PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Apa yang bakal anda dapat melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)?

Tok baru je dengar pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). Untuk maklumat bersama, Tok senaraikan apa yang anda bakal dapat melalui PEMULIH ini. 

Jom baca sampai habis. 

PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu:

i) Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, 

ii) Menyokong Perniagaan

iii) Meningkatkan Vaksinasi

Antara bantuan yang bakal anda dapat (nombor 13 Tok rasa yang paling ditunggu ramai!):

#1 : Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. 

Semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun.

Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada bulan September nanti. Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes – kes lulus rayuan BPR.

#2 : Bantuan Khas COVID-19 (BKC)

i) Kategori miskin tegar 

Isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos, RM500 pada bulan November, dan RM300 pada bulan Disember. 

Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200  pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan November;

ii)Kategori B40

Isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan Disember. 

Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada bulan Ogos.

iii) Kategori M40

Isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250.

Manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti.

#3 : Bantuan Kehilangan Pendapatan

Pada bulan Oktober nanti, RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021. Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta ringgit.

Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya.

#4 : Elaun Mencari Pekerjaan 

Kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300.

#5 : Inisiatif Place and Train untuk mereka yang mencari kerja

Kerajaan akan memperuntukkan RM125 juta melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.

Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam ekonomi gig.

#6 : Harga minyak masak terkawal

Seterusnya, untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, Kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil. Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol.

Selain itu, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak satu bilion ringgit. Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50.

#7 : Sokongan psikososial 

Kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih. Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM15 juta kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO dalam membantu Kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

#8 : Diskaun bil elektrik

Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5 hingga 40% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

Antaranya, diskaun sebanyak 40% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan. Diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021. 

#9 : Pemberian 1GB data internet

Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 GB data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

#10 : Pengeluaran KWSP i-Citra

KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

#11 : Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran

i)Moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN;

ii) Penangguhan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan; 

iii) Penangguhan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan; 

iv) Penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.

#12 : Penangguhan pembayaran premium insurans dan takaful

Pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga.

#13 : Moratorium selama 6 bulan diberikan kepada semua

Moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. 

Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan. 

Amacam? Tok harap korang dapat manfaat daripada artikel ini. Nanti Tok akan kemaskini dari masa ke semasa dan berikan maklumat terkini.

Tok doakan urusan anda dipermudahkan. Jangan putus asa dan teruskan berusaha ok?

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed