PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

4,000 unit rumah Projek Transit Pangsapuri Studio untuk golongan muda

Sebanyak 4,000 unit rumah Projek Transit Pangsapuri Studio bagi golongan muda menyewa selama 5 tahun di ibu kota Kuala Lumpur akan mula dibina di Mukim Batu, Sentul, mulai awal tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, projek tersebut akan dibina di atas tanah lot milik kementerian, seluas 13 hektar yang akan dimajukan oleh pemaju-pemaju swasta.

“Hari ini saya mengalu-alukan mana-mana pemaju hartanah untuk bersama-sama kementerian memajukan projek ini.”

“Ini bagi memberikan kemudahan kepada golongan muda yang mencari rumah untuk disewa terutama setelah tamat pengajian dan beroleh pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur.”

“Kemajuan projek dan pengurusan bangunan termasuk sewaan akan diuruskan syarikat pemaju hartanah manakala kementerian menentukan permohonan yang layak untuk menyewa rumah berkenaan,” katanya.

40% unit sudah berjaya dijual

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Jualan 39 Unit Menara Pejabat Ceylonz Suites di sini hari ini.

Projek yang 25 peratus siap ini dimiliki sepenuhnya Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) dengan kerjasama syarikat pemaju Paragon Ceylon Developments Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Exsim Group of Companies.

Yang turut hadir, Pengerusi Koop Sahabat, Datuk Dr. A. Manaf Hussin dan Pengarah Urusan Exsim Group, Lim Aik Hoe.

Noh berkata, kadar sewaan untuk projek transit ini dijangka kurang 50 peratus daripada kadar sewaan yang lazimnya dikenakan di sekitar ibu kota.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memuji usaha Koop Sahabat yang menjadi syarikat koperasi pertama di negara ini meneroka dalam bidang hartanah dengan membina Menara 39 Unit Ceylonz Suites ini.

“Koop Sahabat begitu berani melabur sehingga hampir RM40 juta untuk membina menara ini dan difahamkan mendapat sambutan apabila 40 peratus unit telah berjaya dijual,” katanya.

Menurutnya, Koop Sahabat merupakan antara enam syarikat koperasi yang terbaik di negara ini dengan ahli seramai 129,608 orang dari seluruh negara sejak ditubuhkan pada 2012 dengan dana terkumpul sebanyak RM43.06 juta.

[Sumber berita asal: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *