PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

4 sebab anda tak akan jadi jutawan (dan bagaimana nak ubah perkara ini)

“Alhamdulillah. Dengan rezeki yang banyak ni, boleh la aku zakatkan kat yang memerlukan.”

“Syukur. Boleh la bersara awal lepas ni.”

“Wah. Seronok sangat dapat bercuti kat French Rivera.”

Ini mungkin skrip yang akan keluar daripada mulut kita bila berjaya jadi jutawan nanti.

Tak ada siapa berhak cakap yang korang tak akan dapat capai matlamat ini. Cuma, ia bergantung kat kat strategi dan tindakan korang sendiri.

Kali ini, izinkan Tok kongsikan 4 sebab yang halang korang daripada mencapai impian ini.

Dan bukan takat itu saja. Tok sumbat sekali cara-cara untuk korang lepas halangan ini.

Tanpa buang masa, mari kita mulakan. Chaiyok chaiyok!

Sebab #1: Anda masih samar-samar tentang fungsi duit

Duit bukanlah satu topik yang sukar kita nak faham.

Tapi hakikatnya, ramai lagi yang tak faham fungsi duit yang sebenar-benarnya.

Kita boleh salahkan sistem pembelajaran atau orang tua kita pasal ini. Itu hak masing-masing.

Namun sebenarnya, kita sendiri yang bertanggungjawab untuk belajar bagaimana duit berfungsi, bagaimana ia wujud, cara terbaik menggunakan duit, dan cara-cara menyimpan duit secara efisyen.

Jutawan sedar yang duit tak datang secara tiba-tiba.

Menurut Brandon, kekayaan tak akan datang secara kebetulan. Tapi, ia bergantung kat tindakan yang kita buat.

Membina kekayaan adalah seperti bermain ‘game’. Kalau nak menang ‘game’ ini, kita kena tahu cara nak main permainan ini untuk menang. Jadi, mula belajar dan timba ilmu daripada sekarang.

Bagaimana nak ubah perkara ini?

Korang boleh mulakan dengan membaca buku yang Brandon sarankan ini:

  • Rich Dad, Poor Dad daripada Robert Kiyosaki,
  • The Total Money Makeover daripada Dave Ramsey,
  • The Richest Man in Babylon daripada George Clason.

Tapi, jangan sekadar membaca saja.

Hayati setiap ilmu pengetahuan yang dikongsikan dalam buku ini, persoalkan setiap poin yang ada, dan bincangkan dengan pasangan atau kawan-kawan bisnes korang.

Kita boleh belajar untuk kuasai kewangan peribadi, serta ilmu lain yang membantu korang capai status jutawan, dan ia bukanlah satu perkara yang rumit dan mustahil.

Bila kita sanggup luangkan masa untuk menimba ilmu, perjalanan kita untuk temui kekayaan akan jadi lebih mudah.

Sebab #2: Anda kurang menghargai ilmu

Tok faham. Korang semua sibuk dengan tugasan harian masing-masing.

Walaupun setiap orang ada masa 24 jam sehari, kadang-kala ia tak cukup untuk selesaikan semua kerja yang ada. Dan ia adalah perkara yang normal.

Kata kunci perkara ini adalah ‘pengorbanan’.

Kalau kita korbankan usaha menimba ilmu secara berterusan, harapan kita untuk jadi jutawan akan jadi semakin tipis.

Banyak kes dah buktikan. Orang kaya tak pernah berhenti belajar, walaupun mereka sibuk dengan urusan harian dan kerja masing-masing.

Noah Kagan kongsikan cara beliau uruskan proses pembelajaran beliau dalam satu sesi temubual:

“Pada setiap hari Selasa pagi, saya akan luangkan masa untuk membaca dan belajar ilmu baru. Anda boleh buat strategi ini ikut hari atau masa anda sendiri.”

Cuba tanya diri sendiri dengan soalan ini:

  • Bila kali terakhir korang baca buku, atau berjumpa dengan mentor atau guru untuk menimba ilmu?
  • Bila kali terakhir korang jadualkan masa untuk belajar benda baru?
  • Adakah kita uruskan masa untuk buat kerja dan masa belajar dengan betul?

Tok faham. Kita ni manusia biasa.

Dah fitrah seorang manusia. Pasti penuh dengan kesilapan, kelemahan, dan kekurangan.

Tapi, tak bermakna kita tak boleh ubah kelemahan ini sampai bila-bila. Sentiasa gunakan masa terluang yang ada untuk belajar ilmu baru.

Bagaimana nak ubah perkara ini?

Korang boleh mulakan dengan mendengar podcast ini. Tok akan sertakan sekali pautan (link) kat bawah ni untuk mudahkan korang.

Ia adalah sesi interview Noah Kagan yang dijalankan oleh Tim Ferris. Kita boleh dengar dan banyak belajar daripada perbualan 2 insan hebat ini.

Klik sini untuk dengar podcast ini sekarang (Oh ya. Sebelum Tok lupa bagitahu, perbualan ini dalam bahasa Inggeris).

Tok simpulkan ilmu penting yang Noah Kagan nak kongsikan kat kita semua:

“Ajar diri supaya jangan pernah rasa cukup dengan ilmu yang kita ada. Sentiasa belajar, tak kira betapa sibuk sekalipun. Ia adalah pelaburan yang pasti berikan untung untuk jangka masa panjang.”

Sebab #3: Ada tabiat berbelanja diluar kemampuan kita

“Apakah yang korang akan beli bila dapat gaji setiap bulan?”

Hakikatnya, ramai yang berbelanja secara berlebihan. Tak kiralah korang dibayar gaji sebanyak RM2,000 atau RM20,000 setiap bulan sekalipun.

Akhir sekali, duit yang banyak itu tak akan buatkan korang rasa cukup.

Jutawan yang baik akan buat keputusan berbelanja secara bijak. Bila mereka dapat duit lebih, mereka tak akan pilih untuk tingkatkan taraf hidup.

Daripada berbelanja macam hantu, baik lagi kita pilih untuk cari pelaburan yang boleh tambah pendapatan.

Korang boleh pilih pelbagai jenis instrumen pelaburan, seperti:

  • melabur kat bisnes ‘startup’,
  • hartanah,
  • saham, atau pelbagai lagi pelaburan yang lain.

Logiknya, tak ada seorang pun dalam dunia ini nak bekerja sampai ke tua. Sebab itu, mereka gunakan duit itu untuk pelaburan yang menjana keuntungan jangka masa panjang, tanpa perlu mereka bekerja keras.

Bagaimana nak ubah perkara ini?

Kita boleh ubah perkara ini dengan buat bajet perbelanjaan setiap bulan.

Periksa dan kenal pasti setiap perbelanjaan untuk sekitar 3 bulan lepas. Pastikan korang boleh ‘track’ balik setiap duit keluar dan masuk secara spesifik. Baru kita boleh tampal balik tempat yang ‘bocor’ itu.

Amalkan simpan setiap resit sebagai rekod bukti perbelanjaan yang berlaku.

Dengan mencipta bajet, kita tak akan senang-senang berbelanja seperti orang tak ada pedoman.

Bila ada bajet, korang akan tahu had duit yang korang boleh belanjakan setiap bulan. Oh ya. Lagi satu, kena ada disiplin. Kalau buat bajet tapi tak ikut, pun tak guna juga, kan?

Sebab #4: Anda tak kumpul aset

Bekerja saja tak akan buatkan kita kaya-raya. Sama juga kalau menyimpan duit dalam tabung semata-mata.

Jadi, macam mana nak membina kekayaan?

Mulakan dengan mengumpul aset.

Aset bermaksud:

“Sumber yang mempunyai nilai ekonomi yang dimiliki oleh individu, syarikat, atau negara, yang boleh berikan manfaat pada masa akan datang” – Investopedia

Jutawan cukup suka mengumpul aset. Korang pula macam mana?

Aset boleh dikira sebagai sebuah bisnes yang berikan untung, portfolio pelaburan saham yang semakin berkembang, atau pelaburan hartanah yang menjana ‘passive income’ yang baik.

Nota tambahan: Tok kena pesan benda ni. Bukan semua pelaburan hartanah adalah baik. Ia bergantung kat ilmu, kajian, serta strategi yang korang gunakan.

Kereta korang bukan sebuah jenis aset. iPhone atau smartphone Android korang juga sama (tak dikira sebagai aset).

Bahkan rumah yang korang duduk sekarang pun boleh jadi tak dikira sebagai sebuah aset.

Ini semua adalah liabiliti, dan liabiliti seperti ini boleh kayapkan korang.

Daripada korang kumpul benda lagha ni, baik lagi kumpulkan aset yang akan berikan korang keuntungan untuk jangka masa panjang.

Bagaimana nak ubah perkara ini?

Kaji dan senaraikan setiap jenis aset yang ada dalam hidup korang, beserta nilai semasa aset itu.

Bila dah selesai senaraikan semua aset ini, tanya diri korang sendiri.

Adakah korang puas hati dengan setiap aset yang korang dah senaraikan tu? Jawab soalan ini secara jujur tau.

Lepas buat ini, baru rangka pelan terperinci sebagai usaha untuk kumpulkan lebih banyak aset.

Korang juga boleh buat perjanjian dengan diri sendiri supaya tak bazirkan banyak duit membeli liabilliti.

Tak mustahil korang boleh jadi jutawan. Malah, ia mudah nak dicapai kalau korang ada ilmu dan sanggup korbankan masa dan tenaga.

Tapi, korang kena keraskan diri (secara mental dan fizikal) untuk hadap segala ujian yang bakal terjadi. Jalan nak mencapai kejayaan dah tentu tak mudah.

Kalau senang, dah tentu ramai yang dah capai status jutawan.

Sentiasa belajar dan ulangkaji tentang cara terbaik menggunakan duit, menghargai ilmu bisnes, hidup dibawah kemampuan, dan akhir sekali, mula kumpulkan aset sebanyak mungkin.

Kalau korang konsisten buat semua ini, satu hari nanti, mesti korang akan sampai juga. In Shaa Allah.

Tok yakin, korang ada potensi untuk jadi kaya-raya, dan Tok tak pernah ragu-ragu pasal ni walaupun sikit.

Benda yang kita rasa mustahil nak dapat, akhirnya kita akan dapat juga bila kita konsisten dalam melakukan sesuatu perkara.

Ya, korang semua layak bergelar jutawan. Doa, usaha, dan tawakkal adalah jalan kejayaan yang dah terbukti. Cuma, jangan lupakan Tok bila dah kaya nanti ya. Hehe.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *