Home Tips Kewangan 11 makanan murah untuk pelajar universiti, supaya tak perlu ikat perut lagi.

11 makanan murah untuk pelajar universiti, supaya tak perlu ikat perut lagi.

26554
5
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke

Tok masih punya hati dan perasaan.

Bila ingat balik artikel surat khabar yang menyentuh isu pelajar universiti terpaksa ikat perut, Tok rasa sedih sangat. Masalah ini akan berikan impak tak baik kat prestasi pelajaran pelajar.

Tahniah kat Food for Mahasiswa (FFM) sebab jalankan program yang membantu mereka. Allah S.W.T sahaja yang mampu membalas budi baik korang.

Dek masalah ini, Tok jadi bersemangat nak kongsikan sedikit ilmu yang boleh membantu.

Tok nak kongsikan 11 jenis makanan yang berharga murah dari blog fitrihadi.com ini.

Ini dia makanan yang bekalkan tenaga serta kenyangkan perut anda.

Masa penulis kat universiti dulu, ada banyak jenis makanan yang boleh jimatkan perbelanjaan.

Kalau boleh, elakkan makan maggi atau makan segera lain secara kerap. Makanan jenis ini akan berikan kesan yang tak bagus kat kesihatan untuk jangka masa panjang.

Kadang-kala, boleh lagi diterima. Tapi, lebih baik kurangkan melainkan terpaksa.

Yang penting, kita sendiri kena latih perut untuk kurangkan makan. Supaya tak mudah terikut nafsu makan itu.

Kat bawah ini, penulis ada senaraikan makanan yang jimat serta tak mahal (dan ia banyak bantu jimatkan perbelanjaan penulis masa kat universiti dulu).

Makanan #1: Roti keping.

Kalau kita tengok kat rak kedai runcit, ada banyak pilihan jenama roti seperti Gardenia dan Massimo.

Dengan harga yang tak sampai RM3 (untuk pek besar), korang boleh beli roti keping ini untuk dibuat sebagai sandwich, atau dimakan dengan makanan yang lain.

Roti keping bekalkan kandungan karbohidrat, pottasium, fiber, dan pelbagai lagi nutrien penting untuk tubuh badan. Dan ia juga buatkan kita kenyang.

Ada peti sejuk kat asrama atau rumah sewa? Kalau ada, lebih banyak makanan yang korang boleh buat.

Korang boleh gabung makanan ini dengan roti keping:

  • kaya,
  • jem,
  • margerin, atau sebagainya.

Paling kurang pun, roti boleh dicecah dengan milo (dan ia masih sedap dan mengenyangkan).

Makanan #2: Roti canai.

Tak dapat nafi lagi. Menu ini adalah pilihan utama kat kedai mamak kalau nak berjimat.

Rata-rata kedai mamak sekarang letakkan harga RM1 untuk setiap keping roti canai.

Kalau ada bajet lebih, boleh minta roti telur atau roti tampal. Nak lagi best? Minta mamak tu potong roti canai dan letak kuah banjir. Yummy!

Makanan #3: Nasi lemak.

Takut kena bayar mahal kalau ambil nasi berlauk? Ini salah satu pilihan terbaik untuk korang.

Ramai peniaga letakkan harga sebanyak RM2 hingga RM5 untuk sebungkus nasi lemak. Ada yang dijual dengan harga yang lebih murah (siap dengan lauk lagi), tapi ia bergantung kat kawasan.

Kalau beli nasi lemak biasa kat kedai mamak, biasanya akan telan belanja sebanyak RM2.50.

Nasi lemak ini pula ada ikan bilis, telur rebus, kacang dan timun. Cukup untuk makan seorang dan bagi kenyang.

Ada juga yang suka beli kat gerai tepi jalan. Harga sebungkus nasi lemak hanya sekitar RM1 hingga RM1.50. Dapat beli 2 bungkus pun dah cukup mengenyangkan.

Makanan #4: Telur.

Ada dapur memasak? Hidangan telur adalah makanan yang mampu mengalas perut korang.

Nak lagi mudah pun boleh. Buat telur separuh masak sebagai sarapan pagi sebelum ke kelas.

Telur dah terbukti secara saintifik yang ia ada banyak khasiat yang sihatkan badan. Antara kandungan nutrien dalam telur adalah:

  • protein,
  • lemak,
  • mineral,
  • garam,
  • dan vitamin.

Ini ada beberapa cadangan jenis hidangan yang gunakan telur ayam (dan semua hidangan ni sedap tau, walaupun ringkas dan simpel):

  • telur goreng (boleh dimakan bersama roti sebagai sandwich),
  • telur goreng hancur (pun boleh dimakan bersama roti, atau digaul dengan sedikit kicap untuk rasa),
  • telur separuh masak (menu terbaik dan mudah untuk sarapan pagi),
  • roti telur (celup permukaan roti dengan telur, kemudian goreng kat kuali).

Makanan #5: Coleslaw.

Korang ada peti ais? Boleh beli kobis dan mayonis untuk dibuat hidangan coleslaw.

Nak hidangkan pun mudah. Cincang kobis itu menjadi kecil, kemudian gaul bersama mayonis.

Coleslaw yang dah siap boleh dimakan dengan begitu sahaja. Atau nak lebih menarik, cecah dengan roti atau letak kat burger yang korang baru masak.

Dan yang pasti, ia hidangan yang sihat serta mengenyangkan.

Hidangan ini sesuai untuk mereka yang ada niat nak berdiet, tapi tak nak terlalu lapar.

Makanan #6: Semua jenis makanan sejuk beku.

Ini pula sesuai untuk pelajar yang ada kemudahan peti ais.

Makanan sejuk beku memang terkenal untuk jimatkan perbelanjaan. Sebab ia boleh disimpan untuk tempoh masa yang lama, dan ia mudah untuk kita masak.

Bahkan, korang boleh simpan makanan seperti ikan atau ayam yang dah siap diperap (marinate) dan sedia untuk digoreng dalam minyak panas.

Dengan ini, tak perlu lagi korang nak kena start enjin kereta atau motor untuk ke kedai makan. Capai saja makanan ini dalam peti sejuk dan goreng segera. Mudah kan?

Kalau pandai buat kuah seperti kari atau sardin, lagi ohsem. Resepi pula banyak yang boleh dicari guna bantuan Google.

Makanan #7: Pelbagai jenis biskut.

Dengan harga lebih kurang RM4, korang boleh dapatkan pelbagai jenis biskut dalam tin.

Jenama seperti Hup Seng atau lain-lain boleh dibuat sebagai stok makanan ringan. Ia lebih baik berbanding mengunyah keropok kentang bersalut garam yang tak sihat itu.

Makanan ini sesuai dicecah dengan air milo atau kopi panas (syok makan macam ini masa hujan).

Nota tambahan: Biskut Hup Seng adalah antara makanan Malaysia yang dapat pingat pengiktirafan kualiti makanan terbaik antarabangsa. Klik sini untuk lihat.

Makanan #8: Sardin dalam tin.

Ini antara salah satu makanan yang menjimatkan, dengan harga yang murah.

Untuk satu tin, biasanya akan ada 3 ketul ikan sardin. Ia boleh kita gunakan untuk 2 atau 3 kali makan. Yang tak pakai lagi, boleh simpan dalam peti sejuk supaya lebih tahan lama.

Kalau teringin nak makan sedap, boleh tumis sardin itu dengan bawang dan cili untuk naikkan rasa.

Ada macam-macam lagi resepi hidangan yang gunakan sardin, yang sedap-sedap belaka. Tak rugi anda cuba.

Hidangan ini sesuai dimakan dengan nasi, roti keping, roti canai, atau dengan maggi.

Makanan #9: Sosej, atau daging burger.

Semurah RM2.50 hingga Rm5.00, korang boleh beli sebungkus sosej atau daging burger sejuk beku.

Makan seperti ini boleh digoreng dan dimakan begitu saja. Atau nak lebih menarik, boleh dihidang sekali dengan sos atau mayonis, nasi atau maggi (mengikut selera masing-masing).

Namun, kurangkan pengambilan makanan ini. Sebab ia kurang bekalan khasiat dan ia mampu beri penyakit kalau makan secara tak terkawal.

Makanan #10: Nasi + kicap manis + telur goreng.

Ini makanan yang menggamit nostalgia ramai orang. Dan ramai yang suka makanan simpel ini untuk isi perut mereka.

Penulis suka makanan ini masa beliau masih kecil. Nak ikutkan, ia cukup memadai untuk kenyangkan perut kita.

Makanan yang mudah dimasak dan simpel seperti ini sesuai untuk pelajar yang tersepit dengan bajet makanan yang ketat. Nak pilihan lain? Nasi bujang pun dah cukup buatkan kita kenyang.

Makanan #11: Makanan kat pasar malam.

Rasanya, ramai yang dah tahu tentang ini.

Ini adalah tempat terbaik bagi mereka yang nak berjimat tentang bab makanan. Pasar malam kat negara kita ini memang cukup terkenal dengan pelbagai pilihan makanan yang murah.

Dengan harga serendah RM1 (harga bergantung kat kawasan pasar malam), kita boleh dapat beli nasi goreng, kuey tiow, burger serta lain-lain makanan dengan harga yang tak cekik darah.

Tok harap, perkongsian kali ini dapat bantu korang yang sedang usaha nak berjimat pasal bab makanan.

Kalau selalu berlapar dan ikat perut, ia pasti akan ganggu prestasi pelajaran korang nanti. Paling kurang, makan sepinggan nasi sehari sekali, okay?

Kalau boleh, Tok tak nak dengar atau baca lagi isu seperti ni. Korang adalah aset dan masa depan negara. Jadi, jaga diri korang elok-elok. Tok doakan yang terbaik untuk korang semua.

5 COMMENTS

  1. Saya tambah lagi ye

    Sambal ikan bilis bekal dari rumah
    Serunding
    Semua tu makan dengan nasi panas2, roti dan biskut kering ..

    Maggi … ni terbaik

  2. cayalah tok,,, memang selalu ikat perut pun saya masa belajar dulu ,,nak nak pulak masa last nak exam hantar report, kena pilih antara beli nasik atau untuk print report, kalau report tu boleh buat gulai memang saya buat tok, tapi makanan2 ni lah yang selalu kami spare. Memang jimat habis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here