PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Coliving- Solusi kreatif kepada epidemik keseorangan generasi kini

Manusia adalah makhluk yang sentiasa memerlukan interaksi sosial secara bersemuka dalam kehidupan seharian.

Pada artikel yang lalu, statistik menunjukkan kolerasi antara individu yang tinggal bersendirian dan peningkatan penggunaan media sosial, yang mengakibatkan peningkatan rasa sunyi dan masalah mental generasi kini berpunca daripada kurang interaksi sosial secara bersemuka.

Apabila kehidupan seharian menjadi semakin sibuk, masa dan ruang untuk bersosial menjadi semakin kurang akan tetapi keperluan untuk berinteraksi secara bersemuka dengan individu lain tetap diperlukan.

Selain daripada interaksi di tempat kerja, di manakah terletaknya ruang dan peluang untuk mewujudkan interaksi secara spontan mahupun terancang kalau bukan di rumah?

Sistem atau reka bentuk perumahan yang baik seharusnya mampu memupuk kebersamaan dalam sesuatu komuniti lantas memperkukuh semangat kejiranan sekiranya wujud interaksi yang lebih menyeluruh sesama penghuni.

Inovasi kepada sistem perumahan, dan selesaikan masalah kesunyian

Konsep kehidupan secara kolektif atau coliving dilihat sebagai salah satu solusi kepada permasalahan generasi kini yang mungkin nampak gembira pada zahir tetapi disebaliknya berasa kesunyian.

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan coliving atau konsep kehidupan secara kolektif ini?

Idea coliving ini dikatakan lahir lebih 40 tahun yang lalu di Denmark sebagai satu inovasi sistem perumahan pada masa itu. Kini, coliving semakin popular khususnya di negara-negara Eropah, Amerika Utara malah dalam kalangan negara-negara Asia juga.

Coliving adalah satu konsep perumahan yang membuka ruang untuk penghuni berinteraksi secara bersemuka, seterusnya mengatasi masalah kesunyian di dalam komuniti tersebut.

Interaksi sesama insan beserta semangat kerbersamaan sesama penghuni adalah kayu ukur utama kepada keberkesanan konsep komuniti coliving ini. Peningkatan interaksi sosial dan hubungan berkualiti sesama penghuni berupaya meningkatkan kegembiraan dan kualiti kehidupan sesama penghuni coliving.

Satu tempat berkongsi kegembiraan bersama

Sumber gambar allwork.space

Sumber gambar – allwork.space

Penghuni boleh berkongsi pengalaman hidup seharian di ruang makan komuniti, berinteraksi dan melakukan aktiviti-aktiviti yang dirancang bersama.

Keputusan untuk menyertai interaksi atau aktiviti-aktiviti bersama adalah sepenuhnya terpulang kepada penghuni coliving. Apa yang penting, jika penghuni mahukan aktiviti atau interaksi, ia akan sentiasa boleh didapati beberapa langkah sahaja dari bilik peribadi anda.

Di samping menangani isu kesunyian dan pengasingan sosial, coliving juga berpotensi untuk menggalakkan kesejahteraan hidup yang lebih menyeluruh.

Sekiranya konsep coliving ini dapat diadaptasi secara progresif, tidak dapat disangkal bahawa ianya mampu menjadi solusi yang berkesan dalam memberikan impak positif terhadap psikologi manusia.

Roh kepada konsep coliving tertumpu kepada usaha untuk mewujudkan suasana komuniti yang tulen yang terhasil daripada perkongsian ruang dan aktiviti-aktiviti yang bersifat komunal. Di sini, tiada unsur ‘judgement’ sesame penghuni dibenarkan.

Mewujudkan komuniti yang lebih inklusif

Tujuan utama coliving ini adalah untuk mewujudkan satu gaya hidup yang membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk berinteraksi dan mencipta memori-memori kolektif sesama penghuni setempat.

Coliving menganjurkan perkongsian hidup yang tulen dan memupuk pergaulan secara bersemuka ketika mana rasa sunyi dan keseorangan semakin menjadi-jadi.

Sudah sampai masanya kita ketengahkan satu modal kehidupan yang bersandarkan kepada semangat komunal yang tulen, lahir daripada aktiviti-aktiviti berkumpulan yang disokong dengan ruang dan fasiliti yang dijaga rapi.

Melihat kepada impak positif coliving, ianya merupakan pilihan gaya hidup yang semakin digemari ramai baik bagi mereka yang masih bujang, mahupun yang sudah berkeluarga.

Sebagai contoh, The Collective Old Oak bertempat di London membutikan bahawa konsep coliving ini amat berkesan dalam mewujudkan komuniti yang lebih inklusif.

Seorang penulis terkenal di London, Leanne Bayley mengambil keputusan untuk berpindah ke The Collective dan telah menerbitkan beberapa artikel mengenai keistimewaan konsep coliving ini.

Antaranya, tali persahabat baru lebih mudah terikat, usaha perniagaan dan kerjasama baru boleh berlaku, kanak-kanak didapati lebih ceria, dan yang paling penting adalah penghuni setempat berasa lebih gembira hasil daripada interaksi dan perkongsian yang lebih mendalam sesame penghuni.

Konsep rumah yang relevan dengan gaya hidup masa kini

Hasilnya, lebih 50 peratus penghuni The Collective memperbaharui kontrak sewaan mereka untuk tahun yang berikutnya.

Adalah menjadi lumrah manusia untuk berinteraksi seperti memasak dan makan bersama, menonton Netflix atau drama di televisyen dengan sahabat handai, dan bersembang sambil minum kopi.

Dengan adanya ruang-ruang perkongsian bersama, beserta aktiviti-aktiviti yang bersifat ‘inclusive’, konsep coliving ini amat relevan buat segenap lapisan masyarakat serta mampu menangani epidemik rasa sunyi atau keseorangan generasi kini.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed