3 nasihat mogul hartanah berstatus jutawan ini bakal bakar semangat anda gila-gila (dan boleh bantu anda jadi pelabur hartanah yang berjaya).

Korang mesti kenal nama Barbara Corcoran (nampak sangat korang kaki Shark Tank).

Beliau adalah salah seorang pelopor utama syarikat hartanah terbesar di bandar New York (The Corcoran Group). Nama beliau mula melonjak naik ketika menjadi hos rancangan realiti bisnes, Shark Tank. Jumlah kekayaan terkini Barbara mencecah $80 juta.

Kalau Tok kongsikan nasihat beliau tentang hartanah, korang suka tak?

Kalau nak berjaya seperti mereka, kita belajar daripada mereka.

Tok percaya yang kita boleh banyak belajar, walaupun hanya sekadar daripada tulisan. Ia boleh bantu luaskan pandangan dan minda kita, tak kira apa jenis bidang atau perniagaan yang kita ceburi.

Ini juga termasuk bidang hartanah. Lebih-lebih lagi kalau belajar daripada mogul hartanah ternama ini.

Tok ada baca sebuah artikel yang ditulis oleh Daniel Bollinger. Lepas habis baca, timbul satu rasa kewajipan dalam diri Tok untuk kongsikan pula kat korang. Semoga ia bermanfaat untuk korang.

Tip #1: Persepsi akan mencipta realiti. 

“Persepsi akan beralih menjadi realiti. Kalau anda mahu berjaya dalam industri hartanah, anda perlu melihat dengan lebih besar, lebih baik, dan lebih kuat berusaha daripada pesaing anda.” – Barbara Corcoran

Surah Ar-Rad, ayat 11 dalam Al-Quran, ada menjelaskan tentang perkara ini:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Kalau kita berniat nak jadi pelabur hartanah yang terbaik, kita kena mulakan sekarang.

Jika anda mahu jadi seorang doktor pakar bedah, mula belajar dan ambil tindakan seperti seorang doktor pakar bedah buat. Mindset ini boleh diaplikasikan kepada semua jenis bidang, tanpa ada batasan.

Ada sesetengah orang akan kata:

“Fake it until you make it.” 

Namun hakikatnya, kita tak memalsukan diri kita. Kita sedang melakukannya, dan kita akan capai matlamat kita satu hari nanti dengan izin-Nya.

Percaya pada diri kita sendiri, dan orang lain akan mula percaya kat kita. Kejayaan bermula daripada persepsi yang kita ciptakan.

Tip #2: Selami kelebihan dan luaskan potensi diri kita. 

“Ada dua jenis manusia di muka bumi ini. Mereka adalah “pengembang” dan “pekerja”. Tahu kelebihan diri anda, dan perjalanan menuju kejayaan akan jadi lebih senang.” – Barbara Corcoran 

Daniel pernah bekerja sebagai seorang akauntan, sebelum beliau beralih kepada kerja menjual (sales).

Semasa bekerja sebagai akauntan (pekerja), beliau selalu tak gembira dengan kehidupan dan tak pernah capai kejayaan yang besar.

Lain pula ketika beliau tukar bidang kepada jurujual hartanah (pengembang). Beliau tak pernah rasa kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Daniel sedar, yang beliau adalah seorang “pengembang”. Beliau dapat mencungkil bakat beliau sebagai jurujual hartanah secara maksimum, dan lebih gembira daripada bekerja sebagai akauntan dahulu.

Jadi, korang yang mana satu?

Tip #3: Gagal itu adalah “cikgu” yang garang, dan pengalaman itu amat berharga untuk kita. 

“Saya akui saya orang yang selalu gagal. Setiap kejayaan hari ini, datangnya daripada setiap kegagalan yang saya hadapi. Jurujual terbaik adalah mereka yang ada sifat empati dan hebat uruskan kegagalan.” – Barbara Corcoran

Daniel kata, ini antara nasihat terbaik daripada Barbara. Ia amat menyentuh hati beliau sewaktu menghadam kata-kata ini.

Gagal sekarang, tak bermakna kita akan gagal selama-lamanya.

“Tak apa jika kita hadapi kegagalan. Cuma, jangan lupa pelajaran yang ada di setiap kegagalan.” – Dalai Lama

Lihat sahaja Michael Jordan. Sudah tentu beliau tak jadi seorang pemain bola keranjang terbaik dunia, jika tak pernah hadapi kegagalan.

Sama juga dengan bidang hartanah. Kalau gagal, strategi terbaik adalah usaha dengan lebih baik di masa akan datang.

Mungkin kita tak dapat close sales kali ini. Tak apa. Lepas ini, kaji apa sebab kita gagal agar kegagalan itu tak berulang lagi lepas ini.

Enjin semangat anda sudah panas? Tiba masa untuk mengorak langkah.

Selesai sudah perkongsian kali ini. Tok harap, ia akan bakar semangat korang dan tampil berkali-kali ganda maju daripada sebelumnya.

Tugas Tok bakar semangat korang sahaja. Yang buatkan matlamat dan impian itu jadi realiti, itu semua kerja korang.

Tak usah risau. Rezeki kan luas? Siapa usaha, dia pasti akan dapat. Semua ini bakal terjadi dengan izin-Nya.

Leave a Reply