PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

7 prinsip orang kaya simpan duit (dan buat lebih banyak duit)

Tok rasa, semua orang ada impian nak rasa jadi orang kaya. Setuju tak?

Dan ia tak lah mustahil nak capai. Selagi ada ilmu, usaha, dan tawakkal, In Shaa Allah dapat juga nanti.

Tok tak nak buang masa korang. Kali ini, Tok nak kongsikan nukilan Tuan Mohd Zulkifli Shafie pasal prinsip nak simpan wang (yang boleh bantu korang cepat jadi kaya) ini.

Banyak yang boleh kita belajar. Kalau bermanfaat, kongsikan kat teman yang lain. Supaya bertambah ramai yang boleh dapatkan khasiat yang sama.

Tak ada orang kaya yang tak reti menyimpan. Mereka adalah golongan yang “gunakan duit untuk buat lebih banyak duit”. Dengan menyimpan, baru korang boleh buat strategi yang sama.

Kisah yang patut anda baca sebelum mula menyimpan

Masa mula-mula nak menyimpan, saya selalu tunggu duit lebih.

Kalau ada lebih baru simpan. Kalau lebih banyak, simpan banyak. Kalau sikit, simpan sikit.

Tapi sebenarnya itulah kesilapan pertama bila nak menyimpan.

Kalau tunggu duit lebih, alamatnya sampai bila-bila pun tak akan menyimpan. Sampai bila-bila pun tak ada lebih.

Masa mula-mula kerja, gaji RM1,600 rasa tak cukup. Tapi bila gaji dah berganda pun masih rasa tak cukup.

Masa dapat hasil bisnes pun sama. Bila dapat hasil, saya senaraikan dulu duit tu nak belanjakan ke mana. Last sekali baru cek berapa lagi baki yang boleh disimpan.

Tapi teknik ni memang proven ianya silap. Memang tak akan berbaki pun. Bahkan tak cukup.

Akhir sekali baru saya faham prinsip penting bila nak menyimpan. Potong dulu, baru belanjakan selebihnya. Bukan belanja dulu, simpan selebihnya.

Bukan jumlah pendapatan jadi ukuran, tapi berapa banyak yang boleh kita simpan setiap bulan

Sekarang ni, bila dapat hasil bisnes, saya akan potong siap-siap untuk disimpan. Saya target 50% hasil bisnes mesti disimpan. Selebihnya baru boleh buat belanja.

Duit gaji bulanan pun sama. 10% mesti bayar diri sendiri dulu – tambahkan simpanan. Selebihnya baru guna untuk bayar orang laindan buat belanja bulanan.

Tapi macam mana nak simpan kalau duit tak cukup?

Pada pengalaman saya, kalau simpan, duit tak cukup. Kalau tak simpan pun, duit tak cukup juga untuk berbelanja! Jadi, lebih baik menyimpan.

Menyimpan sebahagian daripada pendapatan memang tabiat wajib kalau nak kaya.

Bak kata Irfan Khairi, kekayaan bukan berapa banyak income yang kita dapat, tapi berapa banyak yang kita simpan.

Lepas amalkan tabiat menyimpan, memang saya rasa duit belanja bulanan tak cukup, sama macam orang lain juga.

Masuk tengah bulan jer, poket mula pokai. Mula la ‘korek’ duit sana sini.

Tapi bila kita menyimpan, pokai kita tak sama macam orang lain. Saya selalu istilahkan sebagai “pokai berduit”.

Pokai, tapi ada duit.

Tak semestinya tak berduit kalau nampak pokai

Kenapa banyak menyimpan tapi masih pokai? Sebab kita kena disiplinkan diri dalam menyimpan.

Duit belanja bulanan kena bajet siap-siap berapa amaun untuk dibelanjakan.

Duit simpanan tak boleh disentuh melainkan untuk tujuan khas simpanan.

Duit simpanan kecemasan tak boleh disentuh, melainkan untuk kecemasan. Duit simpanan untuk bisnes, tak boleh disentuh melainkan untuk bisnes. Itulah prinsipnya.

Tapi kalau sentuh juga duit tu, maksud kita dah “pecah amanah” pada kewangan sendiri. Hukumannya adalah lambat jadi kaya.

Ada seorang multi-millionaire yang saya kenal bulan lepas. Pakai sempoi jer macam ‘tukang kebun’. Naik kereta ke sana ke mari pakai Honda Accord tahun 1990-an. Duduk rumah setinggan.

Tapi aset dia puluhan juta! (Itu baru nama zuhud).

Kalau bab sedekah, memang dia tak berkira. Tapi kalau untuk diri sendiri, memang berkira sangat supaya jangan sampai duit terbocor kat benda yang tak perlu.

Setiap sen duit dibelanja mesti dia rekod. Resit beli di 7-Eleven pun dia rekod. Memang patutlah dia kaya raya.

Ini adalah realiti mereka yang bergelar “cash rich”

Dia memang berdisiplin dalam berbelanja. Sangat berhati-hati berbelanja, takut duit terbocor kat perkara yang sia-sia.

Kesilapan ramai daripada kita, penat pagi petang cari duit, tapi lupa duit yang kita cari terbocor pada belanja yang entah ke mana.

Dah dekat 3 tahun saya terlibat jual beli emas. Saya berpeluang berjumpa ramai orang yang “cash rich” (yang banyak simpanan tunai).

Saya perhatikan, orang “cash rich” ni kebanyakkannya jenis low-profile.

Pakai kereta biasa jer. Hidup macam orang biasa jer. Hidup tak nampak bergaya. Sangat cermat bila berbelanja.

Tapi bila bab duit simpanan, cukup untuk dia tersenyum lebar. Bak kata orang, letak kepala kat bantal je boleh terus lena. Peace of mind. In Shaa Allah.

Mula tanam 7 prinsip ini dalam diri (kalau anda nak kaya cepat)

Berdasarkan pemerhatian saya, ada beberapa prinsip penting yang diamalkan orang kaya-kaya dalam menyimpan kekayaan.

Saya sendiri pun amalkan prinsip ni. Dan Alhamdulillah, ia memang berkesan:

Prinsip #1 – Potong at least 10% daripada income bulanan

Potongan ini, korang boleh jadikan simpanan untuk dilupakan.

Simpan dan lupa. Jangan diingat-ingat lagi.

Sampai satu masa, duit tu boleh dimanfaatkan untuk gandakan kekayaan melalui bisnes atau pelaburan.

Prinsip #2 – Simpanan di tempat yang agak ‘susah’ dikeluarkan

Contoh macam Tabung Haji (tak ada kad ATM) dan simpanan emas.

Kalau simpan dalam Tabung Haji, jangan sekali-kali ambil kemudahan pengeluaran melalui ATM Bank Islam atau Bank Rakyat. Kalau mudah dikeluarkan, duit simpanan tu tak akan bertahan lama.

Dan lagi baik kalau serahkan buku bank tu kepada mana-mana ahli waris yang amanah. Bila benar-benar terdesak jer baru mintak buku tu.

Prinsip #3 – Mulakan simpanan  sekarang walaupun sedikit

Tak kira berapa banyak pun jumlah yang kita mampu simpan setiap bulan, yang paling penting ialah memupuk TABIAT menyimpan.

Dulu saya mula menyimpan cuma RM20 sebulan potong gaji masuk Tabung Haji.

Pesan Azizi Ali, selagi anda tak menyimpan wang, selagi itulah anda tak akan jadi kaya.

Prinsip #4 – Asingkan cepat-cepat bahagian simpanan sebaik sahaja dapat gaji atau terima hasil bisnes

Jangan tangguh-tangguh.

Paling baik, buat potongan gaji supaya duit tu dapat ‘diselamatkan’ sebelum sampai ke tangan kita lagi.

Selebihnya baru guna untuk belanja. Duit yang tak diasingkan sangat berisiko untuk dibelanjakan.

Prinsip #5 – Letakkan matlamat simpanan at least 3 bulan pendapatan

Korang boeh gunakan duit ini sebagai dana kecemasan. Lagi baik 6 bulan pendapatan.

Dana kecemasan tu penting sebagai ‘buffer’ kalau hilang pekerjaan. Kalau anda plan nak berhenti kerja dan buat bisnes sendiri, mesti simpan at least setahun pendapatan sebagai backup.

Kalau nak bebas kewangan, sasarkan simpanan at least RM1.2 juta. Nilai tu mampu menjana pendapatan tahunan yang cukup untuk tak perlu bekerja sepanjang hayat, In Shaa Allah.

Prinsip #6 – Laburkan semula bila dapat keuntungan daripada simpanan

Kalau dapat dividen, re-invest dividen tu supaya duit tu akan berganda.

Kalau belanjakan setiap kali dapat dividen, nilai pokok tu sebenarnya susut setiap tahun dimakan inflasi.

Nilai RM100,000 hari ni tak sama kuasa belinya pada 10 tahun akan datang.

Prinsip #7 – Jangan jadikan takaful / insuran sebagai tempat untuk menyimpan wang

Tapi ambil takaful betul-betul untuk dilindungi dengan pampasan atas musibah seperti kematian, hilang upaya, kos rawatan hospital, dan penyakit kritikal.

Kalau simpan duit dalam takaful, anda rugi ‘wakalah fee’ yang bukan sedikit.

Takaful bertujuan untuk perlindungan kewangan jika berlaku sebarang musibah. Ia bukan untuk simpanan.

Simpanan dan perlindungan takaful adalah dua instrumen berbeza.

Kita perlu adakan simpanan atas banyak tujuan yang tak boleh dilindungi oleh takaful.

Contohnya:

  • simpanan dana kecemasan (e.g. kereta rosak, kehilangan harta, hilang pekerjaan, dan lain-lain),
  • simpanan untuk memulakan bisnes,
  • simpanan untuk pelaburan, atau sebagainya.

Bak kata Zig Ziglar:

“Wealth are acquired by 20% head knowledge and 80% behavior”

Benar. Kita bergantung 100% kat rezeki yang Allah berikan. Tapi kalau kita sendiri tak mulakan tindakan, tak jadi juga. Kalau tak ada usaha, sampai bila-bila kita tak layak jadi kaya.

Dan ini bermula dengan membenih tabiat menyimpan.

Bila kita dapat kuasai asas ini, kekayaan akan datang tanpa dijemput, dan kita pula “terpaksa” jadi kaya.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *