PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

4 Kriteria Yang Perlu Ada Sebelum Penyewa Bersedia Beli Rumah

Setiap orang mesti ada impian untuk beli rumah sendiri. Tapi sebelum membeli, anda kena menyewa terlebih dahulu. Selepas beberapa tempoh menyewa, barulah anda bersedia untuk membeli rumah.

Persoalannya macam mana nak tahu kita dah bersedia atau belum untuk beli rumah? Dekat sini Tok akan senaraikan 4 kriteria yang perlu ada sebelum anda bersedia beli rumah.

Jom baca artikel ini sampai habis.

1. Simpanan kecemasan

Semua sudah sedia maklum hampir 75% rakyat Malaysia tidak miliki simpanan walau RM1,000 sekalipun. Jadi buat dulu simpanan kecemasan paling kurang dalam tempoh 6 bulan gaji sebelum nak beli rumah.

Simpanan kecemasan ini penting bagi membantu anda jika terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini. Sebagai contoh jika anda diberhentikan kerja, anda masih miliki masa 6 bulan untuk bayar ansuran bulanan rumah sebelum mendapatkan kerja baru. Hal ini akan mengelakkan daripada rumah anda dilelong dan duit ansuran yang anda bayar sebelum itu hangus.

Nak lagi best anda boleh buat simpanan kecemasan di ASB dan Tabung Haji kerana anda tidak akan sewenang-wenangnya keluarkan wang. Tambah lagi duit boleh beranak dalam kedua-dua instrumen tersebut.

2. Semak gaji

Ramai yang cakap,

“Saya ni gaji kategori B40, tak lepas langsung nak beli rumah”

Soal gaji ini anda kena faham dulu definisi B40 terutamanya jika anda tinggal di Lembah Klang. Gaji purata B40 bagi Lembah Klang adalah sekitar RM4,000 ke bawah. Macam mana pula untuk mereka yang bergaji hanya RM1,500 sahaja?

Tok kenalkan kepada anda semua, Income-to-Mortgage Ratio yang bermaksud pinjaman bulanan anda tidak boleh melebihi satu pertiga daripada gaji kasar.

Formulanya: Gaji kasar x 30 / 1000

Jika gaji anda adalah RM1,500, ansuran bulanan mesti tidak melebihi RM450 bersamaan harga Rumah RM90,000. Ada tak rumah harga sebegitu? Kalau di Lembah Klang memang agak sukar la nak cari. Kalau tiada, anda perlu menyewa terlebih dahulu sehingga mendapat gaji yang munasabah ataupun boleh mulakan part time untuk tambah pendapatan.

3. Rumah yang sesuai dibeli

Terdapat 3 jenis rumah yang boleh anda beli iaitu undercons, subsale dan lelong.

“Tapi Tok rumah undercons biasanya sangat mahal dan di luar kemampuan.”

Sabar dulu, jangan buat tuduhan melulu. Sebenarnya banyak je rumah undercons yang murah seperti Rumawip dan PR1MA.

Sebagai contoh, untuk Rumawip ada sahaja hartanah yang ditawarkan berharga RM63K dengan keluasan minimum 700 sqf.

Kalau masih tak mampu juga, anda boleh beli rumah subsale. Apa yang pasti harganya lebih murah berbanding rumah undercons dan anda boleh berunding dengan tuan rumah sampai jadi. Tapi anda kena keluarkan kos yang tinggi sikit sebagai downpayment.

Subsale pun anda rasa mahal? Tidak mengapa, Tok sarankan anda pilih sahaja rumah lelong. Rumah lelong biasanya dijual 20 – 30% di bawah harga pasaran bergantung kepada keadaan rumah. Kalau kurang persaingan, anda ada peluang besar untuk miliki rumah itu. Tapi anda kena bersedia untuk bayar kos baik pulih dan hutang-hutang bil tertunggak.

Apa-apapun semuanya bergantung kepada pendapatan bulanan anda. Dah cukup baru boleh fikir nak beli rumah jenis apa.

4. Jaga DSR dan semak CCRIS

DSR dan CCRIS inilah sering menjadi penghalang utama untuk kita semua beli rumah. Tok mulakan dulu dengan DSR.

DSR ini adalah Debt Service Ratio yang digunakan pihak bank untuk mengira sama ada layak atau tidak untuk memohon pinjaman.

Bahasa mudahnya bank akan melihat gaji bersih dan komitmen bulanan seperti hutang ptptn, hutang kereta dan lain-lain bagi tentukan adakah tahap kewangan anda relevan dengan harga rumah yang dipilih.

Perkara paling penting sekali anda kena tahu, DSR tidak boleh lebih daripada 70%. Malah ada bank yang menetapkan peratusan lebih rendah. Jika melebihi had yang ditetapkan, jangan terkejut jika pinjaman anda ditolak. Selain itu pinjaman anda boleh ditolak jika anda culas bayar hutang seperti PTPTN.

Bagi CCRIS pula anda kena sentiasa semak bagi memastikan kebarangkalian permohonan pinjaman diluluskan adalah tinggi. Kenapa Tok cakap macam gitu? Dalam CCRIS terkandung segala maklumat tentang laporan kredit anda. Jika rekod pembayaran anda teruk memang sukar lah nak dapat pinjaman rumah.

Kesimpulannya, anda secara asasnya boleh bertukar daripada penyewa kepada pemilik andai sudah ada keempat-empat kriteria tersebut. Anda kena faham, beli rumah bukan macam beli ikan di pasar. Tersilap sahaja langkah, anda akan terciduk dan lebih buruk lagi rumah boleh dilelong. Jadi pastikan diri anda bersedia sebelum membeli rumah pertama.

Tok harap perkongsian Tok kali ni memberi manfaat.

Anda belajar sesuatu daripada artikel ini? Tolong SHAREkan artikel ini supaya lagi ramai orang boleh baca juga.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed