama ramai tak mampu nak simpan duit (walaupun sikit). Ini termasuk isu kadar sewa rumah, bil eletrik dan air, makanan, atau lain-lain perkara yang berkaitan.

Secara umum, adalah elok untuk mengawal perbelanjaan isi rumah supaya tak guna lebih 25% daripada gaji kita.

Mungkin kat luar kawasan Kuala Lumpur, tanggungan seperti ini tak jadi masalah sebab kos sara hidup yang berbeza. Tapi untuk yang tinggal kat kawasan bandar, ia boleh buatkan kewangan kita jatuh sakit kalau tak diurus dengan baik.

Orang yang gaji beriban pun mengeluh, ini pula orang yang bergaji rendah. Kalau tak mampu nak menyewa rumah yang korang duduk sekarang, cari rumah dengan kadar sewa yang lebih rendah.

Bagi yang dah membeli dan memiliki rumah, mungkin korang boleh biaya semula (refinance) rumah itu dan dapatkan duit tunai (cashback), supaya ia dapat disalurkan kat akaun simpanan atau pelaburan.

Untuk yang masih bujang dah belum berkahwin, korang boleh sewakan bilik sebagai back-up untuk tanggung kadar sewa atau ansuran bulanan rumah.

Duit lebihan ini, tak usah pula belanja untuk perkara yang tak patut. Fokus utama kita adalah nak menyimpan sebanyak mungkin. Buat satu akaun simpanan tetap dan simpan duit ini secara berdisiplin setiap bulan.

Tip #2: Rancang setiap perbelanjaan secara teliti

Elakkan berbelanja ikut suka hati atau semata-mata menurut hawa nafsu. Dalam banyak kes, ini antara perkara yang akibatkan kewangan kita bocor. Bila ini terjadi, celah mana nak simpan duit?

Cara terbaik nak elakkan masalah ini terjadi adalah merancang perbelanjaan kita dengan baik.

Setiap kali nak ke kedai atau pasaraya untuk membeli barang dapur, buat satu senarai barang yang kita nak beli. Dan ikut senarai itu dengan penuh berdisiplin.

Beli barang yang kita tulis kat senarai itu saja, dan tak perlu gatal tangan membeli barang lain. Setiap kali dapat gaji, buat perkara ini dulu sebelum bertindak keluar membeli barang keperluan ini.

Pendek cerita, strategi ini boleh elakkan korang terlebih berbelanja kat perkara yang tak patut. Dan pada masa yang sama, ia akan selamatkan kewangan korang daripada bocor tak tentu pasal.

Dan strategi ini tak terhad kat perbelanjaan barang dapur semata-mata. Perbelanjaan lain seperti kos minyak kenderaan, tol, atau makanan pun, korang boleh aplikasikan strategi ini. Ia cukup fleksibel untuk kita gunakan kat rata-rata jenis perbelanjaan yang ada.

Kalau korang perasan, kewangan kita senang bocor bila tak buat pelan perbelanjaan atau bajet dengan baik. Bila dah buat bajet nanti, korang akan perasan perubahan ketara dan lebih berupaya menyimpan lebih banyak setiap bulan.

Tip #3: Usah segan silu beli barangan terpakai (yang masih elok)

Kalau tak banyak duit, tak semestinya tak boleh bergaya. Kedai bundle sentiasa jadi pilihan utama. Cuma, kena pandai memunggah dan cari saja. Banyak barang yang masih berkondisi elok dan barangan terpakai ini harganya murah. Yang penting, kena kenal barey.

Tok ingat lagi masa zaman universiti dulu. Kos keseluruhan yang Tok keluarkan untuk beli beberapa helai baju, seluar, dan sepasang kasut tak pernah lebih daripada RM70. Kalau beli baru, Tok tak rasa boleh dapat barang sebanyak itu. 

Dan bukan Tok seorang saja macam ini. Kalau korang baca buku Tuan Faizul Ridzuan (WTF), dia sendiri ada bercerita pasal ini. Dan Tok percaya, ramai lagi orang hebat kat negara ini berkongsi cara berbelanja yang sama.

Kalau korang serius nak jimat duit, tak salah beli kereta, barangan eletronik, perabot dan sebagainya yang terpakai. Ada banyak kedai yang jual barangan terpakai kat sekitar Lembah Klang, dan mereka tawarkan harga yang berpatutan.

Buat apa beli yang baru, kalau yang terpakai masih elok dan ia 30 hingga 50% lebih murah? Dah tentu banyak duit kita boleh jimat.

Tip #4: Mengelak daripada jadi hamba abdi kad kredit

Kalau salah guna kad kredit, kita ada potensi jadi miskin. Tahun lepas, seramai 23,484 orang muflis sebab gagal membayar pinjaman, dan antara yang jadi mangsa adalah golongan belia.

Statistik ada buktikan yang ramai kecundang dek tak tahu uruskan penggunaan kad kredit dengan baik. Mentaliti “sapu dan dapat” (swipe and get) elok kita elakkan sehabis boleh supaya kita dapat elakkan masalah ini berlaku.

Tambahan pula, ada kajian luar negara yang buktikan orang yang ada akses kad kredit berpotensi bebelanja lebih banyak (sebanyak 12%), berbanding orang yang tak ada.

Kalau tahu diri sendiri tak boleh kawal nafsu dengan baik, elakkan memohon kad kredit untuk keselamatan korang sendiri. Tok harap, korang tak tergolong dalam angka kat atas tadi dan elakkan ia daripada terjadi sehabis boleh.

Masalah ini boleh kita hindarkan dengan berbelanja secara tunai, selari dengan perancangan bajet bulanan yang bagus.

simpan-duit

Tip #5: Berikan sepenuh perhatian kat perbelanjaan kecil

Ada tak korang kaji tabiat membeli setiap kali ke kedai runcit? Atau tabiat membeli kopi setiap pagi?

Secara tak sedar, ini adalah tabiat yang makan banyak duit kita. Padahal, kita boleh buat dan bawa kopi segar dari rumah ke tempat kerja. Dah tentu ini dapat bantu untuk kita lebih jimat duit.

Sama juga dengan air mineral. Tak berdosa pun kalau bawa botol air kat rumah ke pejabat. Kalau habis, boleh isi balik dan gunakan botol itu berulang kali.

Makan tengahari? Boleh sediakan siap-siap kat rumah dan bawa sebagai bekal. Apa? Malu kalau kawan-kawan kat pejabat mengata? Bukan guna duit depa pun. Kalau kita tak ada duit nanti, boleh ke depa tolong kita? Belum tentu lagi kan?

Kos seperti ini yang banyak gunakan duit kita setiap hari. Cuba buat kira-kira, dan korang akan perasan. Duit untuk yang selalu kita buat belanja untuk perkara ini, boleh kita simpan. Korang akan terkejut berapa banyak yang korang boleh jimatkan.

Tip #6: Sekali-sekala saja layan nafsu makan kat restoran

Tak salah kalau nak makan kat restoran. Sebulan dua tiga kali, Tok tak kisah lagi. Tapi kalau selalu atau hari-hari, takut korang sendiri yang pening kepala nanti.

Tok rasa, korang pun tahu yang harga makanan kat restoran berkali ganda lagi mahal, berbanding kos memasak kat rumah. Sepinggan nasi ayam dah RM5. Itu tak campur lagi dengan air honeydew, atau paling kurang pun teh o’ ais.

Kos seorang melantak dah RM7 ke RM10. Kalau tiap-tiap hari layan nafsu makan macam ni, korang kira sendiri berapa banyak duit yang korang bagi kat tauke restoran tu. Senyum dia ada pelanggan macam ni.

Itu baru restoran biasa. Kalau restoran high class, 5 bintang, buffet hotel, dan yang seangkatan dengan tempat macam ni, bertambah banyak lagi duit korang hangus dek semata-mata nak melayan nafsu serakah makan.

Kalau korang teringin nak makan sedap-sedap, boleh je buat potluck dengan kawan-kawan. Ajak datang rumah (atau pergi ke rumah diaorang). Buat pelan dengan mereka jenis makanan yang masing-masing patut sediakan. Lagi syok, dan confirm lebih jimat.

Tip #7: Jadi pemburu kupon diskaun yang sejati

Sekarang ni, Tok perhatikan banyak laman web yang tawarkan kupon secara digital yang kita boleh gunakan. Daripada nak beli baju, hingga ke barang basah dapur. Semua ada tawaran diskaun yang menarik.

Yang paling best, ia dah tentu berikan nilai tak terhingga kat duit kita. Bertambah-tambah selamat duit dalam poket kita membeli barangan keperluan asas. Antara yang terbaik dari pengamatan Tok seperti:

  • Fave.
  • ShopBack,
  • Shopee,
  • Yaloa Deals,
  • iPrice, dan banyak lagi.

Tok rasa tak patut kita abaikan laman web seperti ini, sebab ia berikan penjimatan yang cukup baik. Dah tentu duit baki lepas selesai membeli-belah nanti, kita boleh biarkan ia bersemadi dengan selamat dan aman dalam bank.

Mungkin korang boleh gunakan tawaran ini sekali dengan kupon fizikal yang boleh kita dapatkan kat akhbar atau majalah. Kalau rasa nak tengok wayang pulak, sekarang ni banyak dah portal yang korang boleh masuk contest untuk dapat tiket free. Bertambah berbaloi-baloi!

Kalau ikutkan banyak lagi strategi simpan duit yang ada, malah kita sendiri boleh fikir cara sendiri yang sesuai dengan keadaan kewangan kita.

Tapi sebagai permulaan, Tok harap tips kat atas tadi ni dapatlah bantu korang sedikit sebanyak untuk lebih berjimat dan simpan lebih banyak duit.

Dengan ini juga, Tok harap mindset kita semua dapat ubah sama-sama. Tak bermakna mereka yang gaji kecik ni tak boleh simpan duit langsung. Untuk itu, Tok doakan semoga korang berjaya dalam menyimpan, ya?

Nak tahu lebih lanjut tentang ilmu pengurusan kewangan dan hartanah? Jom sertai webinar percuma saudara Faizul Ridzuan ni. Kat sini, mereka akan kongsi banyak ilmu ‘mahal’ yang susah nak dapat di tempat lain. Klik gambar di bawah untuk daftar percuma.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

simpan-duit
simpan-duit

Comments are closed