PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

“Nak beli rumah kat mana?” – 9 tip power daripada ejen hartanah Malaysia

Pasti ramai tengah merancang nak beli rumah pertama, kan?

Tok cuma nak bagitahu. Bukan kerja mudah nak beli rumah pertama. Ini adalah satu keputusan kewangan yang besar dalam sejarah hidup korang.

Dan semua ini boleh berjalan lancar dengan bantuan ejen hartanah yang bagus.

Tak elok kita anggap mereka hanya nak buat duit semata-mata. Sebenarnya, mereka salah seorang yang patut kita rujuk tentang hal berkaitan pembelian hartanah.

Tok ada baca artikel kat blog iProperty tentang 9 tip beli rumah pertama. Nah, hadamkan laju-laju perkongsian mereka.

#1 : Lokasi yang strategik, jadi perkara wajib

Tip pertama ini adalah hasil nukilan Tuan Lim Ah Leck, ejen hartanah untuk syarikat Tiram Realty.

Kita boleh buat ini terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan ejen hartanah.

Mula-mula, kaji lokasi rumah yang kita nak beli dan lawat kawasan itu untuk mudahkan proses membuat keputusan.

Pada masa yang sama, ia juga bergantung kat matlamat yang kita nak capai. Sebagai contoh, katakan korang nak beli rumah sebab nak duduk dekat dengan tempat kerja.

Kaji sama ada kawasan itu ada akses yang mudah ke lebuh raya, atau dekat dengan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, atau KTM.

Lepas tu, baru kecilkan skop pilihan dengan tentukan bajet yang mampu kita keluarkan.

Kat negara ini, biasanya pembeli rumah kali pertama layak dapatkan 90% margin pinjaman gadai janji.

Selain itu, kita juga kena sediakan dalam 20% ke 30% (daripada harga jualan rumah) untuk bayar duit muka, yuran guaman, setem duti, dan bayaran lain yang berkaitan dengan loan yang kita buat.

#2 : Rumah landed atau rumah high-rise?

Ini pula tip daripada Tuan Michael Thiruchelvam Sebastian, pengetua M.S. Properties.

Beliau nasihatkan supaya pembeli pertama kali letakkan rumah atas tanah (landed) sebagai matlamat. Tak kisah sama ada rumah teres setingkat, 2 tingkat, atau rumah banglo (kalau ada modal yang cukup).

Pembeli pertama tak digalakkan membeli rumah kondominium atau apartmen.

Walaupun harga rumah atas tanah lebih mahal berbanding kediaman ‘high-rise’ (rumah bertingkat), ia ada kelebihan dari segi hakmilik individu untuk setiap unit yang dibeli.

Hakmilik strata untuk rumah seperti apartmen dan kondominium biasanya lambat, dan ini boleh jadi sebab bank menolak permohonan pinjaman kita.

Pihak bank bergantung kat status rumah yang kita nak beli itu, untuk luluskan permohanan pinjaman dengan cepat.

Kalau korang nak cepat dapatkan pinjaman, pilih untuk beli rumah atas tanah.

#3 : Apa fleksibiliti pinjaman perumahan yang ada?

Ramai pembeli kali pertama tak mampu nak beli hartanah. Lebih-lebih lagi kat kawasan Klang Valley.

Tapi, ini bukan sebab yang buatkan kita tak layak nak membeli rumah.

Bawah ini adalah 3 kelebihan yang korang boleh gunakan :

  • Kalau korang masih muda, tempoh pinjaman perumahan adalah sehingga 35 tahun (maksimum). Ini akan buatkan bayaran bulanan jadi rendah, dan korang boleh beli rumah idaman korang tu.
  • Untuk pembeli kali pertama, margin kewangan yang bank berikan adalah sebanyak 90%. Dan ini buatkan bayaran pendahuluan lebih murah (pada 10% daripada harga jualan).
  • Dapatkan skim gadai janji yang fleksibel, supaya korang boleh bayar balik pinjaman dan bayar baki tertunggak dalam masa yang singkat.

Kalau masih tak mampu, mula ambil tindakan dengan selesaikan ansuran kereta korang. Dalam banyak kes, ini adalah faktor utama yang kacau perbelanjaan bulanan ramai orang.

Oh ya, ini tip daripada Tuan KL See, pengarah Metro Homes Group.

#4 : Sentiasa beli rumah mengikut kemampuan anda

Membeli rumah adalah satu tanggungjawab yang besar.

Dan keputusan membeli ini akan mempengaruhi sebahagian besar hidup kita.

Pembeli yang ikut nafsu semata-mata ada potensi untuk gagal mendapatkan pinjaman perumahan daripada pihak bank.

Untuk elakkan perkara ini daripada berlaku, tentukan terlebih dahulu jumlah pinjaman yang korang layak dapatkan daripada bank, sebelum buat keputusan membeli.

Terima kasih kat Tuan William Yap, pengurus Era Network (KL) Sdn. Bhd untuk tip berharga ini.

#5 : Jangan lupa buat ‘kerja rumah’ anda

Ini pula tip Tuan Dr. Lee Ville, pengurus New Bob Realty.

Ramai yang akan kongsikan pandangan mereka, bila tahu kita dalam perancangan nak membeli rumah.

Ini yang buatkan kita pening kepala. Sebab banyak input yang masuk ke dalam kepala kita.

Salah satu cara untuk kurangkan pening kepala, adalah dengan tak ambil kata-kata mereka secara membuta tuli, serta menapis setiap maklumat yang kita terima dengan berhati-hati.

Dapatkan nasihat daripada orang yang pakar dalam bidang ini. Itu jalan paling selamat yang kita boleh buat.

Kalau tak tahu, tanya terus kat ejen yang ada reputasi baik dalam industri.

Boleh juga kalau nak tanya kat orang yang lebih berpengalaman dalam bidang ini.

Ada ramai pelabur hartanah kat negara ni, yang ada portfolio yang cemerlang dalam industri. Kita boleh rujuk kat mereka.

Elakkan buat keputusan berdasarkan khabar angin yang belum pasti.

Lebih baik kaji dahulu trend dan pasaran semasa hartanah sebelum ambil apa-apa keputusan.

Kajian secara terperinci boleh selamatkan korang bila nak membeli hartanah nanti.

#6 : Tak salah bermula secara kecil-kecilan?

Membeli rumah adalah langkah pertama untuk membina kewangan kita. Tapi, kalau salah buat, ia boleh susahkan diri kita sendiri.

Adalah baik mulakan pelaburan hartanah dengan modal yang ada kat tangan kita dahulu.

Tak salah mulakan secara kecil-kecilan sebagai permulaan, sebelum membeli hartanah yang lebih besar dan baik pada masa depan.

Kadar faedah dijangka akan meningkat daripada tahun ke tahun.

Periksa dan kaji kadar faedah ini untuk elakkan sebarang krisis kewangan, yang akan jejaskan prestasi bayaran bulanan untuk pinjaman perumahan yang kita buat.

#7 : “Adakah aku dah bersedia nak beli rumah?” – Azroy

Tiba masa Tuan Hj. Abdul Razak bin Mohamad, pengarah Hartanah Consultants (Estate ejency) Sdn. Bhd. pula kongsikan tip beliau ini.

Lupakan dahulu segala jargon seperti status leasehold, freehold, apartmen, kondominium, KLIBOR, DIBS, atau lain-lain.

Yang utama sekali, fikirkan dahulu sama ada kita benar-benar dah mampu nak beli rumah, dan benar-benar bersedia nak jadi pemilik hartanah.

Sebab 2 perkara ini perlukan komitmen yang besar.

Kira dahulu kemampuan kita dengan mengira jumlah hutang perumahan berbanding nisbah pendapatan, supaya tak lebih daripada 33%.

Hutang gadai janji pula, tak kurang 28% daripada pendapatan bulanan kita.

Pembeli kali pertama digalakkan mengkaji perkara ini dahulu sebelum buat sebarang keputusan. Pastikan yang kita layak dan benar-benar mampu sebelum membeli atau menyewa sesebuah rumah.

#8 : Nak beli hartanah yang mana satu?

Ada banyak faktor dalam memilih lokasi hartanah yang tepat, seperti :

  • lokasi tempat kerja,
  • lokasi tempat kerja pasangan,
  • jarak antara sekolah ke rumah, atau lain-lain faktor yang berkaitan.

Kalau korang pilih hartanah yang jauh daripada tempat kerja, ia akan jadi punca perbelanjaan meningkat.

Kos minyak dan tol untuk ke tempat kerja akan terkesan secara negatif.

Lebih baik pilih rumah yang dekat dengan kemudahan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, atau KTM. Supaya kita boleh jimatkan kos pergi balik kerja dan masa.

Ini adalah tip daripada Tuan Madhavan Nambiar, pengurus Country Properties.

#9 : Kaji habis-habis sebelum buat keputusan membeli

Dah banyak kes yang ramai orang membeli rumah secara terburu-buru. Dan biasanya, mereka tak buat kajian dan berbincang dengan ahli keluarga.

Ini adalah tanggungjawab yang dipikul oleh pembeli.

Korang sendiri kena buat kajian terperinci tentang rumah, lokasi, dan proses pembiayaan sebelum bertindak membeli sesebuah rumah.

Ada beberapa perkara yang pembeli boleh kaji terlebih dahulu :

  • nilai pasaran semasa rumah (untuk elakkan ‘overpaying’),
  • hal-hal berkaitan hakmilik hartanah, seperti sebarang sekatan dalam hakmilik, bebanan, dan lain-lain,
  • karakteristik lokasi hartanah (survei kawasan perumahan dan tengok sama ada kawasan itu kerap berlaku jenayah, dekat dengan kolam pengoksidaan, terdedah kepada masalah banjir, dan lain-lain),
  • kondisi fizikal rumah (contoh: kerosakan binaan rumah, pengubahan kat struktur bangunan secara haram, dan lain-lain),
  • buat kira-kira secara spesifik (tapi tak perlu buat lebih-lebih. Cukup sekadar jelas dengan apa yang penting dah memadai).

Tip terakhir ini berasal daripada Sr Michael K.K. Kong, penilai berdaftar, McReal Internationl Sdn. Bhd.

Apa pun, Tok sentiasa doakan korang cepat-cepat dapat rumah pertama.

Mantapkan ilmu, dan bertindak laju-laju.

Silakan SHARE perkongsian ilmu ini kepada yang lain. Lebih banyak ilmu yang korang kongsikan, lebih banyak ilmu baru yang korang akan dapat.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *