PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

5 tip gempak runding harga dan senang ‘close deal’ dengan owner rumah

Siapa yang tak nak beli rumah pada harga yang murah?

Kalau boleh, tak nak pakai duit langsung bila nak membeli rumah. Nampak macam susah nak percaya, tapi tak mustahil untuk kita buat.

Dan Tok percaya ramai yang dah tau kelebihan rumah subsale.

Kalau pandai berunding dan ambil hati owner rumah, senang-senang je korang boleh beli rumah pada harga murah.

Lepas korang baca 5 tip ni, korang pasti tau nak berunding secara efektif dengan owner dan beli rumah pada harga gila murah.

Tip #1 : Sediakan diri sebelum berunding dengan owner

Kalau tak bersedia untuk hadapi sesi rundingan dengan pembeli, korang ada potensi tinggi untuk buatkan rundingan itu gagal.

Bila gagal, korang sendiri yang rugi. Padahal, korang ada peluang untuk dapatkan hartanah yang baik setiap kali bertemu dengan penjual.

Elakkan alasan seperti:

  • “Aku tak cukup masa sebab sibuk sangat.”
  • “Aku dah cukup bersedia. Semua fakta dah ada dalam kepala otak aku.”
  • “Senang saja nak close deal. Aku dah ada banyak pengalaman.”

Alasan yang ke-3 atas ini boleh makan diri korang.

Kalau korang nak tahu, pelabur yang ada pengalaman pun sentiasa ulangkaji dan bersedia daripada pelbagai sudut, sebelum turun ke sesi rundingan.

Usaha yang wajar (due diligence) tentang hartanah yang korang nak beli itu amat penting, bagi memastikan proses rundingan kita berjaya.

Sekarang, semua maklumat boleh kita dapatkan dalam sekelip mata. Ada macam-macam bahan bacaan kat Internet atau media sosial yang bagus berkaitan bab hartanah.

Nak lagi best? Gunakan senarai networking korang. Jumpa dulu dengan ejen hartanah yang korang kenal, dan dapatkan pandangan mereka.

Bawah ini antara poin penting yang bagus untuk korang ambil tahu:

  • berapa lama hartanah itu dalam status nak dijual dalam pasaran,
  • transaksi terbaru hartanah itu (dapatkan fakta-fakta ini),
  • fahami lokasi dan hartanah sekitar kawasan yang kita nak beli (ini termasuk kemudahan, potensi pembangunan masa depan, pengangkutan awam, dan lain-lain),
  • kenal pasti harga jualan dan dapatkan maklumat sama ada ia boleh dirunding atau tak,
  • dapatkan sebab kenapa pemilik nak jual hartanah itu,
  • cari maklumat tentang kadar sewa dan potensi sewaan kat kawasan hartanah yang kita nak beli itu (maklumat ini bagus kalau beli untuk pelaburan).

Ramai yang ingat proses rundingan sentiasa tertumpu kat buat untung. Sebenarnya, ini adalah perkara sampingan saja.

Dalam banyak-banyak kes, rundingan bertujuan untuk selesaikan masalah antara pembeli dan penjual, dan untuk mencapai win-win situation.

Tip #2 : Ambil kira sebarang kemungkinan yang bakal berlaku

Sebelum sesi rundingan bermula, fikirkan beberapa bantahan yang mungkin penjual akan usulkan.

Dari sini, kita boleh mula fikirkan strategi dan cara terbaik untuk atasi masalah ini dengan lebih berkesan.

Sebab itu, kita boleh berjumpa dengan ejen atau mentor kita untuk bincangkan proses rundingan yang bakal berlaku.

Pengalaman mereka pasti dapat membantu kita uruskan rundingan ini dengan baik, serta dapat elakkan perkara buruk daripada gagalkan proses rundingan.

Kadang-kala, penjual cenderung untuk terjebak dengan satu poin tertentu, yang mereka yakin boleh selesaikan masalah. Padahal, ada macam-macam lagi cara untuk mencapai matlamat ini.

Tip #3: Pastikan owner selesa dengan rundingan

Ini adalah satu senjata rahsia perunding yang bagus – soalan.

Lepas dah tanya soalan kat mereka, dengar apa yang mereka nak kata dan diamkan diri. Dan elakkan mencelah perbualan mereka secara langsung atau tak langsung.

Pada masa yang sama, catitkan segala poin penting dalam perbualan ini kat atas nota supaya kita tak lupa.

Orang yang ajukan soalan adalah orang yang mengawal perbualan. Dan elakkan soalan yang tertumpu kat rumah tu (sebab kita dah buat persediaan awal dalam tip sebelum ini).

Tujuan utama tindakan ini adalah untuk membina tahap keselesaan antara penjual dan pembeli. Dan ia juga buatkan penjual selesa sepanjang perbualan dan tak kisah nak kongsikan buah fikiran mereka.

Tip #4 : Dengar betul-betul dulu apa ‘isi hati’ owner

Satu lagi skil yang tentukan sama ada kita perunding yang baik atau tak, adalah skil mendengar kita.

Ramai perunding yang baru berjinak-jinak dalam industri ini terlalu ghairah nak buktikan, yang mereka tahu banyak perkara tentang hartanah.

Ini adalah punca yang buatkan penjual kurang berminat nak berbincang dengan perunding jenis ini.

Silap haribulan, ia boleh bertukar menjadi mimpi ngeri. Dah tentu perkara ini akan buatkan proses rundingan temui kegagalan pada akhirnya.

Skil mendengar adalah penting, sebab ia jadi punca utama untuk dapatkan kepercayaan dan keyakinan pihak penjual. Selain itu, ia juga buatkan penjual rasa diri mereka penting.

Cara mudah nak tahu isi hati owner

Satu lagi skil yang suka Tok nak pesan adalah ekspresi muka semasa mendengar cakap mereka.

Semasa mendengar, adalah bagus untuk kekalkan eye contact yang baik, supaya mereka tahu kita sedang mendengar dengan teliti.

Semua ini akan buatkan proses rundingan menjadi lebih mudah, sebab tak ada siapa yang suka berbual dengan orang yang mereka sendiri tak selesa.

Bila mereka selesa berborak dengan kita, secara tak langsung mereka akan bagitahu keperluan, kehendak, dan sebab utama mereka nak jual hartanah ini.

Ini akan tempatkan kita kat kedudukan yang terbaik untuk dapatkan rundingan yang menarik, dan untungkan kedua belah pihak.

Sebagai contoh, ada sesetengah orang nak jual hartanah sebab mereka ada masalah kewangan. Bila kita gunakan skil ini, mereka tak kisah kalau kita tawarkan harga jualan yang lebih rendah, supaya hartanah ini dapat dijual dengan lebih cepat.

Ada juga kes yang penjual bertujuan nak dapatkan harga terbaik untuk hartanah mereka. Sebab itu, skil ini bagus untuk kita dapatkan idea tentang matlamat utama mereka.

Tip #5 : Macam mana nak capai win-win situation semasa berunding?

Ramai yang anggap proses rundingan berlaku sebagai satu pertandingan. Ini adalah gaya fikir (mindset) yang kurang tepat.

Dalam dunia sebenar, ia tak berfungsi seperti itu. Rundingan bukan sebuah pertempuran antara prospek dan penjual.

Rundingan adalah satu proses di mana prospek nak dapatkan matlamat mereka, dan penjual juga dapat capai kemahuan mereka. Macam yang Tok cakap tadi, ia bertujuan untuk mencapai win-win situation.

Rundingan yang berjaya adalah bila kedua belah pihak dapat mencapai matlamat masing-masing, dan boleh tinggalkan meja rundingan dengan hati yang tenang.

Dengan betul-betul fahamkan apa yang mereka nak capai, baru kita boleh buat tawaran yang terbaik untuk dua belah pihak.

Kemahiran berkomunikasi yang baik boleh buatkan kita dapatkan maklumat penting dalam rundingan yang dibuat.

Satu lagi pesan Tok. Elakkan emosi menguasai diri semasa jalankan proses ini.

Bila kita sedar yang rundingan ini tak berjalan seperti yang kita nak, sentiasa bersetuju untuk undurkan diri, dan rancang pertemuan lain dengan penjual untuk berbincang sekali lagi.

Ini akan beri masa kat kita dan penjual untuk fikirkan solusi dan alternatif lain, supaya masing-masing dapat mencapai persetujuan yang baik.

Apa-apa pun, penting untuk korang belajar cara uruskan sesi rundingan untuk mencapai harga dan objektif yang korang dah tetapkan.

Owner tak jual pada harga yang korang nak? Tak usah susah hati dan terus cuba lagi. Dunia masih belum berakhir.

Tok sentiasa doakan kejayaan korang untuk setiap proses rundingan yang korang buat lepas ni. Yakin boleh, dan jangan pernah putus asa!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *