PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Buat RM1 juta pertama anda dengan 5 langkah ini. Sesuai untuk bacaan orang yang baru mula berbisnes

Tak ada orang yang tak nak jadi kaya dan berjaya. Paling kurang, dapat kumpul RM1 juta dalam bank pun dah cukup puas hati.

Tak kurang ramai juga yang mengaduh yang matlamat ini agak mustahil untuk kita capai. Macam mana nak capai kalau awal-awal lagi dah cakap susah?

Hari ni, Tok nak kongsikan 5 langkah yang bantu korang buat RM1 juta pertama daripada Geoff Woods ini. Semoga korang semakin kaya dan berjaya, Tok doakan.

Langkah #1: Belajar dengan orang yang dah berjaya  

Perkara ini bukanlah satu lagi rahsia. Lebih mudah nak mencapai impian kita kalau belajar dengan orang yang dah berjaya.

Tok bagi contoh.

Kalau kita nak jadi pelabur hartanah yang berjaya, mula bergaul dengan mentor dan pakar hartanah sekarang juga.

Buat networking dan minta tunjuk ajar mereka, supaya kita tak ulang buat kesilapan dan kesukaran yang pernah mereka lalui.

Pengalaman yang ada pada mereka tak boleh dijual beli, dan ia tak dapat kita gantikan dengan wang ringgit. Paling best, kita boleh dapat dorongan secara terus daripada mereka. Golongan ini akan push diri kita ke tahap maksimum.

Tak ada orang dalam dunia ini yang bekerja dan berjaya seorang diri. Cuba perhatikan orang kaya kat sekeliling kita. Mereka pasti ada senarai networking tersendiri dan sentiasa bergerak dalam satu tim.

Selain berfungsi sebagai seorang mentor dan guru yang membimbing kita, golongan ini juga boleh brainwash minda kita supaya berfikir seperti mereka. Gaya fikir (mindset) orang kaya dah tentu tak sama dengan orang biasa.

Langkah #2: Jadikan gaya fikir “tak mustahil” sebagai makanan harian minda

Bila dah mula bergaul dengan golongan ini, mulakan inisiatif menukar gaya fikir kita supaya selari dengan gaya fikir mereka.

Langkah pertama adalah dengan kenal pasti had yang kita tetapkan (secara sedar atau tak sedar) kat diri sendiri, dan membina semula gaya fikir ini.

Kawan Woods, Ryan Moran (jutawan berumur 28 tahun) kongsikan kata-kata hikmat beliau ini:

“Bila kita fikir sesuatu perkara itu mustahil dibuat, bagitahu diri sendiri yang ia hanyalah sebuah cerita dongeng yang kita sendiri reka.

Selagi tak buat tindakan, kita tak akan tahu hasilnya.”

Apa yang kita boleh buat adalah menulis balik cerita ini, dan tukarkan ia menjadi cerita kejayaan.

Cuba jawab soalan kat bawah ini untuk kenal pasti tindakan yang patut kita buat, untuk mencapai kejayaan yang kita impikan:

  • Apakah perkara yang kita takut dan menghalang kita daripada bertindak?
  • Adakah tindakan itu yang buatkan kita jadi takut, atau ia berpunca daripada persepsi diri kita sendiri?
  • Apa tindakan yang boleh kita buat untuk membolos ketakutan ini?

Langkah #3: Fokus untuk menjana nilai tanpa henti

Keupayaan kita untuk menjana pendapatan yang baik, bergantung kat keupayaan kita untuk berikan nilai yang tak dijangka dalam setiap kerja yang kita buat.

Ramai yang fikir kita boleh tambah nilai dengan bekerja lebih keras. Tok tak kata ia tak salah, tapi ia juga tak sepenuhnya betul.

Hakikatnya, kita boleh berikan nilai yang tak dijangka melalui:

  • setiap rangkaian (networking) yang kita bina,
  • masa yang kita luangkan untuk buat sesuatu kerja,
  • dan masalah yang boleh kita selesaikan.

Peluang yang besar akan hadir bila kita membina rangkaian dengan orang yang betul, melabur masa kat aktiviti yang menjana untung, dan selesaikan masalah orang lain.

Tukar gaya fikir lama kita dan gantikan dengan gaya fikir baru ini.

Langkah #4: Pilih pelanggan dengan penuh berhati-hati

Nak senang buat RM1 juta dalam masa yang singkat? Kita boleh jual produk atau servis dengan harga yang mahal.

Tapi, bila bercakap pasal harga, tak semua orang ada kapasiti untuk bayar harga yang kita tetapkan. Tak salah nak caj atau jual produk yang harga mahal. Cuma, kaji dulu siapa pembeli kita.

Harga yang pelanggan sanggup bayar dengan rela hati berkait rapat dengan nilai yang mereka bakal terima.

Kalau servis kita dapat lonjakkan jualan syarikat (yang jana untung RM1 juta setahun) sebanyak 10%, bermakna kita berikan nilai sebanyak RM100,000 kat mereka.

Kalau kat syarikat yang jana untung RM100 juta setahun pula, dah tentu nilai yang kita boleh berikan jadi lebih tinggi.

Logik tak syarikat pertama tadi nak bayar servis kita dengan harga RM250,000? Tak kan? Kalau syarikat ke-2 pula? Mungkin ia tak mustahil.

Kadang-kala, pertumbuhan syarikat (yang lambat) tak sepenuhnya berpunca kat produk atau servis yang kita berikan.

Ia bergantung kat segmen pelanggan yang kita pilih. Kalau kita pilih pelanggan yang betul, kita ada potensi  menjana untung yang berlipat ganda lebih besar berbanding sebelumnya.

Bahasa mudah adalah, sentiasa pilih target pasaran yang betul. Ini adalah perkara pertama yang boleh kita buat sebelum mula berbisnes.

Ryan pernah buat kesilapan ini. Beliau tak target segmen pasaran yang betul, dan lebih fokus untuk dapatkan pelanggan yang sanggup bayar RM1,000 saja untuk setiap servis.

Bila dah tersedar, baru beliau tukar dan target golongan elit dan tukar harga servis ini.

Hasilnya? Pelanggan beliau sanggup bayar harga 50 kali ganda lebih banyak. Jadi, logik tak nak jana RM1 juta pertama kita dengan cara ini?

Langkah #5: Sentiasa melabur untuk jangka masa panjang

Ramai orang suka pilih untuk melabur kat perkara yang senang dan bagi untung dalam masa yang singkat.

Mungkin cara ini berkesan untuk sesetengah orang, tapi adalah lebih baik kita fokus melabur untuk jangka masa yang panjang.

Woods tak maksudkan pelaburan dalam hartanah dan saham semata-mata.

Masa, orang yang kita gajikan, hubungan yang kita bina, produk (atau servis) yang kita bangunkan, dan struktur syarikat kita juga dikira sebagai sebuah pelaburan.

Selama Ryan berusaha bangun dan kembangkan syarikat, beliau sedar yang banyak keputusan dibuat berdasarkan jangka masa pendek.

Bila dah sedar perkara ni, baru beliau tukar. Nasib baik masih belum terlambat.

Hasilnya? Beliau mampu menarik pelanggan yang lebih baik dan berikan nilai yang sepatutnya. Dan ini jadi sebab harga servis beliau boleh meningkat naik.

Pelanggan pula, tak kisah nak bayar harga lebih. Ini sebab beliau dapat capai target RM1 juta pertama beliau.

Langkah-langkah dalam artikel ini boleh ditambah dengan ilmu yang korang dah sedia ada. Mana tahu, lagi mencanak-canak hasilnya, kan?

Ini hanya secebis bantuan yang Tok boleh hulurkan. Yang lain, terpulang kat korang. Sebab korang yang nak dapatkan RM1 juta itu. Bukan orang lain.

Bila dah dapat nanti, ringkan tangan bantu orang susah. Fokus untuk dapatkan rezeki yang berkat, dan terus-menerus menjana saham akhirat. Tok doakan yang baik-baik untuk korang semua. Ameen.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *