Login

Register

Login

Register

8 sebab bank senang hati luluskan permohonan pinjaman, supaya anda boleh beli rumah tahun ini

| | ,

Tok rasa korang semua dah sedia maklum. Bank semakin kedekut nak bagi pinjaman untuk membeli rumah, walaupun ramai yang layak dapat.

Dan tak bermakna korang dah tak ada harapan langsung. Pasti ada lagi sinar mentari setiap esok hari (chewah, berpujangga pula Tok pagi ni).

Mungkin lepas baca perkongsian Cikpuan Bella Leana ini, korang tahu nak buat apa untuk buatkan bank senang hati luluskan permohonan korang. Semoga berjaya ya.

#1: Berikan sepenuh perhatian dan kasih sayang kat simpanan (saving) anda

Kalau korang nak tahu, bank cukup suka kalau kita ada duit simpanan yang cukup. Kat sini, mereka dapat kenal pasti peminjam yang betul-betul komited dalam membayar balik ansuran bulanan tanpa gagal.

Bank cukup tak suka nak bagi pinjaman kat yang meminjam, tapi tak reti nak bayar balik (atau orang berpotensi buat perangai tak semenggah ini).

Sebagai permulaan, fokus untuk buat simpanan sekurang-kurangnya 6 bulan untuk bayaran ansuran pembiayaan rumah (monthly installment).

Kita boleh mengira anggaran ansuran bulanan dengan cara mengenal-pasti harga rumah yang kita nak beli itu.

Contohnya, harga rumah yang korang nak beli bernilai RM350,000. Bahagikan saja dengan 200. Jadi, cara kira adalah seperti berikut:

  • RM350,000 (bahagi) 200 =
  • Anggaran ansuran bulanan = RM1750 setiap bulan.

Nota: Ini adalah harga anggaran saja. Kalau nak kiraan yang tepat, tanya banker sendiri. Tapi ia tak akan lari jauh dengan harga ini.

Dah kira? Darabkan pula dengan 6 bulan. Itu jumlah yang kita boleh kumpul sebagai permulaan. Nak lagi cun? Simpan untuk tempoh 1 atau 3 tahun. Baru bank bertambah yakin kat korang.

Nak lagi cun tahap tahap gaban? Sediakan sekali buku akaun Tabung Haji atau ASB yang terkini (updated), atau sebarang akaun simpanan kat bank lain sebagai dokumen sokongan.

#2: Kalau baki akhir bulan selalu kosong, korang ada potensi melopong

Bank juga akan tengok baki terakhir akaun kita setiap akhir bulan. Cara ini buatkan mereka dapat tahu sama ada kita ini ada disiplin uruskan duit atau sebaliknya.

Kalau tiap kali akhir bulan baki dalam akaun tinggal RM12.80, tak payah nak pelik kalau bank tolak permohonan pinjaman korang. Sebab diri sendiri yang cari pasal.

Paling kurang pun, kalau esok dah tahu nak gaji, tinggalkan (paling kurang) RM50 dalam akaun. Kalau dapat buat lebih, lagi bagus.

Kalau dah tahu diri tu susah nak simpan duit, buat bajet siap-siap. Dan ikut bajet tu dengan penuh berdisiplin. Korang serius nak beli rumah kan?

Elakkan akaun bank daripada selalu kosong. Tiap kali dapat gaji baru, pecahkan ia dan simpan lebih kurang 10% (paling minimum). Lagi banyak kita boleh simpan, lagi tinggi peluang permohonan kita boleh lulus.

Nota: Kalau korang asingkan duit gaji kat akaun lain, sertakan bukti seperti contoh penyata akaun bank yang satu lagi tu.

#3: Kawal nafsu gunakan kad kredit

Kad kredit boleh jadi musuh atau kawan kita. Kalau tak pandai guna, boleh hancurkan kesihatan kewangan kita. Kalau pandai guna, ia boleh buatkan hidup kita jadi selesa.

Seperti yang korang tahu, kita boleh tetapkan had (limit) penggunaan kad kredit mengikut kemampuan kita bayar balik amaun yang dipinjam. Elakkan guna sehingga 70% daripada had yang kita dah tetapkan ini.

Selain itu, kalau kita gunakan kad kredit, jelaskan bayaran lebih sikit. Elakkan kerap buat bayaran minimum (minimum payment) sebanyak 5% saja.

Lagi elok kalau korang bayar sekaligus (kalau mampu. Kalau tak mampu, bayar lebih sikit daripada harga minimum pun dah cukup).

Kita buat macam ni sebab nak buatkan skor kredit kita cantik untuk pihak bank tengok. Kalau skor ini baik, lebih tinggi peluang kita untuk dapatkan permohonan pinjaman.

#4: Bank suka tengok CCRIS yang cun melecun

Laporan CCRIS boleh jadi penyebab sama ada permohonan pinjaman kita dapat greenlight, atau redlight. Korang faham maksud ayat ni kan?

Bank suka tengok nombor “0” kat laporan ni. Dan sehabis boleh, elakkan nombor lain selain “0” kat dalam laporan ini. Nak anggap nombor lain sebagai taboo pun boleh.

Kalau boleh, semak sebarang hire-purchase yang ada, dan pastikan kita tahu bila tarikh akhir (due date) untuk jelaskan ansuran bulanan ini. Sentiasa bayar awal-awal sebelum due date ya.

Selain itu, semak juga sebarang item yang tesenarai kat bahagian Special Attention Account dalam laporan CCRIS. Kalau ada, pastikan kita selesaikan perkara ini terlebih dulu.

Kalau dah selesai, lampirkan sekali released-letter untuk banker tengok.

Item kat bahagian ke-3 laporan ini pun main peranan (bahagian Application on Credit). Kalau banyak sangat buat permohonan kat merata-rata bank, ia pun boleh jadi faktor buatkan permohonan kita susah lulus.

#5: Elakkan memajak emas kat bank

Ini tip daripada pengalaman Cikpuan Bella Leana sendiri.

Bila ada rekod Ah-Rahnu dalam CCRIS (sebab pajak emas kat bank), ia akan buatkan CCRIS kita jadi negatif.

Kesannya? Ia akan turunkan skor dan buatkan permohonan pinjaman rumah kita susah nak lulus.

#6: Sediakan Letter Offer (LO) siap-siap

Kalau kita boleh mudahkan kerja banker, potensi untuk lulus pinjaman menjadi semakin tinggi.

Sebab itu kita sediakan Letter Offer (atau Penyata Bayaran) yang terkini untuk setiap pembiayaan yang kita buat.

Sebab apa kita buat macam ini?

Baca balik ayat pertama kat atas tadi. Bila kita sediakan siap-siap dokumen ini, mudah untuk banker buat cadangan (recommendation) daripada segi pengiraan DSR (Debt Service Ratio).

Kadang-kadang, ansuran bulanan kat CCRIS tak sama dengan ansuran bulanan sebenar dalam Letter Offer dan Perjanjian. Kat sini, kita boleh bantu banker kira DSR yang lebih tepat.

#7: Sediakan sekali dokumen sokongan yang lengkap dan terkini

Bila nak buat permohonan pinjaman rumah, bukan setakat dokumen asas je kita kena hantar kat bank.

Kalau boleh, siapkan sekali segala dokumen yang buktikan kita ada saluran pendapatan lain, selain daripada gaji kita.

Dan pastikan dokumen ni lengkap dan dah dikemas-kini. Bukan yang dah outdated ya.

#8: Semak dulu kelayakan meminjam (eligibility)

Sebelum nak beli rumah, jumpa dulu dan dapatkan nasihat atau konsultasi beberapa pegawai bank.

Buat ini dengan sekurang-kurangnya pergi ke 3 bank yang berbeza untuk semak kelayakan kita meminjam. Sebab lain bank, lain syarat dan polisi mereka.

Elakkan tergopoh-gapah membeli rumah. Sebab kalau tak dapat pembiayaan, korang sendiri yang susah nanti.

Tip Bonus: Sentiasa mudahkan kerja banker

Sediakan siap-siap dokumen yang perlu ada sebelum buat permohonan. Kalau dokumen yang perlu fotostat, pastikan ia terang dan nyata.

Ingat ya. Banker bukan kuli kita.

Kalau kita dapat mudahkan kerja banker, mereka pun senang hati mudahka kerja kita. Barulah adil dan saksama.

Tahniah. Korang baru saja selesai habis membaca sebab-sebab yang buatkan bank senang hati nak luluskan permohonan beli rumah.

Pendek kata, ini cara untuk buktikan yang korang layak dapatkan pinjaman ini. Tunjukkan yang kita betul-betul mampu bayar ansuran bulanan pembiayaan yang kita pohon.

Hadam dan amalkan ilmu ini dulu ya. Kalau Cikpuan Bella ada tip lagi, Tok akan kongsikan kat korang. Dah memang itu kerja Tok, ye dak?

Previous

Ini satu lagi kaedah bajet yang bagus untuk uruskan kewangan. No #6 boleh buatkan anda jadi kaya

15 cara pelabur newbie simpan banyak duit untuk beli rumah tahun ini (Siri #1)

Next

Leave a Comment