Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi membantu dalam mengurangkan kos pembinaan rumah yang ditanggung pihak pemaju.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu dilakukan bagi meringankan beban pemaju sekali gus membolehkan mereka menjual rumah pada harga berpatutan kepada rakyat di negeri ini.
Ujar beliau, pihaknya sedia mendengar sebarang cadangan daripada REHDA dan bekerjasama bagi memastikan industri perumahan tidak terjejas teruk ekoran situasi ekonomi ketika ini.
“Kita akan duduk bersama dan mencari jalan untuk melihat aspek-aspek yang boleh membantu mengurangkan kos pembinaan rumah, sebagai contoh mempercepatkan proses kelulusan projek perumahan.”
“Saya minta REHDA letak apa-apa syarat dan kita akan kaji, tetapi tidaklah sampai berkompromi dengan isu keselamatan dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2016 di sini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ke-sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias; Timbalan Presiden REHDA, Datuk Ir. Soam Heng Choon dan Pengerusi REHDA negeri, Jenny Wang Lee Peng.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak mahu industri perumahan gagal kerana ia akan turut menjejaskan 145 industri sampingan yang mempunyai kaitan dengan bidang berkenaan.
“Kita jangan membuat dasar yang boleh menggagalkan industri perumahan, kalau ia menguncup akan menjejaskan ekonomi dan melibatkan banyak industri sampingan.”
“Kalau pemaju gagal dan projek terbengkalai, rakyat akan menderita dan banyak kesan lain. Kita akan pastikan industri ini terus berdaya saing dalam ekonomi pada masa ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik sekali gus dapat memudahkan pihak pemaju membangunkan projek perumahan di sesebuah kawasan.
“Kita akan bangunkan infrastruktur sebab kalau bina rumah macamana pun tetapi jalan tidak elok, tidak guna juga. Begitu juga pengangkutan awam, kita akan tingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Heng Choo berkata, industri perumahan berdepan situasi yang mencabar sejak tahun lalu ekoran peningkatan kos pembinaan dan keadaan pasaran rumah yang lembap.
“Pemaju yang bernaung di bawah REHDA memaklumkan bahawa terdapat minat dan permintaan daripada orang ramai untuk membeli rumah, malang-nya mereka berdepan masalah untuk mendapatkan pinjaman bank.
“Kita bekerja rapat dengan kerajaan dalam memenuhi agenda perumahan negara dan percaya kerajaan akan melaksanakan dasar lebih terbuka bagi mewujudkan suasana perniagaan yang baik,” katanya.
[Sumber berita: Utusan Online]