14.11.16 RMMJ 1

Rakyat Johor bakal nikmati 13,000 unit rumah mampu milik sebelum 2018

Sejumlah 13,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan dibina dalam tempoh 2 tahun ini untuk memenuhi permintaan dan keperluan rakyat berpendapatan rendah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, 6,000 unit bakal disiapkan menjelang akhir tahun ini khususnya di daerah ini.

Manakala 7,000 unit lagi dijangka siap tahun depan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menjangka dalam tempoh antara tahun 2019 hingga 2023, lebih 50,000 unit RMMJ akan disiapkan di seluruh negeri ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pecah tanah RMMJ Sri Plentong, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tem­patan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mayland, Adam Leow.

Perkenal sistem agihan baru untuk RMMJ

Selain itu kata Mohamed Kha­led, kerajaan negeri bakal memperkenalkan sistem agihan baru projek RMMJ mengikut kuota pecahan kaum yang akan bermula pada tahun depan.

Jelasnya, cadangan penambahbaikan itu yang turut melibatkan kuota 10 peratus kepada golong­an belia dan orang kurang upaya (OKU) akan dibentangkan dalam Bajet Johor 2017 tidak lama lagi.

“Langkah tersebut merupakan satu usaha penambahbaikan kepada sistem agihan RMMJ yang digunakan ketika ini. Langkah ini diperkenal bagi memastikan setiap pihak menerima manfaat daripada pelaksanaan RMMJ di seluruh negeri,” katanya.

Dalam majlis tersebut, syarikat pemaju hartanah Mayland Project Sdn. Bhd. bakal memba­ngunkan sebanyak 66 unit RMMJ berukuran 750 kaki persegi (70 meter persegi) dengan nilai jualan RM50,000.

Projek tersebut turut melibatkan pembinaan dua buah unit rumah kedai berharga RM150,000, sebuah surau yang mampu memuatkan seramai 100 jemaah serta taman permainan.


[Sumber berita asal: UTUSAN ONLINE]

Leave a Reply

Your email address will not be published.