PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 1.75 peratus

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 1.75 peratus.

Ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan. Inflasi juga telah meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja. Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan global akan disokong oleh kemajuan selanjutnya liputan pemberian vaksin dan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

Dalam beberapa ekonomi utama, dasar fiskal dan monetari yang besar akan terus menyokong momentum pemulihan. Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan. Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan munculnya varian yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama.

Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi menjadi lemah pada suku ketiga berikutan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19. Walau bagaimanapun, selaras dengan pelonggaran sekatan, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi telah pulih daripada paras terendah pada bulan Julai.

Menjelang tahun 2022, momentum pertumbuhan dijangka semakin baik, disokong oleh pengembangan permintaan global, perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan sokongan dasar yang berterusan. Walau bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri. Hal ini termasuk pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan.

Sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka berada dalam unjuran julat antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2021, setelah mencatatkan purata sebanyak 2.3% sejak awal tahun hingga kini. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0% pada tahun 2021. Menjelang tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana.

Apabila kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja. Walau bagaimanapun, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Selain itu, langkah-langkah fiskal dan monetari akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2022. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3.00 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi Tahun 2022

Bil. Mesyuarat MPCTarikh
Pertama19 dan 20 Januari 2022 (Rabu dan Khamis)
Kedua2 dan 3 Mac 2022 (Rabu dan Khamis)
Ketiga10 dan 11 Mei 2022 (Selasa dan Rabu)
Keempat5 dan 6 Julai 2022 (Selasa dan Rabu)
Kelima7 dan 8 September 2022 (Rabu dan Khamis)
Keenam2 dan 3 November 2022 (Rabu dan Khamis)

Bank Negara Malaysia
03 Nov 2021

Kesan kadar OPR

Bila OPR dikekalkan kepada 1.75%, ada 2 kesan yang anda boleh nampak:

#1 – Kadar simpanan tetap (Fixed Deposit) akan kekal

Kadar FD yang sekarang akan mengikut kadar OPR yang terbaru.

Bermakna, jika kadar OPR turun, kadar simpanan tetap (fixed deposit) juga akan turun.

#2 – Kadar faedah pinjaman juga akan kekal

Buat anda yang ada pinjaman rumah, bila kadar OPR dikekalkan, kadar faedah pinjaman rumah anda juga akan dikekalkan. Jika kadar OPR diturunkan, ada kemungkinan bank akan turunkan kadar faedah. Bermakna, bayaran pinjaman anda akan jadi lebih rendah.   

Tapi kena ingat ya. Bukan semua pinjaman. Pinjaman yang berasaskan ‘floating interest’ saja yang akan terkesan.

Contoh macam pinjaman perumahan dan juga ASB Financing. 

Loan kereta atau personal loan tu, maaf. Tak terkesan dek turun naik OPR ni.

Bagi anda yang tak terkesan dari kewangan, boleh je bayar macam biasa pinjaman yang korang ada. Untuk yang terkesan pula (dikurangkan gaji, dibuang kerja), dapatkan nasihat daripada bank. 

Nota penting : Nak baca lebih lagi impak penurunan OPR? Anda boleh baca artikel impak OPR

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak anda join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed