PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

9 perkara asas pasal duit yang elok anda ambil tahu. Ramai kantoi kat No. #4

Bila kita dah berjaya kuasai perkara asas (tak kira apa jenis ilmu pun), In Shaa Allah perkara yang lain boleh diuruskan dengan senang.

Ya. Perkara berkaitan bab duit pun sama.

Kalau asas pasal duit pun tak tahu, susah kita nak uruskan perkara ini dengan baik. Ini ada satu nasihat berharga, yang Tok suka sangat daripada Tony Robbins pasal duit:

“You either master money, or, on some level, money masters you.”

Kali ini, Tok nak kongsikan kat korang 9 perkara asas pasal duit yang pasti korang suka nak ambil tahu. Tok dapat info ini kat blog myfinance.com.my, dan korang boleh cepat kaya dengan ilmu ini tau.

#9: Asas pasal kad kredit

Tok tak nafikan. Sekarang ni, boleh kata kita hidup dalam dunia kredit.

Kad kredit boleh mudahkan urusan bisnes atau transaksi personal.

Ia boleh jadi aset dan juga liabiliti, bergantung kat cara penggunaan. Kalau salah guna, ia boleh mudaratkan kesihatan kewangan kita.

Dengan belajar dan fahamkan asas tentang pengunaan kad kredit (dan cara nak gunakan ia sebagai satu kelebihan yang bagi manfaat kat korang), ia boleh bantu ringankan beban dalam bab berkaitan kewangan.

Kalau tahu selok belok pasal ni, korang boleh jadikan kad kredit sebagai aset terbaik korang.

#8: Asas pasal Faedah Kompaun (compounding interest)

Korang ada pelan nak jadi seorang pelabur yang sentiasa dapat pulangan untung yang banyak?

Mulakan dengan belajar asas Faedah Kompaun.

Faedah Kompaun ini popular sejak zaman Albert Einstein lagi. Beliau sendiri gelarkan perkara ni sebagai 8th Wonder tau.

Katakan, korang melabur RM300 setiap bulan tanpa sebarang Faedah Kompaun. Dalam masa 30 tahun, korang hanya akan dapat simpan RM108,000 saja.

Bayangkan korang gunakan Kompaun Interest ini. Jumlah simpanan yang sama, tapi pulangan pelaburan boleh jadi berlipat-ganda.

Kita ambil contoh tadi. Korang laburkan RM300 setiap bulan beserta pulangan Faedah Kompaun sebanyak 9%. Korang akan dapat pulangan sebanyak RM550,000 selepas 30 tahun. Kalau korang, mana lagi untung?

Bila kita dah faham formula Faedah Kompaun ini, gunakan ia sebagai alat untuk berikan untung yang lebih banyak. Tak mustahil dengan duit yang sikit, boleh kaut untung yang banyak. Ini adalah salah satu caranya.

#7: Asas pasal pengurusan risiko

Bab pelaburan penuh dengan risiko. Ia adalah sifat (nature) dalam setiap jenis pelaburan yang wujud kat muka bumi ini.

Tapi, tak bermakna kita tak boleh uruskan setiap risiko yang ada.

Dengan ambil tahu pasal pengurusan risiko, kita boleh tipiskan kerugian kita pada tahap minimum. Pada masa yang sama, pulangan pelaburan juga dapat kita tingkatkan dengan merangka strategi yang betul.

Disamping itu juga, kita boleh elakkan diri kita daripada senang-senang jadi mangsa scammer yang cuba nak tipu kita. Boleh jadi ilmu pendinding daripada scammer kat Malaysia ni (yang berlambak-lambak).

Kalau tahu asas, kita sendiri boleh analisa dan mengkaji tanpa perlu keluarkan duit untuk upah orang lain. Kan lagi senang macam ni?

#6: Asas pasal indeks saham

Ramai juga yang sukakan pelaburan saham. Ini salah satu pelaburan yang berikan pulangan yang menarik kat pelabur.

Kalau nak pastikan sentiasa dapat kaut untung, boleh mula belajar asas pasal indeks saham.

Ini adalah salah satu cara yang simpel dan tak banyak gunakan modal dan masa korang. Tok syorkan korang beli buku asas pelaburan saham daripada Tuan Suzardi Maulan ni.

Bila dah mula belajar, korang akan terus korek dengan lebih mendalam lagi pasal perkara ni. Banyak lagi yang akan korang tahu nanti.

Nak lagi best? Korang boleh gabungkan ilmu Faedah Kompaun dengan pelaburan ini. Lagi mencanak-canak untung yang korang boleh buat.

#5: Asas pasal hartanah dan gadai janji (mortgage)

Kalau tak tahu pasal asas pinjaman perumahan dan macam mana gadai janji berfungsi, elok kita mula belajar daripada sekarang.

Untuk korang yang dah pernah terkena dalam krisis gadai janji subprime (subprime mortgage crisis), ia boleh jadi satu pelajaran berharga buat korang. Dan bagi yang tak nak terkena, mula belajar asas pasal ini ya.

Secara asas, ada 3 jenis gadai janji yang berbeza untuk peminjam. Ia adalah:

  • Pinjaman asas perumahan (basic term home loan),
  • Semi-flexi home loan, dan
  • Full-flexi home loan.

Penting untuk kita fahamkan fungsi 3 jenis gadai janji ini.

Fahamkan yang harga rumah tak akan sentiasa meningkat. Dan korang juga perlu pastikan yang hutang gadai janji bukan saja perlu berpatutan pada setiap bulan. Ia juga perlu berpatutan sepanjang tempoh pinjaman gadai janji yang dibuat.

#4: Asas susut nilai sesebuah aset

Tak semua benda yang kita beli akan berikan manfaat (dari segi kewangan) kat kita.

Kita boleh fahamkan asas untuk bezakan aset yang baik, dan aset yang boleh susut dari segi nilai.

Banyak perkara yang orang beli (contohnya, kereta) akan kurang nilainya dari masa ke semasa.

Tapi, tak bermakna ia satu pembelian yang tak baik. Sebab ia boleh jadi faktor penting untuk menjana pendapatan korang secara keseluruhan. Kita gunakan kenderaan untuk mencari rezeki.

Dan ia tak jadi sandaran untuk beli kereta dengan harga yang melampau. Bukan tak boleh beli kereta yang basic, untuk dibuat sebagai kenderaan pergi-balik kerja.

Yang terbaik kita boleh buat, adalah membeli kenderaan yang tak lebih daripada kemampuan kita.

Dengan faham setiap keputusan pembelian itu akan meningkat atau susut dari masa ke semasa (dari segi nilai), kita boleh kurangkan kadar kerugian yang akan ditanggung, dan gunakan maklumat bermanfaat ini sebagai kelebihan kita.

#3: Asas simpanan kecemasan

Kehidupan kita penuh dengan misteri. Ada masa, kita senang. Dan secara tiba-tiba, ia boleh berpusing 360 darjah dalam masa yang amat singkat.

Dengan pelan kecemasan, kita boleh bersedia hadapi perkara seperti ini kalau ia berlaku.

Semua orang yang berjaya dalam bab kewangan ada simpanan kecemasan mereka sendiri. Jadi, korang pun patut ada simpanan ini. Kalau tak ada lagi, boleh mulakan sekarang juga.

Kerugian melibatkan kewangan sukar untuk kita jangka. Paling kurang, kita boleh uruskan masalah ini dengan simpanan kecemasan yang kita ada. Jadi, tak perlu kita susahkan orang lain.

Asas ini akan jadi penentu sama ada kewangan korang terus sihat, atau terpaksa hadapi krisis kewangan (yang akan susahkan diri korang sendiri).

#2: Asas pasal cukai

Bila sentuh pasal bab cukai, ia nampak seperti teramat kompleks, susah nak faham, dan rumit bagi sesetengah orang.

Itu sebab kita kena fahamkan asas cukai terlebih dulu. Dengan asas yang kuat, korang boleh gunakan ini sebagai kelebihan untuk dapatkan pengecualian cukai tertentu.

Dah tentu ini boleh jimatkan banyak duit korang untuk jangka masa panjang.

Ia juga membantu kita mengenal pasti dokumen dan resit yang boleh kita simpan, untuk dapatkan pengecualian cukai ini.

Pada pandangan Tok, masih ramai lagi yang kurang jelas tentang asas perkara ni. Tak apa. Masih sempat lagi untuk mula belajar dari sekarang.

#1: Asas pasal bajet

Tak ada yang lagi penting daripada mengambil tahu pasal ke mana kita belanjakan duit (yang susah-payah kita nak dapatkan). Korang setuju tak dengan ayat ni?

Ini adalah sebab kenapa kita perlu simpan segala bukti perbelanjaan yang berlaku. Supaya kita dapat kesan balik ke mana duit kita pergi.

Selagi kita tak fahamkan asas fungsi bajet, kewangan kita ada potensi besar untuk jatuh sakit. Selain tu, penting juga untuk kawal dari kita daripada berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.

Kalau tak mahir lagi dengan asas ini, elakkan diri daripada melabur kat mana-mana jenis pelaburan dulu.

Yang paling utama, kita kena belajar cara disiplinkan diri dalam bab bajet dan berbelanja. Kalau duit selalu keluar macam air, macam mana kita nak simpan duit untuk melabur? Logik kan?

Nota tambahan: Nak mula belajar buat bajet? Boleh klik kat sini. Ini salah satu strategi asas yang sesuai untuk yang baru nak bermula.

Kalau korang belajar semua perkara asas atas ini, tak mustahil korang boleh jadi lebih kaya dan berjaya.

Utamakan perkara asas dulu, sebab ia akan jadi penyelamat korang. Tanpa asas yang baik, susah kita nak faham perkara yang lebih kompleks dalam sesuatu masalah yang terjadi.

Bila dah kuasai asas, korang sendiri akan dapat lihat kehidupan korang berubah ke arah yang lebih positif. Tok sentiasa doakan yang terbaik untuk korang.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *