PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Pengurusan kewangan lepas kahwin: 4 langkah untuk berbincang dengan pasangan anda

Duit bukan satu perkara yang patut dipandang remeh. Lagi-lagi lepas dah berkahwin.

Dah berapa banyak kes cerai yang melibatkan isu ini kat negara kita. Susah payah kita nak bina masjid, tapi ia runtuh dek sebab harta dunia.

Hakikatnya, duit tak boleh selesaikan semua masalah. Tapi dengan duit, banyak masalah boleh selesai dengan lebih mudah (faham tak maksud Tok ni?). Zaman sekarang ni, banyak benda yang pakai duit.

Tak semua orang senang nak berbincang pasal kewangan, dan ia adalah isu yang sangat sensitif. Jadi, komunikasi yang berkesan adalah kunci untuk tangani masalah ni.

Tok nak kongsikan nukilan Mary Beth Storjohann ni, supaya korang lebih mudah nak berbincang pasal kewangan dengan pasangan masing-masing. Semoga ia bermanfaat.

#1: Pilih satu tarikh khas setiap bulan

Mary gelarkan ini sebagai money dates, dimana korang dan pasangan korang akan berbincang pasal kewangan masing-masing pada satu tarikh khas setiap bulan.

Tak perlu lama-lama pun. Cukup sekadar 1 atau 2 jam dah memadai. Masa ni, korang boleh berbincang dan mengkaji semula situasi kewangan masing-masing secara terbuka dan jujur.

Korang juga boleh mengkaji semula pergerakan duit pada bulan itu dari segi perbelanjaan, simpanan dan kemajuan dalam mencapai matlamat kewangan korang dan pasangan.

Bagi yang tak biasa, kuncinya adalah mula berbincang. Dalam hidup, akan sentiasa ada perkara yang kita tak biasa (atau tak pernah) buat, tapi kita terpaksa juga buat.

Kalau tak mula berbincang, sampai ke sudah masalah pasal kewangan tak akan selesai. Baik lagi buat berbanding tak buat langsung.

Tak kira apa situasi korang, tetapkan satu tarikh untuk berbincang pasal perkara ini. Korang boleh buat reminder dalam smartphone masing-masing, atau tandakan kalendar kat rumah korang.

Berbincang dengan terbuka, dan tak perlu letakkan ego atau perasaan malu jadi benteng pengalang. Lagipun, korang suami isteri. Bukan orang lain.

Nota tambahan: Pada masa yang sama, langkah ini boleh eratkan hubungan korang dan pasangan. In Shaa Allah, bertambah-tambah baik hubungan korang nanti.

#2: Tetapkan agenda mesyuarat

Agenda bermaksud senarai perkara yang akan dibincangkan dalam sesuatu mesyuarat.

Seperti mesyuarat korang kat pejabat, perbincangan dengan pasangan korang ini lebih kurang sama saja.

Pertama sekali, korang boleh kaji setiap masalah (yang berkaitan kewangan) dan bawa ia ke meja perbincangan. Tak kira sama ada ia personal, atau melibatkan keluarga korang.

Sebelum sampai ke tarikh perbincangan, luangkan masa sendiri untuk teliti balik situasi kewangan secara individu (pasangan korang juga kena buat benda yang sama tau).

Ini termasuk pasal cara korang berbelanja setiap bulan, simpanan dan hutang-piutang yang ada.

Kemudian, bawa ini dalam perbincangan korang supaya korang dan pasangan dapat kaji balik perkara ini dan buat keputusan muktamad.

Korang boleh tetapkan agenda seperti contoh kat bawah ni:

  • Bagaimana nak selesaikan hutang isi rumah dalam masa XX tahun?
  • Siapa yang akan pegang tanggungjawab jelaskan bil setiap bulan?
  • Berapa banyak gaji yang perlu disimpan setiap bulan?

Korang boleh tetapkan agenda mengikut situasi masing-masing. Asalkan korang dan pasangan sama-sama setuju.

Pastikan setiap agenda korang ada poin-poin penting ini:

  • Perbelanjaan bulanan: Adakah ia sesuai dengan situasi semasa, atau perlu diperbaiki?
  • Simpanan: Berapa banyak yang korang dan pasangan dah simpan? Perlu ditambah atau tak?
  • Kemajuan dalam menjelaskan hutang: Adakah hutang dibayar setiap bulan? Hutang makin bertambah atau berkurang?
  • Penyelarasan: Ada tak perkara yang perlu diubah? Kalau perlu, ubah ia supaya selaras dengan matlamat korang dan pasangan.

#3: Sediakan diri masing-masing sebelum berbincang

Seperti mesyuarat lain, korang akan sediakan diri sebelum ke meja perbincangan. Dan ia berkaitan dengan persediaan secara emosi, fakta, dan lain-lain pekara yang sama waktu dengannya.

Sebagai permulaan, korang boleh kaji agenda perbincangan dan mencatat setiap isu (berkaitan kewangan) yang buatkan korang bimbang.

Benar. Kewangan adalah satu isu yang berat, dan ia boleh bagi tekanan hebat kat korang dan pasangan. Kalau tak kena masa, ia berpotensi bertukar menjadi debat yang panjang.

Tumpukan perhatian kat perkara ni, dan elakkan ia dari berlaku. Tak ada pasangan yang nak bertengkar, lebih-lebih lagi berkaitan bab duit yang cukup sensitif ini.

Sentiasa sabar dengan setiap isu yang berbangkit, walaupun ia tak enak kita nak telan. Sebab pasangan kita juga mungkin tak suka dengar apa yang kita cakapkan.

Fahamkan had (limitation) masing-masing, dan kalau perbincangan dah nampak nak bertukar menjadi hangat, kawal emosi dan diri supaya tak berlebih-lebih. Kalau terpaksa berhenti, hentikan perbincangan dulu.

Matlamat kita adalah nak berbincang dengan baik, dan selesaikan segala masalah yang ada. Bukan nak simbah minyak kat api yang tengah marak.

#4: Mula berbincang, dan jadikan ia perbincangan menarik

Tiba masa untuk korang berbincang dengan pasangan.

Berikan perhatian secara menyeluruh kat setiap pekara yang korang dan pasangan bincangkan.

Pastikan setiap isu berbangkit dibincang dengan baik dan berhemah. Nak melawak pun boleh, asalkan tak berlebih.

Dengan cara ni, ia akan beri kesan positif kat korang dan jadikan korang selesa berbincang pasal isu yang sensitif, seperti bab berkaitan duit ini.

Dan tak perlu jalankan perbincangan ini secara ketat dan berprotokol.

Lebih baik berbincang secara bersahaja, tapi tak keterlaluan. Sebab bab duit adalah perkara yang rata-rata manusia anggap sebagai perkara yang serius.

Korang juga boleh tetapkan satu insentif kecil (ganjaran) selepas berjaya mencapai persetujuan, atau matlamat dalam perbincangan ini. Contohnya, keluar makan di luar atau lain-lain.

Dan akhir sekali Tok nak pesan. Korang dan pasangan adalah satu tim (pasukan).

Tak ada sebab untuk salah seorang kendalikan bebanan ini seorang diri. Ia patut ditanggung bersama-sama.

Nota tambahan: Korang boleh sediakan makanan dan minuman supaya perbincangan korang tak bosan dan lebih menarik. Cukup sekadar sandwich dan air kopi atau teh, ikut kreativiti dan kapasiti masing-masing.

Hakikatnya, kes cerai kat negara kita meningkat dari tahun ke tahun. Menurut kajian Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, situasi ekonomi keluarga adalah salah satu punca terbesar masalah ini.

Lagi-lagi yang baru berkahwin. Jadi, elok belajar dari sekarang supaya korang tahu nak uruskan masalah ini.

Tok harap perkongsian kali ini boleh buatkan korang berfikir panjang, dan pada masa yang sama, dapat elakkan kes cerai meningkat naik. Tok doakan korang berbahagia sampai anak cucu.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  1. Terbaik tips dari Tok