PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Tak suka rugi? Ini 3 soalan yang boleh selamatkan pelaburan hartanah anda

“Siapa yang suka rugi? Sila angkat tangan tinggi-tinggi.”

Tok yakin. Pasti tak ada seorang pun yang akan angkat tangan.

Lebih-lebih lagi bila bercerita bab pelaburan. Bila melabur, mesti kita nak dapatkan untung.

Bila kita kaji macam-macam jenis pelaburan yang ada, risiko untung rugi seperti tak boleh terpisah. Mesti ada nak menyibuk.

Tapi, ini adalah hakikat tentang pelaburan yang kita kena telan. Ia tetap ada risiko untung dan rugi.

Sebab itu, strategi dan ilmu pelaburan yang betul dapat elakkan kita terjerumus ke dalam kancah kerugian. Dan kali ini, Tok suka nak kongsi ilmu pelaburan daripada Cikpuan Rohaniah Noor ini.

Yang pertama sekali Tok nak sentuh, ada beza ketara kalau nak beli rumah untuk pelaburan dan beli rumah untuk duduk sendiri.

Beza antara beli rumah untuk pelaburan dan untuk kediaman sendiri

Kalau korang beli rumah untuk kediaman sendiri, keselesaan diri dan keluarga jadi matlamat utama.

Kita kena jawab soalan seperti kat bawah ini:

  • “Adakah korang sukakan reka bentuk susunan dalam rumah itu?”
  • “Adakah jiran-jiran kat situ baik?”
  • “Adakah persekitaran rumah itu selamat untuk keluarga?”

Dalam bahasa ringkasnya, tanya sama diri sendiri. Apa yang korang nak?

Berbeza pula kalau nak beli rumah untuk tujuan pelaburan. Korang kena tanya kat kakulator yang tak rosak.

Ini akan berikan jawapan yang tepat kat setiap persoalan yang bermain dalam minda korang. Pendek kata, untuk pelaburan, kita nak dapatkan fakta. Tak boleh nak main agak-agak sahaja.

Setiap pelaburan mesti ada kira-kira, dan pelaburan hartanah juga tak terlepas daripada perkara ini. Kita mesti nak kira pulangan yang kita bakal dapat dalam bentuk angka, kan?

Jadi, apakah soalan yang patut ditanya kat kakulator korang tu?

3 soalan utama untuk anda jawab, sebelum beli rumah untuk pelaburan

Ini ada 3 soalan yang korang wajib jawab, sebelum membeli mana-mana rumah untuk tujuan pelaburan.

Soalan #1: “Berapa bajet yang aku kena sediakan?”

Ini adalah soalan paling asas untuk ditanya kat diri sendiri.

Untuk membeli sesebuah hartanah dari lelongan atau pasaran kedua, korang perlu jelaskan wang deposit dan yuran guaman.

Secara asas, untuk membeli sebuah rumah, korang kena letak deposit sebanyak 10% daripada harga rumah yang nak dibeli.

Sebagai contoh, kalau korang pelan nak beli rumah yang berharga RM100,000, korang kena bayar wang pendahuluan sebanyak RM10,000 untuk deposit.

Tapi, perkara ini juga bergantung kat margin pinjaman korang.

Kalau korang dah ada 2 buah rumah yang masih meminjam duit daripada bank, korang hanya layak dapat pinjaman sebanyak 70% sahaja untuk membeli rumah seterusnya.

Bermakna, korang kena sediakan deposit sebanyak 30% daripada harga jualan untuk dapatkan pinjaman perumahan ke-3 dan seterusnya.

Kita guna contoh tadi apartmen RM100,000 tadi. Untuk ini, kita perlu sediakan wang deposit sebanyak RM30,000.

Selain itu, korang juga kena sediakan duit untuk bayar yuran guaman bagi 2 perkhidmatan ini:

  • peguam untuk proses jual-beli,
  • peguam untuk dokumen pinjaman.

Untuk yuran guaman jual-beli rumah, korang kena sediakan sekurang-kurangnya 3% – 4% daripada harga rumah yang nak dibeli.

Kalau ikut contoh pertama tadi, korang kena keluarkan sebanyak RM3,000 – RM4,000, untuk beli rumah yang berharga RM100,000.

Caj peguam untuk dokumen pinjaman pula, korang boleh buat permohonan kat bank untuk mereka masukkan amaun itu kat pinjaman yang dibuat.

Cara ini boleh jimatkan kos dan modal yang korang kena keluarkan.

Secara kasar, kalau korang ada wang tunai sebanyak RM13,000 dalam bank, korang hanya boleh beli rumah yang berharga RM100,000 ke bawah sahaja. Tak boleh lebih daripada itu.

Kalau ada modal yang lebih dari itu, baru boleh pelan untuk beli rumah yang lebih daripada harga RM100,000.

Soalan #2: “Berpatutan tak harga rumah itu?”

Nak tahu harga yang rumah itu berpatutan atau tak? Dapatkan nilai pasaran semasa rumah itu.

Ada 4 cara untuk dapatkan nilai pasaran semasa rumah:

i) Rujuk kat iklan rumah yang kita nak beli

Biasanya, harga rumah akan jelas terpampang kat ruangan brosur atau pamplet.

Atau, korang boleh tanya terus kat agen hartanah yang mahir dengan kawasan tersebut.

Kalau korang rujuk kat iklan, sila berhati-hati. Sebab ramai penjual akan cuba jual rumah dengan harga yang lebih tinggi daripada nilai semasa pasaran.

Kira purata harga di antara harga tertinggi untuk rumah yang ditawarkan dengan harga terendah.

Dengan cara ini, korang boleh dapatkan harga yang berpatutan untuk rumah yang korang nak beli.

ii) Dapatkan harga untuk setiap kaki persegi (sq.ft)

Kalau tak ada atau tak jumpa iklan untuk rumah yang kita nak beli, boleh buat cara ini.

Sebagai contoh.

Katakan rumah teres lorong belakang rumah yang kita nak beli itu, dijual dengan harga RM290,000 untuk keluasan 1400 kaki persegi.

Korang boleh kira berapa harga untuk setiap kaki persegi rumah yang korang pelan nak beli tu. Cara kira adalah seperti berikut:

  • RM290,000 / 1400 kaki persegi = RM207.14 (untuk setiap kaki persegi (sq.ft)).

Lepas tu, korang boleh darab harga ini dengan keluasan rumah yang korang nak beli. Ya, harga ini sebagai indikator untuk dapatkan harga anggaran.

Kalau rumah yang korang nak beli itu luasnya 1300 kaki persegi, darab terus dengan harga yang korang dapat tu.

Jadi, harga anggaran bagi rumah itu adalah:

  • RM207.14 X 1300 kaki persegi = RM269,282.

Korang boleh bandingkan harga sebenar rumah yang korang nak beli, dengan harga indikator ni.

Ingat tau. Ini cuma harga indikator saja, serta dengan andaian yang tak ada pengubahsuaian atau kerosakan yang ketara di antara dua-dua rumah ini.

iii) Tanya terus kat bank

Korang boleh tanya terus kat bank yang korang pelan nak buat pinjaman.

Perkara yang korang kena sediakan sebelum berjumpa dengan pihak bank adalah:

  1. Nama penuh,
  2. alamat penuh,
  3. butiran pegangan tanah,
  4. keluasan rumah,
  5. sebarang bentuk pengubahsuaian (jika ada) kat rumah itu.

Ini adalah cara terbaik untuk tahu harga harga sebenar rumah yang korang nak beli itu.

iv) Upah penilai hartanah

Korang boleh gunakan cara ini, kalau ada modal atau duit yang tak kisah nak dileburkan. Kalau cukup-cukup makan saja, gunakan 3 cara sebelum ini.

Namun, pastikan dulu yang penilai hartanah itu berasal daripada panel bank yang korang nak buat pinjaman.

Ini supaya laporan penilaian itu diterima pihak bank, tanpa sebarang masalah.

Soalan #3: “Berapa untung yang akan aku dapat?”

Kalau korang beli rumah untuk dapatkan pulangan, kaji dulu prestasi kenaikan harga rumah lain kat kawasan yang sama (untuk sekitar 3 hingga 5 tahun sebelum ni).

Adakah kenaikan mencecah 10% setahun? Berapa pula sasaran keuntungan modal yang korang nak dapatkan selepas sesebuah jangka masa?

Katakan, korang pelan nak dapatkan keuntungan kasar sekurang-kurangnya 40% dalam tempoh 4 tahun.

Kaji dulu sama ada matlamat ini realistik atau tak untuk dicapai, berdasarkan kenaikan harga semasa rumah.

Kalau tak, sanggup tak korang terima keuntungan yang lebih rendah sikit? Contohnya, untung 30% saja untuk tempoh 4 tahun?

Kita boleh buat kira-kira untuk perkara ini, supaya ia logik untuk kita capai. Dan ia juga turut membantu kita merangka strategi tindakan yang perlu kita buat, untuk capai matlamat itu.

Kaji juga segala faktor-faktor positif yang mungkin akan muncul dalam jangka masa terdekat, yang bantu lonjakkan harga rumah tu.

Sebagai contoh, kaji daripada segi pembangunan seperti:

  • pembinaan stesyen LRT atau MRT,
  • pembinaan lebuh raya yang boleh diakses dengan mudah,
  • pembangunan universiti, kolej, atau pembangunan pusat komersial dekat sesebuah kawasan.

Lain pula kalau korang nak beli rumah itu untuk dapatkan pulangan untung sewaan.

Ini adalah formula pulangan sewaan yang terbaik untuk kita amalkan:

  • Kadar pulangan minimum adalah sebanyak 6%. Namun, jika korang nak untung dan jaminan keselamatan yang lebih tinggi, beli rumah yang ada kadar pulangan sewaan sebanyak 7.5% ke atas.

Akhir sekali, ini nasihat yang kita boleh tanam dalam-dalam kat minda kita:

“Ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa.”

Gunakan akal fikiran yang Allah S.W.T kurniakan kat kita untuk buat pertimbangan, perbandingan, dan keputusan membeli yang terbaik.

Dalam pelaburan hartanah, belajar untuk kawal emosi supaya tak mudah ‘jatuh hati’ kat sesebuah rumah. Ini sebab ia boleh kaburkan pertimbangan korang.

Takut nanti daripada tak rugi, boleh jadi rugi. Pelaburan ini bukan kecil-kecil anak modalnya.

Tapi, Tok yakin korang tak akan buat perkara ini lepas habis baca perkongsian ini. Tok doakan korang dapat beli untuk tujuan pelaburan cepat-cepat, In Shaa Allah.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *